10 Mei 2012

Wartawan Harakah dipanggil jadi saksi

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Wartawan Harakah Terengganu, Khairul Azlam Mohamad hari ini dipanggil untuk memberi keterangan berhubung artikel beliau di dalam akhbar Harakah.

Beliau yang juga merupakan defenden telah hadir bagi memberi keterangan berhubung dengan sidang media yang diadakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di Terengganu berhubung dengan isu serbuan gereja DUMC di Selangor.

Mahkamah yang berlangsung pagi tadi dan bersambung semula jam 230 petang turut memanggil wartawan sambilan RTM, Khalid Abdullah dan juga bekas exco Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Manakala pada petang ini, Setiasusaha Perhubungan Umno Selangor, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed akan hadir memberi keterangan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM10 juta Umno Selangor ke atas Presiden PAS, Tuan Guru Ustaz Hadi Awang dan timbalannya, Haji Mohd Sabu di atas alasan saman tersebut bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin ketika menolak tuntutan Umno Selangor tersebut bersetuju dengan hujah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hadi dan Mohd Sabu bahawa saman Umno Selangor ke atas kedua-dua tokoh PAS tersebut telah gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan kerana ia bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.

Umno Selangor telah melalui Setiasusaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed memfailkan writ saman ke atas Ustaz Hadi dan Mohd Sabu dan beberapa individu lain bagi menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah yang bertarikh 19 Ogos 2011 memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dengan keputusan ini, hanya tinggal tiga lagi defendan dalam kes saman Umno ini.

Saman Umno Selangor tersebut telah difailkan oleh peguam Umno iaitu Tetuan Hafarizam, Wan Mubarak manakala Ustaz Hadi dan Mohd Sabu diwakili oleh Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: