10 Mei 2012

Elie ugut bunuh bila pintu dibuka

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, lelaki bergelar ‘Jutawan Lubnan’, Elie Yousseff Najem ada mengugut membunuh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dan ahli keluarganya kerana mengetuk pintu biliknya di sebuah hotel pada 26 April 2010.

Penolong Pembantu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Shariza Zakaria berkata, dia ada mendengar Elie Yousseff membuat ugutan itu, selepas pintu biliknya dibuka.

“Saya dan enam lagi PPA jelas mendengar kata-kata Elie Yousseff sebaik sahaja pintu bilik tersebut dibuka dengan bantuan polis selepas menerima aduan daripada pekerja hotel tersebut.

“Kami ada lihat dia buat panggilan kepada orang kenamaan dan bercakap dalam keadaan yang marah,” katanya.

Menurut saksi kelima itu, sebaik pintu bilik dibuka beliau melihat seorang lelaki Arab dan Elie Yousseff memperkenalkan dirinya.

“Elie Yousseff hanya memberi syarat dan meminta dua petugas iaitu seorang lelaki serta wanita saja yang dibenarkan masuk. Ketika itu saya dan jurufoto masuk ke dalam bilik,” katanya.

Shariza berkata, mereka melihat seorang wanita di atas katil dalam berkeadaan seperti bangun dari tidur selepas pemeriksaan terhadap bilik itu dilakukan.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes khalwat membabitkan Elie Yousseff, 52, dengan seorang wanita, Roslin Tahir dalam sebuah bilik di tingkat lapan, Wisma Belia, di sini jam 3.45 petang, 26 April 2010.

Elie Yousseff menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 27 (a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 manakala Roslin didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Perbicaraan bersambung 16 Julai depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: