10 Mei 2012

3,000 liter diesel dirampas

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MUAR – Pasukan Polis Marin Muar berjaya menumpaskan kegiatan menjual minyak diesel subsidi dan merampas 3,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM20,000 selepas menahan sebuah lori di hadapan bengkel besi di Jalan Masjid Parit Jawa dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Muar, Asisten Superintendan Nordin Othman berkata, lori tersebut dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang kini ditahan dan akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, minyak itu dipercayai dibeli dari sebuah persatuan sebelum dijual kepada pengusaha perindustrian sekitar daerah Muar.

“Suspek tergamak melanggar peraturan kerana mahu mengaut keuntungan lumayan berikutan harga diesel bagi pasaran industri jauh lebih tinggi.

“Tangkapan pada jam 1.30 petang ini, hasil daripada maklumat orang awam yang mengetahui kegiatan suspek,” katanya dalam sidang media di Markas Polis Marin Muar, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya membuat risikan selama tiga hari sebelum melakukan tangkapan yang disertai tiga anggota risikan dan tiga anggota bot PSC 43.

Nordin berkata, semasa tangkapan suspek juga gagal menunjukkan surat kebenaran penjualan minyak diesel daripada PPDNKK Cawangan Muar.

“Tangkapan tersebut merupakan kes pertama bagi tahun ini dan pihaknya akan giat menjalankan risikan untuk mengesakan saki baki kegiatan itu.

“Kami meminta kerjasama orang awam supaya segera menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu kepada pihak polis supaya ia dapat dibanteras lebih cepat,” katanya.

Nordin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1991 kerana membawa dan memiliki barangan kawalan tanpa permit.

Sinar Harian

Tiada ulasan: