23 April 2012

Kes penipuan pakej umrah: Salah faham jadi punca

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MASJID TANAH - Salah faham menjadi antara punca seorang ustaz sekolah pondok di sini, dikatakan menjadi dalang sebalik kes penipuan pakej umrah baru-baru ini.

Mudir Sekolah Pondok Solok Duku, Razali Yusoffl, 51, berkata, dia banyak menerima pertanyaan mengenai perkara itu selepas berita mengenai penipuan pakej umrah itu disiarkan.

Menurutnya, penggunaan perkataan ‘ustaz’ dalam siaran media itu bagi merujuk kepada individu yang menawarkan pakej umrah itu tidak tepat kerana dia bukan berstatus ustaz tetapi adalah pemilik syarikat yang mengendalikan pakej berkenaan.

“Pemilik syarikat itu telah melantik saya sebagai ketua rombongan umrah berkenaan.

“Saya sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit, juga tidak benar saya dikatakan bertemu dengan Makcik Enap (mangsa yang membuat laporan polis mengenai penipuan pakej itu) kerana yang bertemunya adalah pekerja syarikat berke­naan,” katanya dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, pemilik syarikat itu, yang dilabelkan sebagai seorang ustaz juga bukan seorang ustaz dan bukan seorang tenaga pengajar di sekolah pondok berkenaan.

Katanya, salah faham itu mungkin timbul kerana dia ada mengambil inisiatif mengadakan kelas bimbingan kepada bakal jemaah di sekolah pondok berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu diambil kerana ramai jemaah merasa bimbang bila tiada kelas bimbingan diadakan walaupun tarikh penerbangan sudah semakin hampir.

“Saya adakan kelas bimbingan bukan atas arahan syarikat terbabit tetapi atas dasar tanggungjawab saya sendiri terhadap bakal jemaah.

“Apabila penerbangan umrah itu dibatalkan, mangsa ada menelefon saya dan saya telah terangkan segalanya kepada be­liau. Bagaimanapun, beliau tetap tidak mahu menerima penjelasan saya.

“Sebagaimana saya terangkan, saya sama sekali tidak terbabit dengan pakej ini, bukan saya yang menjanjikan pakej umrah atau menerima bayaran jemaah. Saya cuma dilantik sebagai ketua rombongan,” katanya.

Difahamkan, hampir semua mangsa yang terbabit dalam kes itu membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit tetapi dinasihatkan supaya merujuk kes ke Tribunal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: