10 Mei 2012

Peragut bernasib malang

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA KRAI - Tindakan seorang lelaki melanggar anggota polis yang mengejarnya untuk melepaskan diri selepas melakukan jenayah ragut tidak berjaya apabila motosikalnya terjatuh dan diberkas di Jalan Batu Balai, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu berlaku apabila suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 tanpa nombor pendaftaran meragut beg tangan seorang wanita di tepi jalan Kampung Tok Bok, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar berkata, perbuatan itu dilihat sepasukan anggota polis yang sedang melakukan Rondaan Cegah Jenayah dan orang awam di kawasan itu yang kemudian bertindak mengejar peragut terbabit.

”Sebaik menyedari dia dikejar polis, lelaki berusia awal 20-an terbabit mencampakkan beg yang diragut di tepi jalan Sungai Durian sebelum dia berjaya ditahan di Jalan Batu Balai. ”Suspek berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri selepas terjatuh atas jalan raya kerana melanggar motosikal anggota polis yang mengejarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan amal Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah ke Hospital Kuala Krai (HKK), di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ragut.

Sementara itu, Abdul Rahman mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati berikutan banyak kes ragut berlaku di daerah ini sejak kebelakangan ini

”Bagi bulan ini (Mei) sahaja, sudah ada lima kes ragut termasuk tiga kes di tapak ekspo berhampiran Dataran Peladang dan setakat ini, polis berjaya menahan dua peragut termasuk seorang kelmarin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki berusia 25 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, setelah didapati bersalah meragut seorang warga emas, Jumaat lalu.

Tertuduh, Nik Mohd Faizul Iman Nik Sin mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah.

Nik Mohd Faizul Iman dituduh meragut Yatim Awang, 70, ketika mangsa berada di kebunnya di Kampung Bunut Saih, Pahi kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis IPD Kuala Krai, Inspektor Aizuddin Jamaludin.

Sinar Harian

Tiada ulasan: