10 Mei 2012

Lapan samseng serang pusat perubatan

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - Sekumpulan lelaki dipercayai samseng bertindak menyerang sebuah pusat perubatan swasta di sini bertujuan untuk mencari seorang lelaki berikutan perselisihan faham yang berlaku antara kedua-dua pihak terbabit.

Berikutan itu, seramai 200 pesakit, kakitangan dan orang awam yang berada di pusat perubatan berkenaan panik, bagaimanapun bertindak mendiamkan diri kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan kumpulan tersebut.

Sekumpulan lapan orang berusia antara 20 ke 30 tahun itu dipercayai cuba menyerang mangsa yang berusia 30 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Difahamkan perkara itu terjadi akibat pergaduhan antara suspek dan salah seorang ahli kumpulan terbabit di sebuah pusat hiburan di sini.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya dileraikan dengan tindakan pantas pengawal keselamatan yang mengawal keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan polis sedang menyiasat motif kumpulan berkenaan.

“Kami sudah menerima laporan membabitkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

"Kami juga meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk dijadikan bahan bukti bagi kes tersebut.

“Berdasarkan rakaman CCTV polis tidak melihat sebarang senjata yang dibawa oleh kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, tiada pesakit atau orang awam yang mengalami kecederaan manakala tiada laporan membabitkan jumlah kerugian besar yang dialami pihak hospital.

Kes disiasat di bahawa Kanun Keseksaan 147 kerana rusuhan dan polis masih meneruskan siasatan berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Sinar Harian

Elie ugut bunuh bila pintu dibuka

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, lelaki bergelar ‘Jutawan Lubnan’, Elie Yousseff Najem ada mengugut membunuh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dan ahli keluarganya kerana mengetuk pintu biliknya di sebuah hotel pada 26 April 2010.

Penolong Pembantu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Shariza Zakaria berkata, dia ada mendengar Elie Yousseff membuat ugutan itu, selepas pintu biliknya dibuka.

“Saya dan enam lagi PPA jelas mendengar kata-kata Elie Yousseff sebaik sahaja pintu bilik tersebut dibuka dengan bantuan polis selepas menerima aduan daripada pekerja hotel tersebut.

“Kami ada lihat dia buat panggilan kepada orang kenamaan dan bercakap dalam keadaan yang marah,” katanya.

Menurut saksi kelima itu, sebaik pintu bilik dibuka beliau melihat seorang lelaki Arab dan Elie Yousseff memperkenalkan dirinya.

“Elie Yousseff hanya memberi syarat dan meminta dua petugas iaitu seorang lelaki serta wanita saja yang dibenarkan masuk. Ketika itu saya dan jurufoto masuk ke dalam bilik,” katanya.

Shariza berkata, mereka melihat seorang wanita di atas katil dalam berkeadaan seperti bangun dari tidur selepas pemeriksaan terhadap bilik itu dilakukan.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes khalwat membabitkan Elie Yousseff, 52, dengan seorang wanita, Roslin Tahir dalam sebuah bilik di tingkat lapan, Wisma Belia, di sini jam 3.45 petang, 26 April 2010.

Elie Yousseff menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 27 (a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 manakala Roslin didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan bersambung 16 Julai depan.

Sinar Harian

‘Pakar’ farmasi kantoi

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - Lakonan seorang lelaki kononnya ‘pakar’ dalam bidang perubatan dan farmasi terbongkar apabila kegiatannya berjaya dihidu Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan cawangan Perak, di sini, semalam.

Dalam insiden itu, lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu, mendakwa dirinya mempunyai kelayakan sah menjalankan operasi menjual ubat di sebuah premis perubatan di Tanjung Malim.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dibongkar selepas beberapa pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa Farmasi Cawangan Perak melakukan penyamaran sebelum berpura-pura masuk ke premis berkenaan untuk membeli ubat-ubatan.

Sinar Harian dimaklumkan, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki berkenaan gagal menunjukkan bukti kelayakan sebagai ahli farmasi bertauliah dan memberi alasan kononnya MyKad serta lesen memandunya hilang.

Panik dengan situasi itu, lelaki itu memberitahu bahawa premis berkenaan milik adiknya yang didakwa menyerahkan tugas menjaga kedai berkenaan kepadanya.

Ketua cawangan Penguat kuasa Farmasi Perak, Ahmad Nozrin Taharin berkata, kes penyamaran seumpama itu serius berdasarkan peranan ahli farmasi yang bertanggungjawab melindungi pesakit daripada ubat merbahaya, iklan ubat memperdaya dan amalan perubatan yang salah.

Menurutnya, golongan farmasi perlu mempunyai kelayakan akademik iaitu Ijazah Sarjana Muda Farmasi sebelum boleh mengurus kedai ubat atau farmasi.

“Kita akan rujuk kes ini kepada Lembaga Farmasi Kementerian untuk tindakan lanjut.

"Sepatutnya ahli farmasi memastikan ubat diberikan kepada pesakit dan orang ramai selamat, berkesan dan berkualiti serta memberi maklumat seperti kebaikan dan kesan sampingannya,” katanya.

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi turut bertindak merampas sejumlah ubat antibiotik, ubat selsema dan pelbagai ubat-ubatan tidak berdaftar yang ditemui di dalam premis berkenaan.

Lelaki itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952 kerana menjual ubat-ubatan tanpa kelayakan dan tidak mempunyai permit lesen sah.

Sinar Harian

Penganggur miliki dadah mengaku sakit mental

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penganggur yang berdepan tuduhan memiliki dadah, Februari lalu, mengaku sakit mental dan menggunakan dadah itu sebagai ubat untuk meredakan penyakitnya.

Alasan itu bagaimanapun gagal mengelak Azlim Ismail, 37, dari dihukum apabila dia dikenakan denda RM2,000 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas tertuduh mengaku bersalah dan gagal mengemukakan laporan perubatan berhubung dakwaan penyakitnya itu.

Azlim bersalah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 1.6 gram dadah apo-diazepam di tepi Jalan Kampung Paya Rawa, Dewan Beta di sini pada jam 6.40 pagi, 27 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, 16 pil itu dijumpai dalam beg pinggang milik tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

3,000 liter diesel dirampas

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MUAR – Pasukan Polis Marin Muar berjaya menumpaskan kegiatan menjual minyak diesel subsidi dan merampas 3,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM20,000 selepas menahan sebuah lori di hadapan bengkel besi di Jalan Masjid Parit Jawa dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Muar, Asisten Superintendan Nordin Othman berkata, lori tersebut dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang kini ditahan dan akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, minyak itu dipercayai dibeli dari sebuah persatuan sebelum dijual kepada pengusaha perindustrian sekitar daerah Muar.

“Suspek tergamak melanggar peraturan kerana mahu mengaut keuntungan lumayan berikutan harga diesel bagi pasaran industri jauh lebih tinggi.

“Tangkapan pada jam 1.30 petang ini, hasil daripada maklumat orang awam yang mengetahui kegiatan suspek,” katanya dalam sidang media di Markas Polis Marin Muar, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya membuat risikan selama tiga hari sebelum melakukan tangkapan yang disertai tiga anggota risikan dan tiga anggota bot PSC 43.

Nordin berkata, semasa tangkapan suspek juga gagal menunjukkan surat kebenaran penjualan minyak diesel daripada PPDNKK Cawangan Muar.

“Tangkapan tersebut merupakan kes pertama bagi tahun ini dan pihaknya akan giat menjalankan risikan untuk mengesakan saki baki kegiatan itu.

“Kami meminta kerjasama orang awam supaya segera menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu kepada pihak polis supaya ia dapat dibanteras lebih cepat,” katanya.

Nordin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1991 kerana membawa dan memiliki barangan kawalan tanpa permit.

Sinar Harian

Suami, isteri diarah diam dan diugut sembelih jika bising

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT TANAH, BESUT – Sepasang suami isteri melalui pe-ngalaman mencemaskan selama kira-kira 30 minit apabila leher mereka dihunus parang panjang oleh tiga lelaki yang menyamun rumah mereka di Kampung Bukit Tanah dekat Tembila awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Shafie Mohamad, 46, dan isterinya Hasniah Mat Hassan, 39, turut menyangka diri mereka akan mati disembelih penjenayah ketika pasangan itu bersama seorang anak perempuan mereka berumur empat tahun sedang tidur di dalam sebuah bilik disamun.

Menurut Shafie, salah seorang penyamun yang bertutur loghat Indonesia mengarahkan dia dan isteri diam dengan mengugut akan menyembelih mereka sekiranya bising.

Pintu ditolak, penyamun menerpa

KATANYA, sebelum itu ketika mereka tiga beranak tidur di dalam bilik, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi pintu bilik ditolak dengan kuat dan mendapati tiga lelaki yang menutup muka menerpa ke arah mereka.

“Sebaik mereka menyerbu ke dalam bilik kami, salah seorang penyamun membuka lampu bilik.

“Manakala yang lain terus berada di depan kami sambil menghunus parang panjang berkilat di leher saya dan isteri.

Shafie berkata, anaknya, Nor Syahira Azwa masih tidur.

“Lelaki itu turut bertindak membelah kelambu tempat kami tidur.

“Mereka kemudian meniarapkan saya sebelum mengikat tangan saya dari arah belakang lalu menutup muka saya dengan selimut,” katanya.

Kerugian dianggarkan bernilai RM8,000

SHAFIE berkata, salah seorang suspek mengambil tiga utas rantai leher, seutas gelang tangan, sepasang subang dan sebentuk cincin emas yang dipakai isteri serta anaknya sebelum salah seorang mengikat tangan isterinya dari depan.

Suspek yang turut menyelongkar segenap sudut di dalam rumah juga melarikan tunai RM500 dan enam unit telefon bimbit menyebabkan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM8,000.

Menurutnya, sebelum suspek melarikan diri melalui dapur, mereka mengugutnya jika melaporkan kepada polis, mereka akan datang lagi bakar rumah.

“Sebaik suspek melarikan diri, isteri saya membuka ikatan di belakang kemudian saya membuka ikatannya.

“Kami kemudiannya bergegas rumah keluarga saya yang terletak berdekatan,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian dan bersyukur dia sekeluarga tidak mengalami kecederaan.

Anak terserempak suspek lari ke kawasan sawah

TRAUMA dengan kejadian tersebut, Shafie kemudiannya menghubungi dua anak lelakinya yang pergi menyuluh udang di pantai Kampung Gong Batu, Setiu agar pulang segera.

Katanya, ketika perjalanan pulang dengan menaiki motosikal, anaknya terserempak dengan suspek yang lari ke arah kawasan sawah padi Gong Machang berdekatan rumah mereka.

Namun, dua anaknya itu lari lintang-pukang kerana pada awalnya mereka menyangka kelibat lembaga itu adalah hantu kerana keadaan pada waktu itu gelap, tambahan pula kawasan tersebut dikatakan berpuaka.

Menurutnya, penduduk kampung yang pergi ke kawasan sawah itu mengesahkan terdapat kesan tapak kaki di kawasan itu menghala ke kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Batu.

Penduduk kampung bantu mengesan suspek

MANGSA kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja pagi kelmarin dan susulan daripada itu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dibantu IPD Setiu serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu melancarkan operasi mengesan suspek di kawasan ladang tersebut.

Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan penduduk Kampung Gong Batu dan Fikri turut membantu mengesan suspek.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sementara itu, sehingga jam 3 petang semalam, difahamkan seramai 11 pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia di ladang tersebut ditahan dengan kerjasama penduduk kampung untuk membantu siasatan.

Difahamkan, dua daripada mereka mengaku terlibat dalam kejadian samun di rumah mangsa.

Sinar Harian

Kilang proses, edar kopi terbakar

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Sebuah kilang memproses dan mengedar kopi di Jalan Jening berhampiran Kawasan Perindustrian Taman Johor, dekat sini, terbakar petang semalam.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Yusof Mohd Gunnos berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.58 petang, seramai 27 anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru dan Johor Jaya bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 4.10 petang, anggota kami mengambil masa sehingga kira-kira jam 5.45 petang untuk mengawal kebakaran. Kami juga terpaksa menggunakan enam pili bomba bagi mengawal kebakaran kilang tersebut.

“Hampir 70 peratus kilang tersebut terbakar setelah kami tiba ke lokasi. Semasa kejadian, seramai 12 pekerja wanita dan 10 pekerja lelaki berada di tempat kejadian, bagaimanapun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Sementara itu, penyelia kilang berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 40an berkata, ketika kejadian dia berada di dalam tandas sebelum mendengar jeritan para pekerjanya.

“Saya terus keluar dari tandas dan pihak pengurusan mengarahkan kami menyelamatkan diri masing-masing. Kilang ini telah beroperasi lebih 10 tahun,” katanya.

Agency

Kelantan mula bina lebuh raya KB-KK akhir bulan ini

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 10 Mei: Pembinaan Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejauh 73 kilometer yang tergendala sebelum ini bakal dibina akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pembinaan yang merangkumi tiga fasa itu.

Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang medianya semalam.

Husam bagaimanapun berkata, tarikh pecah tanah untuk pembinaan lebuh raya ini akan diputuskan dalam tempoh dua hari ini.

Beliau juga turut memberitahu, kerajaan Kelantan telah menerima cadangan dari pemaju untuk membina lebuh raya berkenaan dan cadangan itu telah disemak dan dinilai oleh sebuah jawatankuasa.

“Selepas ianya disemak oleh jawatankuasa berkenaan kerajaan negeri bersetuju memilih dua syarikat untuk menguruskan projek sebagai peneraju utama.

“Tempoh pembinaan lebuh raya ini dua tahun setengah yang dibina atas tanah kerajaan.

“Bagi baki pembinaan di atas tanah milik orang ramai, kerajaan negeri menyerahkan pada JKR untuk menguruskan pengambilan balik tanah,” ujarnya.

Menurutnya, konsep yang dipakai untuk lebuh raya itu berkonsepkan lebuhraya negeri yang tidak akan melibatkan pembayaran tol oleh rakyat.

Katanya, ianya berkonsepkan bebas tol dan akan dibiayai oleh kerajaan negeri sepenuhnya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap cita-cita rakyat Kelantan untuk melihat sistem perhubungan yang cepat, selamat dan selesa akan terlaksana.

Katanya, kedua-dua kontraktor berkenaan akan bertanggungjawab kepada sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang dilantik khusus oleh exco untuk memantau serta mengendalikan pembiayaan lebuh raya itu.

“Syarikat Baldah Toyyibah (Prasarana Kelantan Sdn Bhd) telah ditubuhkan untuk memantau projek ini dan seluruh prasarana di negeri itu pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, syarikat itu diilhamkan sendiri oleh Menteri Besar.

Katanya, pembinaan lebuh raya itu akan membuka minda dan usaha sedemikian boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dan sekatan yang dilakukan oleh pihak lain terhadap negeri ini akan terhenti.

Dengan cara itu, katanya rakyat di negeri ini akan dapat menikmati kemudahan asas sebagaimana di negeri-negeri lain.

Jelasnya, lebuh raya itu melibatkan tiga fasa, di mana fasa pertama melibatkan tanah-tanah kerajaan.

Harakah Daily

Slogan baru 1Malaysia?: Ku tak rela ku tak redha - "Haramjadah!"

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

"Ku tak rela, ku tak redha". "Haramjadah!" Nampaknya 1Malaysia semakin gila!

Tidak gilakah namanya apabila seorang Perdana Menteri bercakap sebagai Presiden United Malay National Organisation tiba-tiba tidak rela atau tidak redha peneroka (yakni rakyat) yang tidak bersetuju penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia mengambil apa yang diheboh sebagai ‘Durian Runtuh’?

Bolehkah seorang Perdana Menteri yang bercakap sebagai Presiden United Malay National Organisation menjerit tidak rela atau tidak redha? Bolehkah? Sebab, wang ‘durian runtuh’ itu sebenarnya wang siapa?

Lazimnya, kalau wang itu hak bapak seseorang punya, bolehlah juga seseorang itu tidak rela atau tidak redha, tapi wang ‘durian runtuh’ Felda itu wang siapa? Umno punya? Isa samad punya? Atau hak bapak seseorang punya?

Kalau wang itu dikatakan hak Felda maka tak logic langsung untuk mengatakan mereka yang tidak bersetuju penyenaraian FGVH mengambil wang ‘durian runtuh’ itu sebagai haramjadah!

Bagaimana pula sekiranya, rakyat yang membayar cukai, tidak rela atau tidak redha seseorang Perdana Menteri yang bercakap sebagai seorang Presiden parti United Malay National Organisation, yang buat pekak badak terhadap tuntutan rakyat dalam menentang kezaliman dan kejahatan dalam pengendalian pilihanraya atau seseorang Perdana Menteri yang bercakap sebagai Presiden United Malay National Organisation yang pemerintahannya dikatakan berselirat dengan pecah amanah dan rasuah, mengambil gajinya?

Salah atau tidak rakyat pembayaran cukai juga bersikap tidak rela atau tidak redha? Kalau tak salah maknanya gaji seseorang Pedana Menteri itu juga boleh jadi tidak halal diambilnya! Hati-hati!

Keterlaluankah rakyat pembayar cukai, kalau mengatakan Perdana Menteri yang bercakap sebagai Presiden United Malay National Organisation yang mengambil gaji Perdana Menteri yang bercakap (memaki rakyat) sebagai Presiden United Malay National Organisation, iaitu gaji dari hasil kutipan cukai terhadap rakyat, juga sebagai haramjadah? Amacam?

Kalau rakyat menggunakan istilah haramjadah, mungkin kerana dia rakyat! Kalau Pembangkang guna istilah itu untuk menarik perhatian pemerintah yang pekak badak, tidak adil, zalim dan rasuah, memang wajar kerana mereka pembangkang tapi kalau Perdana Menteri memaki rakyatnya sebagai haramjadah memang gila! Gila apa tak tahu!

Sesungguhnya sebagai seorang Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, Perdana Menteri Najib dengan perangai buruk seorang Presdiden United Malay National Organisation (Baru), memberi didikan akhlak yang buruk kepada orang Malaysia! Mana jawatankuasa fatwa Abdul Syukor?

Harakah Daily

Baru Gua Kenal..Mamat Brutal Nii...

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Seorang guru disambut sebagai seorang hero di sekolah ekoran tindakannya ketika perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu yang mencetus sensasi di laman video Youtube dan laman sosial Facebook.

Toh Chin Hong, 27, bagaimanapun tidak begitu menghiraukan populariti yang diraih.

"Fokus pada 28 April tidak boleh hanya pada satu orang. Ia akan menjejaskan tujuan utama kita iaitu penambahbaikan pilihan raya.

"Kita mesti ingat. Jika kita lupa, seluruh perhimpunan itu tidak bermakna," kata guru kimia itu dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Dalam perhimpunan itu, Toh dikejar oleh pasukan keselamatan yang bertindak ke atas kumpulan peserta perhimpunan di satu jalan di luar stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau yang kepenatan akibat dikejar polis FRU kemudian duduk bersila di jalan berkenaan, bertentangan dengan barisan pasukan tersebut.

Tindakannya itu yang dirakam lensa kamera, mendapat sambutan liar di Internet apabila gambar beliau dalam keadaan diselubungi asap gas pemedih mata dikongsi lebih 1,500 pengguna Facebook, selain 160,000 tontonan video di YouTube.

"Memandangkan mereka (polis) tidak membenarkan saya duduk di Dataran Merdeka, saya duduk di hadapan mereka," katanya yang digelar 'Lelaki Topi Jerami' oleh para peminatnya.
Nukilan Oleh Juragan pada 7:03 PTG.

Harakah Daily

Fokus 8 tuntutan Bersih, abai putar belit media

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong Bersih 2.0 meminta semua pihak kembali fokus kepada lapan tuntutan Bersih dan tidak melayan putar belit media arus perdana.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Nahar Md Nor berkata, media seharusnya membantu Bersih 3.0 memastikan lapan tuntutan dilaksana, bukan mengalihkan isu.

"Jika ada keganasan polis atau ada peserta bertindak ganas, itu jelas perlu dilakukan siasatan bebas tapi isu yang kita nak bawa iaitu lapan tuntutan, tidak boleh hilang fokus.

"Kita nak agar isu dan tuntutan Bersih ni balik kepada asal dan kita tak mahu isu-isu lain yang cuba dialih pihak media kerajaan daripada tuntutan sebenar Bersih," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), Tan Jo Hann berkata, isu pokok yang dibawa Bersih diputar belit, dan menutup keganasan polis terhadap orang awam dan media.


“Bersih wujud bukan disebabkan personaliti, menggulingkan kerajaan, komunis yang dimainkan oleh media arus perdana.

“Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum,” katanya.

Jo Hann yang berpengalaman sebagai jurufoto di Filipina juga menyifatkan keganasan polis pada perhimpunan Bersih 3.0 sebagai melampau.

“Tujuh tahun jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian.

“Polis atau tentera jika lihat pas media, mereka akan lindungi kami,” katanya.

Turut serta ialah Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Harakah Daily

Jangan kerana wang tidak bina rumahtangga

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan masalah kewangan antara menjadi punca mengapa kaum lelaki negara ini tidak berkahwin, bagaimanapun janganlah kerana punca itu rumahtangga tidak dapat dibina.

Pengerusi Lujnah Kebajikan Muslimat PAS Pusat Dr Najihahtussalehah Ahmad berkata, sebuah perkahwinan yang berkat adalah maharnya yang rendah.

"Saya rasa tidak semua faktor kewangan yang menjadi halangan untuk orang lelaki berkahwin, ini kerana lelaki juga mempunyai egonya tersendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas fenomena lelaki tidak berkahwin kerana faktor kewangan, manakala wanita pula tidak menjumpai calon yang sesuai.

Tambahnya, bukan semua wanita tidak menerima lelaki yang tidak berduit, masih ramai lagi wanita seperti ini.

Tegasnya, perkahwinan adalah perkongsian dan ia adalah sunnah yang mana setiap pasangan kena redha dengan apa yang ada pada si suami atau isteri.

Ini kerana katanya, suami tetap menjadi pemimpin kepada rumah tangga tidak kira siapa yang bergaji besar atau siapa yang berpendidikan tinggi.

"Faktor kebahagian bukan bergantung kepada wang ringgit semata-mata. Sikap kasih sayang dan toleransi antara suami isteri itulah bunga-bunga kebahagian," katanya.

Mengulas fenomena wanita yang sukakan perkahwinan yang meriah dan besar-besaran antara penyebab lelaki tidak berkahwin, beliau mempersoalkan "apakah kita hendak jadikan perkahwinan untuk masa kahwin sahaja atau akhir hayat?

Malah Najihatussaleha mengakui persekitaran bersifat meterial telah mempengaruhi wanita hari ini menyebabkan kebanyakkan mereka mendesak sebuah perkahwinan besar-besaran dan gilang gemilang.

"Desakan itu, menyebabkan kaum wanita tidak menemui calon yang sesuai iaitu calon yang boleh memenuhi impian mereka, dalam masa yang sama lelaki pula tidak berani melamar," katanya.

Justeru, beliau mensyorkan kursus perkahwinan yang diwajibkan kepada setiap bakal pasangan sepatutnya menekankan soal ini.

Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan bilangan rakyat Malaysia berumur 25 tahun ke atas yang tidak pernah berkahwin adalah seramai 2.5 juta orang atau 16.7 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Hasil kajian yang sama juga mendapati faktor-faktor utama lelaki tidak berkahwin adalah masalah kewangan (44.7 peratus), tiada calon sesuai (19.3 peratus), kemajuan kerjaya (12.8 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus).

Katanya, bagi golongan wanita, punca utama adalah tiada calon sesuai (40 peratus), masalah kewangan (14 peratus), kemajuan kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus).

Harakah Daily

Bersih 3.0: Hanif tak sesuai ketuai panel bebas

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pelantikan Tun Hanif Omar sebagai ketua panel siasatan bebas menangani perhimpunan Bersih 3.0 adalah tidak sesuai sama sekali.

Katanya, ini disebabkan latar belakang Haniff sendiri sebagai bekas Ketua Polis Negara sedangkan penyiasatan menjurus kepada dakwaan insiden kekasaran oleh pihak polis ketika perhimpunan aman tersebut pada 28 April lalu.

“Lagipun beliau sendiri sudah membuat kenyataan bias sebelum ini mengatakan perhimpunan Bersih mahu menggulingkan kerajaan dan disertai komunis 1970-an.

“Jadi dengan kenyataan kontroversi yang sejak awal-awal lagi, mana mungkin mampu mendapatkan penyiasatan yang adil, telus dan berwibawa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini pelantikan enam ahli panel penasihat bebas yang diketuai Hanif untuk menyiasat dan melaporkan kejadian sebenar ketika perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

Ahli-ahli lain ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Ruszmi Ismail.

Kerajaan dipercayai terpaksa melantik panel tersebut dipercayai berikutan menerima tekanan pelbagai pihak yang menyaksikan keganasan polis menangani lebih 200,000 rakyat yang berhimpun menuntut keadilan.

Namun demikian, perhimpunan menuntut 8 pembaikan dalam pilihan raya itu cuba dipusingkan dengan mengaitkannya sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata, seelok-eloknya dilantik bekas hakim atau bekas Peguam Negara atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri sudah memadai dengan ditambah kuasa penyiasatan.

“Jadi dengan pelantikan tersebut saya percaya masyarakat masih belum melihat ada panel yang betul-betul bebas bagi menyiasat keganasan polis pada hari tersebut terhadap rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil,” jelasnya.

Beliau mengingatkan, ketika peristiwa mata lebam Anwar Ibrahim dulu juga dilantik panel penyiasat di kalangan polis untuk menyiasat polis tetapi tidak ditemui. Tetapi selepas dilantik Suruhanjaya Diraja barulah ditemui yang membelasah Anwar ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Mengenai durian runtuh yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Jengka 8 semalam, Tuan Ibrahim berkata jumlah yang ‘runtuh’ itu, iaitu RM5,000 diberi tunai dan RM10,000 dalam dua fasa lain tidaklah sehebat pada sangkaan awal.

“Pada mulanya kita ingatkan peneroka betul-betul akan tersandar dan tertiarap kerana terkejut dengan pengumuman macam dari langit itu. Kalau setakat RM5,000 itu, sekali peneroka jual hasil sawit pun dapat banyak tu.

“Lagipun wang peneroka sudah banyak yang tersangkut pada Felda antaranya penipuan kadar perahan gred (KPG), wang tabung tanam semula (TTS) yang belum dikembalikan, ses, isi rong dan banyak lagi.

“Di sini juga PAS mahu kerajaan dan Felda turut mempertimbangkan agar bonus dua bulan setengah gaji yang diperolehi oleh kakitangan Felda seperti diumumkan, supaya turut diberi kepada bekas kakitangan yang kini berpencen kerana mereka juga telah berjasa besar,” katanya.

Tuan Ibrahim mengingatkan, jika tidak dengan tawaran Pakatan Rakyat dan perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka (Anak) yang begitu gigih memperjuangkan nasib peneroka tidak mungkin Najib mengumumkan durian runtuh itu.

Beliau juga mengingatkan masih banyak janji kerajaan di kalangan peneroka masih belum tertunai antaranya pembesaran jalan raya Kampung Awah ke Jengka dan menaik taraf loji air ketika janji semasa pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dulu.

Harakah Daily

Rakaman penyeksaan

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LIMBANG: Siasatan polis berhubung kes seorang warga emas terlantar sakit yang didera isteri dan anak lelakinya di Kampung Tanggung Unggar, di sini, membawa kepada penemuan mengejutkan apabila dua beranak itu didapati turut merakam perbuatan zalim mereka menggunakan kamera telefon bimbit.

Tindakan wanita dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun itu terbongkar selepas polis menemui tiga rakaman video memaparkan perbuatan keji mereka dalam komputer riba 1Malaysia milik pelajar berkenaan di rumah mereka, semalam.

Lebih mengejutkan, rakaman video itu memaparkan wanita berkenaan yang berusia 50 tahun memukul suaminya dengan rotan manakala anak lelakinya ‘tumpang sekaki’ mendera bapanya, termasuk menarik alat sulit lelaki berusia 64 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, jiran keluarga terbabit menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Khamis lalu, melaporkan perbuatan kejam dua beranak itu.

“Keesokannya, pegawai JKM bersama polis pergi ke rumah mereka yang mengambil masa sejam perjalanan dengan bot dari sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

metro/-

Penganggur dipenjara belasah isteri guna kayu hoki

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Perlakuan ganas seorang penganggur mencederakan isterinya menggunakan kayu hoki, tahun lalu, menerima balasan apabila dia dihukum dua tahun penjara dan tiga kali sebatan.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Asri Ahamed@Mohammad, 26, selepas lelaki tersebut mengaku bersalah mengasari isterinya itu.

Mohd Asri didapati bersalah mencederakan Nik Rosdiana Mohamed, 22, pada jam 10 pagi, 17 Januari lalu di rumah mereka di Jalan Panji, di sini.

Selain kayu hoki, Mohd Asri juga mengaku menggunakan kayu sepanjang 1.5 meter dalam kejadian itu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa isteri tertuduh berada di rumah mereka pada tarikh berkenaan, berlaku selisih faham dan Mohd Asri memukul mangsa menggunakan kedua-dua kayu tersebut.

Punca tindakan tertuduh disebabkan lelaki itu marahkan isterinya yang dikatakan cuai menjaga anak sehingga anak mereka terjatuh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam semasa membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan memohon supaya dia diberikan hukuman yang ringan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal supaya memberi pengajaran kepadanya.

Dalam perkembangan sama, tertuduh turut mengaku memukul mangsa menggunakan topi keledar di kantin sebuah kelab di Pengkalan Chepa di sini, pada jam 8 malam, 3 Mei lalu.

Hukuman bagaimanapun ditangguhkan kerana menunggu laporan perubatan mangsa.

Kes disambung pada 12 Jun depan.

Sinar Harian