10 Mei 2012

Nyaris maut kereta rempuh lori

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

REMBAU – Seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 63 dan 30 tahun mengalami kecederaan parah dan tersepit setelah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Seremban-Tampin, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, kedua-dua mangsa yang datangnya dari arah Seremban dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori tanpa muatan yang datangnya dari arah Tampin.

Menurut pemandu lori berkenaan, Gurmeet Singh, 32, ketika kejadian, dia sangat terkejut apabila mendapati terdapat sebuah kereta masuk ke laluannya secara tiba-tiba dan dia tidak sempat mengelak.

“Saya sangat terkejut tetapi tidak sempat mengelak kerana ia berlaku begitu pantas. Ketika kejadian saya dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur dan berasa sangat berdebar kerana dirempuh oleh kende­raan lain.

“Mujur saya hanya mengalami cedera ringan di kaki dan tangan sahaja. Bagaimanapun, bagi pemandu dan penumpang kereta berke­naan, mereka tersepit dan memerlukan bantuan untuk di bawa keluar,” katanya susu­lan insiden berkenaan, pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan dan bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, pihaknya berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa di bahagian hadapan tempat duduk iaitu di baha-gian pemandu dan bahagian penumpang hadapan.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: