10 Mei 2012

Hanif tidak dapat selesai isu keganasan polis

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat pelantikan Tun Hanif Omar mengetuai panel bebas bagi menyiasat insiden keganasan dalam Bersih 3.0 serta menolak tawaran pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tindakan yang tidak bijak serta cuba menutup keburukan diri.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, kerajaan seolah-olah merasa bimbang jika banyak tembelang mereka yang cuba disembunyikan dari pengetahuan umum akan pecah satu persatu jika mereka terima tawaran PBB dan dalam masa yang sama mereka dengan tergesa-gesa pula melantik panel yang diketuai oleh individu yang dipertikaikan ramai pihak.

Katanya, DPPWP menganggap pelantikan Hanif sebagai Pengerusi Panel Penyiasat Bebas sebagai ‘melepas batuk di tangga’ bagi mengelakkan lebih banyak tohmahan dilemparkan oleh rakyat terhadap kerajaan.

“DPPWP bersetuju dengan pandangan ramai bahawa pelantikan Tun Haniff Omar tidak akan menyelesaikan isu keganasan polis semasa Bersih 3.0, bahkan rami sudah menjangkakan apakah kesudahan dalam siasatan panel bebas ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, ujar beliau kerana latar belakang Hanif sebagai Ketua Polis Negara dan insiden yang akan disiasat oleh beliau dan panelnya adalah melibatkan insititusi polis.

Beliau berkata, Haniff pula pernah mengeluarkan kenyataannya yang mengutuk perhimpunan Bersih 3.0.

“Dengan latar belakang yang begini, apakah beliau mampu berdiri ‘bebas’ bagi menyiasat semua insiden ini, atau beliau turut ‘bias’ dalam membela PDRM dan menyalahkan orang awam?” tanya Suhaimi.

Tambahnya, dalam keadaan imej PDRM yang semakin tercalar teruk kebelakangan ini dengan pelbagai kes seperti rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi PDRM, kes melindungi kumpulan kongsi gelap, jenayah, menangani orang awam secara ganas dalam perhimpunan, dan lain-lain lagi, imej Hanif selaku bekas Ketua Polis Negara turut tercalar.

“Beliau tidak terlepas dari tanggapan negatif masyarakat bahawa beliau juga sebahagian dari gambaran buruk yang ditohmah terhadap PDRM,” ujarnya.

Oleh yang demikian, kata beliau DPPWP berpendapat amat wajar sekiranya kerajaan menarik balik pelantikan Tun Hanif Omar bagi mengetuai panel siasatan bebas ini dan melantik individu lain yang dilihat lebih bersih dan bebas.

DPPWP juga, katanya mendesak supaya kerajaan menyertakan sekali Suhakam dalam panel siasatan ini serta menimbangkan semula untuk menerima tawaran PBB.

“Jika tidak jangan disalahkan jika rakyat dan masyarakat antarabangsa menyamakan pemerintahan Malaysia dengan pemerintah kuku besi di negara lain,” katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: