10 Mei 2012

Pemilik banglo disyaki mencuri air

18 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Dua premis banglo dua tingkat, diserbu pihak berkuasa petang kelmarin, kerana disyaki mencuri air melalui penyambungan paip haram.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, penyambungan haram itu untuk kerja pengubahsuaian premis berkenaan, sejak seminggu lalu.

Katanya operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), yang diketuai Pe­gawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (Bhepp Span), Mohadir Hid, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihak kami mengenai wujudnya kegiatan curi air di premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati premis itu mempunyai sambungan tanpa kebenaran atau tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 16 milimeter (mm),” katanya.

Menurutnya, hasil ujian klorin menunjukkan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Satu notis memaklumkan kesalahan dikeluarkan terhadap pemilik premis terbabit dan paip yang digunakan disita sebagai bahan bukti.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: