23 April 2012

Mangsa lemas ditemui tersangkut pada ranting pokok

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Kerja mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak Khamis lalu dihentikan selepas penemuan mayat mangsa lemas di lebih kurang 200 meter dari jeti Semenang, dekat sini.

Pegawai Operasi, Nazri Mohamat, berkata, sepasukan menyelamat mengadakan operasi mencari dan menyelamat sepanjang Sungai Perak bagi mencari seorang mangsa yang dipercayai lemas selepas turun memancing udang bersama anaknya.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Ramlan Ahmad, 34, ditemui tersangkut pada ranting pokok oleh pihaknya kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Ketika ditemui mayat itu dalam keadaan terlentang dan berpakaian lengkap malah kami mendapati terdapat kecederaan pada punggung mangsa.

“Lelaki ini merupakan bapa kepada kanak-kanak yang turut lemas dijumpai pada Jumaat lalu, selepas mereka turun bersama-sama untuk memancing udang di Sungai Perak pada pagi Khamis lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Sinar Harian menyiarkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui lemas di celah rumput berikutan bot yang dinaiki terbalik, di Sungai Perak, kira-kira 200 meter dari Jambatan Sultan Yusuf dekat Ladang Nova Scotia.

Nazri berkata, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Teluk Intan, bagi tindakan selanjutnya.

“Penemuan kedua-dua mangsa adalah hasil kerjasama polis, Bomba dan Penyelamat dari Hutan Melintang, Teluk Intan, Unit Skuba dari Pulau Pangkor, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: