23 April 2012

Kes guru tampar murid selesai

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEGAMBUT – Kes tampar dan tendang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Segambut selesai apabila ibu bapa dan guru terbabit berdamai dalam satu pertemuan di rumah murid berkenaan, kelmarin.

Pertemuan yang diatur Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan itu berakhir apabila kedua-dua belah pihak ibu bapa dan guru besar terbabit menarik balik laporan polis dibuat berhubung insiden yang berlaku.

Bapa murid itu, S Saravanan, 40, berkata, pihaknya memaafkan guru terbabit di atas apa yang berlaku dan berharap kejadian terbabit tidak akan berulang.

“Saya maafkan guru itu dan saya juga berbesar hati apabila diberitahu PIBG akan bertanggungjawab jika anak saya mengalami masalah kesihatan sampingan disebabkan insiden itu,” katanya.

Menurutnya, anaknya S Suryakaran kini beransur pulih dan sihat seperti sediakala selepas mendapatkan rawatan hospital.

Dalam pertemuan itu, PIBG turut memberikan sumbangan berupa ubat-ubatan serta wang tunai bagi meringankan beban keluarga itu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PIBG, Rashid Yaakob berkata, tujuan pihaknya campur tangan adalah untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Ini antara tanggung jawab PIBG itu menyelesaikan masalah ini dan kami berharap juga jika ada masalah membabitkan guru dan murid ini, ibu bapa atau penjaga murid berkenaan boleh membuat aduan kepada kami,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: