10 Mei 2012

Pesawat bawa 50 orang hilang di Indonesia

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GAMBAR kelmarin menunjukkan pesawat buatan Rusia, Sukhoi Superjet-100 berada di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta.

JAKARTA - Sebuah pesawat penumpang baharu buatan Rusia yang membawa 50 orang hilang semasa melakukan penerbangan demonstrasi di sebuah kawasan pergunungan di Indonesia.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan memberitahu, pasukan mencari dan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian di barat Indonesia.

Cuaca buruk bagaimanapun, menyebabkan sekurang-kurangnya dua buah helikopter terpaksa berpatah balik.

Pesawat berkenaan, Sukhoi Superjet-100 berlepas dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di ibu kota Indonesia di sini pada pukul 2.21 petang waktu Indonesia.

Pesawat itu tidak dapat dikesan oleh radar 12 minit kemudian, selepas seorang kru meminta kebenaran daripada pusat kawalan trafik udara untuk terbang pada ketinggian 3,000 meter ketika menghampiri Banjaran Gunung Salak.

"Saya melihat sebuah pesawat besar terbang melintasi rumah saya," kata Juanda, seorang penduduk kampung yang tinggal dekat gunung setinggi 2,200 meter itu kepada stesen televisyen tempatan, TVOne.

"Pesawat itu senget dan enjin pesawat pula seperti mengaum," tambah wanita berkenaan.

Ketika kejadian, pesawat itu membawa beberapa orang diplomat dari Kedutaan Rusia, sejumlah pegawai syarikat penerbangan Indonesia dan wartawan dalam penerbangan demonstrasi selama 50 minit. - Agensi

Tiada ulasan: