25 Mei 2012

Meterai bukti kota Baitul Laham wujud

4 Rejab 1433H. [MOD] -

GAMBAR yang disiarkan dalam laman web Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin menunjukkan meterai kuno yang tertera nama Baitul Laham. - Agensi

BAITULMUQADDIS - Sepasukan ahli arkeologi Israel menemui sebuah meterai (cop mohor) berusia 2,700 tahun yang tertera perkataan Baitul Laham dalam bahasa Ibrani, kata Pihak Berkuasa Antikuiti Israel kelmarin.

Ia dipercayai bukti terawal kewujudan kota Baitul Laham seperti yang disebut dalam kitab Injil.

Penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa dilahirkan di kota Baitul Laham.

Diperbuat daripada tanah liat, meterai itu ditemui semasa kerja ekskavasi di Kota Nabi Daud, berhampiran Bandar Lama di sini.

Pengarah ekskavasi berkenaan, Eli Shukron berkata, artifak berdiameter 1.5 sentimeter itu dihasilkan antara 700 hingga 800 tahun Sebelum Masihi ketika raja-raja Yahudi memerintah kerajaan Judah atau 700 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. - Agensi

Kepala hancur, perut terburai akibat ditetak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG - Seorang lelaki dibunuh kejam apabila kepalanya hampir hancur ditetak manakala perutnya terburai, dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Akob, Bukit Kapar, semalam.

Mayat mangsa berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui terbaring seorang pemilik ladang, kirakira jam 8.30 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis dari Balai Polis Kapar dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat daripada pemilik ladang berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat lebih lima kesan tetakan yang dalam di kepala mangsa. Perutnya juga terburai. “Senjata yang digunakan penjenayah tidak ditemui di lokasi kejadian,” katanya semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh kurang 24 jam berdasarkan keadaan darah yang masih baru. Mohamad Shukor berkata, mayat mangsa ditemui memakai baju hitam, seluar hijau dan berjaket coklat serta berkasut kanvas.

“Mangsa merupakan warga tempatan, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya.

Beliau berkata, polis menyiasat motif pembunuhan dan masih mengesan penjenayah yang terlibat. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Guru lapan beranak disamun empat lelaki bertopeng

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Lapan beranak menempuh detik mencemaskan apabila diikat dan diugut dengan kayu yang dipenuhi paku serta paip besi oleh empat lelaki bertopeng yang memecah masuk kediaman mereka dalam satu kejadian samun di Kampung Lapang Sira, Kuala Belara, Manir, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, mangsa, Zainabon Mat Diah, 54, sedang lena tidur bersama tiga anaknya di ruang tamu sebelum dikejutkan empat penyamun berkenaan dipercayai menceroboh masuk rumah terbabit melalui pintu belakang.

Menceritakan kejadian, ibu tunggal kepada lapan anak itu berkata, sejurus terkejut daripada tidur, dia ternampak empat lembaga hitam berdiri di hujung kepalanya sambil masing-masing memegang sebatang kayu dan sebatang paip besi.

“Salah seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan membuat bising dan akan mengeluarkan pisau jika saya melawan sebelum mengikat kedua belah tangan kami dengan menggunakan dawai pagar rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Zainabon yang juga seorang guru berkata, salah seorang suspek telah memaksa anak keenamnya, Mohd Syahrizul Chik, 24, untuk menunjukkan bilik yang masih dihuni oleh ahli keluarganya dengan keadaan kedua-dua belah tangan diikat di belakang.

"Kami takut, hanya ikut arahan"

“Disebabkan ketakutan, kamihanya mengikut sahaja arahan mereka dan anak saya terus membawa dua daripada suspek naik ke tingkat atas untuk mengejutkan empat lagi adik beradiknya yang tidur di dalam bilik.“Ketika itu, kami langsung tidak melawan, malah untuk bersuara pun kami tidak mampu kerana mereka sentiasa mengacukan senjata yang dipegang ke arah kami,” katanya.

Katanya, selepas mereka dikumpulkan di ruang tamu, keempat-empat suspek mula menggeledah rumah terbabit dan berjaya melarikan barangan kemas termasuk tiga utas gelang, seutas rantai, lapan keping jokong emas, wang tunai berjumlah RM3,500 dan lima telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM50,000.

“Semasa menggeledah beg tangan saya dan mengambil duit gaji yang baru dikeluarkan sebelum itu, salah seorang berkata yang mereka semua tidak makan seminggu disebabkan tiada duit. “Tiga daripada mereka menggunakan dialek Indonesia manakala seorang lagi saya tidak tahu kerana dia bercakap dialek campur-campur,” katanya.

"Anak minta longgarkan ikatan saya"

Zainabon berkata, setelah mendapat apa yang dikehendaki, salah seorang suspek memaksa kami menyerahkan dua kunci motosikal sebelum melarikan diri dengan motosikal berkenaan.

“Sejurus mereka beredar, saya berjaya membukakan ikatan kerana sebelum itu salah seorang daripada anak saya merayu agar melonggarkan ikatan di tangan saya kerana memberitahu saya sudah tua dan ada penyakit kencing manis.

“Walaupun kami tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kejadian ini masih menjadi ‘igauan ngeri’ buat kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian

Lagi pelajar perempuan diracun

4 Rejab 1433H. [MOD] -

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 125 pelajar perempuan dan tiga guru sebuah sekolah di wilayah Takhar, Afghanistan dimasukkan ke hospital, kelmarin selepas diracun dalam kejadian kedua pada tahun ini.

Polis melaporkan serangan menggunakan penyembur bertoksik itu sememangnya menyasarkan golongan wanita di sekolah Bibi Hajera tersebut.

"Walaupun keadaan mereka tidak kritikal, kebanyakan mangsa mengalami sakit kepala, muntah dan ada juga yang pengsan," menurut Pengarah Kesihatan Awam, Dr Hafizullah Safi.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Kebangsaan bagi Keselamatan Afghanistan (NDS (NDS) memaklumkan, mereka yakin serangan tersebut didalangi kumpulan Taliban yang sememangnya menentang golongan wanita untuk mendapat pendidikan di sekolah.

"Mereka sengaja mahu menakut- nakutkan pelajar perempuan supaya mereka tidak lagi pergi ke sekolah," katajurucakap NDS itu lagi. Pada bulan lalu, kejadian sama dilaporkan melibatkan lebih 150 pelajar perempuan jatuh sakit selepas terminum air bercampur racun.

Sinar Harian

Kancil berpusing, mangsa tercampak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KLUANG – Seorang ibu bersama anak bongsu dan adik perempuannya maut, manakala seorang lagi anaknya cedera parah selepas Kancil yang mereka naiki bertembung dengan lori membawa muatan kelapa sawit sebelum dirempuh Toyota Hilux berhampiran Ladang Tabung Haji di Kilometer 70, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.15 pagi itu, kenderaan dinaiki mangsa remuk teruk di bahagian hadapan, malah ada di antara mereka tercampak keluar daripada kenderaan.

Pemandu Kancil berkenaan, Marlisa Mansor, 25, bersama anak bongsunya, Sharmila Jumadi, dua tahun, dan adik perempuan Marlisa, Mariana Mansor, 22, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala seorang lagi anak Marlisa, Sofea Balqis, lima tahun, mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Kluang sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu lori kelapa sawit yang berusia 44 tahun dan pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 29 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kluang untuk dibedah siasat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Tongkat, petang semalam.

Percubaan Sinar Harian untuk menemubual suami Marlisa, Jumadi Sim, 30-an tidak berjaya kerana dia yang masih terkejut dengan tragedi berkenaan pengsan beberapa kali di Unit Kecemasan, semalam

Dalam pada itu, nenek saudara Marlisa, Sharifah Saad, 62, berkata, sebelum kejadian berlaku, empat beranak itu baru sahaja menghantar adik mereka, Norafidah Mansor, 20-an ke Terminal Bas Kluang kerana adik mereka mahu pulang ke Johor Bahru.

Katanya, Marlisa mempunyai tiga anak dan kesemuanya perempuan namun sewaktu kejadian, anak sulung Marlisa, Sofea Ameera Jumadi, tujuh tahun, tidak mengikutnya kerana pergi ke sekolah.

“Setahu saya, sebelum menghantar adik mereka, Marlisa dan Mariana baru sahaja habis kerja syif malam di sebuah kilang elektronik di Bandar Tenggara. Saya tidak menyangka kejadian ini berlaku sehingga meragut nyawa mereka.

“Kali terakhir berjumpa mereka adalah sebulan lalu kerana saya jarang berjumpa dengan Marlisa disebabkan jadual kerjanya yang tidak menentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, siasatan awal mendapati Kancil dipandu Marlisa yang dalam perjalanan dari Kluang ke Kota Tinggi cuba memotong Toyota Hilux berkenaan, namun tidak menyangka tiba-tiba lori membawa muatan kelapa sawit muncul dari arah bertentangan lalu bertembung.

Beliau berkata, selepas pertembungan itu, Kancil terbabit merempuh Toyota Hilux sehingga menyebabkannya remuk teruk di bahagian kanan.

Abdul Majid berkata, ketiga- tiga mangsa yang meninggal dunia itu berasal dari Felda Bukit Tongkat.

“Buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kemalangan tersebut,” katanya.

Sinar Harian

Pemuda tenat ditikam, ditetak

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Hasrat seorang pemuda untuk meminta pertolongan daripada peniaga kedai runcit tidak kesampaian apabila dia kini tenat akibat ditikam dan ditetak oleh dua lelaki di Cabang Empat Cherang, Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian yang berlaku pada jam 10 malam pada Selasa lalu menyebabkan mangsa yang berumur 27 tahun berasal dari Kota Bharu kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

”Ketika kejadian mangsa dikatakan lari masuk ke sebuah kedai runcit milik peniaga Cina untuk meminta bantu akibat dikejar dua suspek menggunakan parang dan pisau.

”Belum sempat mangsa meminta pertolongan dua suspek itu terus menikam dan menetak mangsa di kepala, perut dan peha kanan sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Pasir Puteh di sini, semalam.

Sebelum itu Mazlan bersama anggotanya mengadakan Program Walkabout di Pasar Mingguan di sini, dalam usaha mendekati orang ramai.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah kedai roti kini dirawat di HUSM dan masih dalam keadaan tenat.

Mazlan berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui motif kepada kejadian itu berlaku sehingga hampir meragut nyawa.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mencedera parahkan seseorang dengan senjata hingga maut.

”Kami merayu orang ramai supaya tampil memberi maklumat untuk membantu polis bagi mengesan kedua-dua suspek iaitu lelaki berumur 20an.

”Hanya mangsa sahaja tahu tentang kejadian itu kerana ahli keluarganya juga tidak mengetahui motif kejadian tetapi mangsa masih tenat dan tidak boleh diganggu,” katanya.

Sinar Harian

Jk Bersih akan putus tindakan - Pak Samad

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said memberitahu Jawatankuasa Pemandu Bersih akan bermesyuarat bagi memutuskan tindakan selanjutnya yang akan diambil berhubung perhimpunan anti Bersih di rumah Datuk S Ambiga petang tadi.

Beliau yang ditemui diperkarangan rumah Ambiga menjelaskan, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Kita akan bermesyuarat dan membincangkan tentang apa yang berlaku hari ini dan selepas itu satu kenyataan akan dikeluarkan.

"Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan kerana sebagai sebuah jawatankuasa biarlah kenyataan tersebut selari dengan apa yang mahu Ambiga nyatakan nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu hampir 100 orang cuba berkumpul di depan rumah Ambiga di Bukit Damansara di sini dengan sebahagiannya terdiri daripada sekumpulan pemuda bermotosikal.

Mereka adalah dari kumpulan anti Bersih yang diketuai Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) Datuk Jamal Yunus yang sebelum ini turut mengumumkan akan membuka gerai di hadapan rumah Ambiga.

Bagaimanapun, ia dibatalkan disaat-saat akhir.

Perhimpunan mereka siang tadi bagaimanapun gagal sampai di hadapan rumah Ambiga apabila dihalang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berada di simpang masuk ke rumah Ambiga di Jalan Setiakasih 1 sejak pagi tadi.

Dua buah lori besar DBKL turut ditempatkan berdekatan kawasan itu, dipercayai untuk mengangkut sebarang gerai yang didirikan tanpa kebenaran.

Terdahulu sebelum itu, sekumpulan 30 orang lain yang menggelarkan diri mereka "HALAU 1.0" cuba menyerahkan risalah mengandungi 10 sebab Ambiga perlu 'dihalau' dari Malaysia kepada Ambiga sendiri.

Cubaan mereka bagaimana pun gagal apabila risalah itu hanya diterima Datuk A Samad Said menerusi celah pintu pagar rumah Ambiga.

Harakah Daily

Pegawai tinggi diyakini akan terus sertai PAS

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Fenomena penjawat awam berpangkat tinggi menyertai PAS diyakini akan berterusan selepas ini, kata veteran PAS, Ahmad Awang (gambar).

Ahmad berkata, fenomena ini berlaku kerana rakyat tidak menyenangi situasi politik dalam negara yang tidak baik.

Tambahan pula kata bekas Naib Presiden PAS itu, tindakan kerajaan menyekat kemaraan Bersih 3.0 baru-baru ini memberi kesedaran kepada rakyat untuk menolak kerajaan yang enggan membersihkan sistem pilihan raya.

"Banyak isu dalam negara menyebabkan kemarahan rakyat dan mereka mula sedar kepentingan mereka bersama-sama dalam perjuangan PAS," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Beliau juga juga yakin makin ramai pesara kerajaan akan menzahirkan sokongan terhadap PAS jika kerajaan terus mengamalkan politik kotor dan kezaliman.

"Saya yakin semakin banyak penyelewengan, salahguna kuasa dan politik kotor, semakin ramai orang akan menyertai perjuangan PAS," katanya.

Tambah beliau lagi, fenomena penjawat awam termasuk golongan cerdik pandai memilih PAS selepas bersara bukan baru sekarang berlaku malah sejak dari dahulu lagi.

"Sejak dahulu lagi PAS menerima keahlian penjawat awam yang bersara daripada askar, polis.

"Sewaktu dalam perkhidmatan, mereka terpaksa menyembunyikan sokongan terhadap PAS tapi mereka tahu apa yang diperjuangkan PAS. Jadi selepas bersara, mereka berasa bertanggungjawab untuk memberikan komitmen," katanya.

Harakah Daily

Kereta: Anti Bersih cuba rasuah minda rakyat

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kumpulan anti-Bersih menggunakan taktik dengan menawarkan dua buah kereta mewah untuk cabutan bertuah disifatkan cubaan untuk merasuah minda masyarakat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu juga dilihat terdesak bagi menarik perhatian masyarakat yang sedang mentertawakan kebodohan penganjur yang digelar Bersih 4.0.

Bersih 4.0 melahirkan rasa tidak puas hati dan mendakwa Himpunan Bersih 3.0 yang di Pengerusi Datuk S. Ambiga telah menyebabkan perniagaan mereka kerugian.

Ekoran itu mereka bertindak membuka 60 gerai di depan rumah Ambiga bermula hari ini.

"Itulah sikap Umno yang sanggup menggunakan siapa sahaja termasuk NGO, pula bertindak membelakangi undang-undang," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Malah katanya, tawaran kereta mewah oleh Pengarah Bersih 4.0 Datuk Jamal Md Yunus itu ternyata beliau berbohong kononnya perniagaannya rugi.

"Kononya rugi, sedangkan beliau sendiri adalah seorang peniaga kereta mewah, dalam masa yang sama boleh bagi kereta pula," katanya.

Apa yang diperhatikan pada Himpunan Bersih 3.0 lalu, jelas Ridhuan ramai peniaga yang membuka perniagaan pada hari itu untung berlipat kali ganda.

"Ada yang meniaga air mineral sahaja berganda-ganda untung, peniaga mamak juga yang bijak mereka tahu waktu inilah mereka akan kaut keuntungan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak hairan dengan tawaran mewah yang diberikan, kerana anak muda hari ini sudah bijak dan tidak mungkin terpedaya dengan tawaran itu.

"Selain itu, mereka mahu mengalihkan perhatian anak muda kepada sokongan perubahan negara luar yang sedang mentertawakan pucuk pimpinan negara pada hari ini," katanya.

Sebelum itu, Datuk Jamal berkata, Bersih 4.0 telah membuka halaman Facebook.

Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan rakyat, beliau mengumumkan bahawa pelawat Facebook tersebut berpeluang memenangi kereta BMW 530 dalam cabutan bertuah apabila jumlah peminat mencecah 150,000 orang.

Jamal berkata, kereta model 2005 itu bernilai RM225,000.

Sekiranya jumlah peminat Facebook itu mencecah satu juta orang, Jamal berkata, sebuah lagi kereta mewah - 2009-model Lamborghini Gallardo model 2009 bernilai RM1.2 juta - akan ditawarkan dalam cabutan bertuah.

Harakah Daily

Lagi ceramah Pakatan jadi sasaran batu dan telur

4 Rejab 1433H. [MOD] -

Batu dan telur berterbangan lagi di ceramah Pakatan Rakyat malam ini, mengakibatkan seorang warga emas cedera di kepalanya.

Insiden itu berlaku kira-kira jam 11 malam ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap di satu majlis ceramah di Apartmen Pantai Permai, Kuala Lumpur, yang terletak dalam kawasan parlimen PKR di Pantai Dalam.

Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan.

Ia berlaku kira-kira 30 minit selepas bekalan elektrik ke majlis ceramah itu didakwa telah disabotaj dan disambung semula secara tergesa-gesa.

Bagaimanapun, keadaan di majlis ceramah itu tenang dan Anwar meneruskan ucapannya.

Sebelum itu, kira-kira 9 malam, kira-kira 80 orang yang berpakaian baju-T merah, berkumpul di luar tempat Anwar berceramah, sambil melaungkan "Tibai (Tolak individu Bernama Anwar Ibrahim)."

Ini adalah kali kedua dalam tempoh seminggu di mana ceramah Pakatan menjadi sasaran balingan batu dan telur. Sebelum ini ia berlaku di Merlimau, Melaka pada hari Sabtu.

Dalam insiden itu, warga emas yang menjadi mangsa itu diusung penyokong yang lain dari tapak ceramah dan dibawa ke hospital dalam keadaan separa sedar.

Ekoran insiden itu, penyokong PKR berarak ke arah penyokong Umno yang berdiri berhampiran pagar kuarters DBKL dan kedua-dua penyokong hanya dipisahkan pagar di Kuarters DBKL Pantai Permai.

Polis yang berada di tapak ceramah cuba mengawal keadaan namun penyokong PKR yang kini hanya beberapa meter dari penyokong Umno terus dibaling telur dan botol air mineral dari arah penyokong Umno.

Di pentas ceramah Umno, menyaksikan personaliti kontroversi Ummi Hafilda Ali menghiasi pentas ceramah yang berjaya menarik kira-kira 200 orang pendengar.

Ummi tidak berceramah secara berterusan tetapi menunggu penceramah di pihak PKR bercakap sesuatu isu dan kemudian membidasnya secara spontan - dengan pembesar suara dihalakan ke arah tapak ceramah PKR.

Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan sewaktu Anwar berucap.

Menurut ibunya, Adita Ketek, klinik yang memeriksa anaknya memintanya membawa Nurul Balqis ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana dikhuatiri patah tangan akibat insiden itu.

Ceramah berakhir dengan bacaan doa dari Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sekitar jam 12 malam.

malaysiakini/-

Mahkamah tolak saman bekas NC Unisel

4 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam petang tadi menolak saman fitnah yang difailkan oleh mantan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr Rosti Saruwono (gambar) dan dua orang yang lain ke atas empat orang kakitangan Unisel.

Mereka yang disaman adalah Profesor Dr Anuar bin Ahmad, Prof. Madya Zainal Abidin Kidam, Prof. Ir Dr. Mohamed bin Daud dan Datuk Latifah binti Hassan.

Selain daripada Datuk Dr Rosti Saruwono, keempat-keempat kakitangan Unisel tersebut juga disaman oleh dua orang bekas kakitangan yang lain iaitu Dr Khalifah Othman dan Encik Halid bin Hasbullah.

Mereka masing-masing adalah mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan mantan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Unisel.
Dr Anuar adalah Naib Canselor Unisel sekarang manakala Dr Rosti telah meletakkan jawatannya.

Saman Datuk Dr Rosti dan dua yang lain tersebut adalah berkaitan dengan satu Laporan yang dikenali sebagai 'Laporan Permasalahan yang kini dihadapi oleh Unisel' bertarikh 16 Mei 2011 yang disediakan oleh keempat –empat kakitangan tersebut dan juga berkaitan dengan beberapa laporan akhbar.

Laporan tersebut telah disediakan oleh keempat-empat kakitangan tersebut untuk memaklumkan Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyiasat permasalahan yang dihadapi oleh Unisel.

Jawatankuasa Siasatan tersebut telah dipengerusikan oleh mantan Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan anggota-anggota lain Jawatankuasa tersebut adalah Dr Yaakob Sapari dan Ronnie Liew.

Antara lain laporan tersebut melaporkan:

'Datuk Rosti menghadiri temuduga bagi jawatan Naib Canselor di UITM setelah menerima jawatan Naib Canselor Unisel pada tahun 2009. Ini menunjukkan bahawa hati Datuk Rosti dari awal lagi tidak bersama Unisel.'

'Datuk Rosti tidak membenarkan persatuan pelajar menjemput YAB Datuk Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan untuk memberi ceramah kepada pelajar, untuk menjaga hati mantan Canselor, Unisel.'

'Datuk Rosti menerima dengan mesra sekali kehadiran YAB Datuk Noh Omar ke Universiti, pada hal Datuk Noh Omar selalu mengkritik Unisel dan Kerajaan Selangor.'

Pada masa disaman Prof Dr Anuar Ahmad adalah Timbalan Naib Canselor /Naib Presiden (Akademik) manakala Prof. Madya Zainal Abidin Kidam pula memegang jawatan Timbalan Naib Canselor /Naib Presiden (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Ir Dr. Mohamed bin Daud adalah Timbalan Naib Canselor /Naib Presiden (Perancangan Strategik dan Pembangunan) dan Datuk Latifah binti Hassan pula mantan Naib Presiden (Perkhidmatan Pengurusan) Unisel.

Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin yang mendengar kes tersebut di dalam penghakiman lisannya ketika menolak saman Dr Rosti dan dua yang lain tersebut antara lain menyatakan bahawa defendan-defendan adalah dilindungi di bawah pembelaan perlindungan bersyarat (qualified privilege) ketika mereka menyediakan laporan tersebut kepada Jawatankuasa Siasatan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tiada keterangan yang dikemukakan oleh plaintif-plaintif bagi menunjukkan defendan-defendan tersebut mempunyai niat jahat ketika menerbitkan laporan tersebut.

Hakim juga memutuskan plaintif-plaintif juga telah gagal membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan di dalam beberapa laporan akhbar yang mengaitkan mereka telah dibuat oleh defendan-defendan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan pihak-pihak menanggung kos masing-masing.

Keeempat-empat defendan tersebut diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Datuk Dr Rosti dan dua yang lain diwakili oleh Encik Abdul Rahman Azubir.

Harakah Daily

4 tokoh profesional sertai PKR

4 Rejab 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan penyertaan empat orang tokoh profesional sebagai anggota parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu empat tokoh tersebut adalah Pengurus Kanan Am Jabatan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Koh King Kee, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab, bekas Pengarang The Malaysian Insider, Praba Ganesan dan Dr Abdul Aziz Bari, bekas pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, Koh King Kee merupakan graduan lepasan Universiti Malay dan pernah menjadi tahanan ISA pada Disember 1974 disebabkan beliau aktif memperjuangkan keadilan sosial.

Jelasnya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Abdul Hadi merupakan bekas pegawai tertinggi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas pemecatannya yang tidak sah berhubung kehilangan dua enjin jet pejuang F5E dari kem TUDM di Sungai Besi.

"PKR sangat mengalu-alukan penyertaan empat tokoh profesional ini dan membuka seluas-luas pintu kepada mana-mana tokoh atau individu yang ingin turut serta bersama PKR dalam memperjuangkan agenda reformasi dan keadilan untuk masa depan Malaysia yang cerah," jelasnya lagi.

Harakah Daily

Nelayan berputih mata bot musnah terbakar

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang nelayan terpaksa berputih mata selepas botnya musnah dalam kebakaran di Kampung Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini pagi kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu hanya disedari, Ramli Salleh, 47, selepas menerima panggilan telefon dari rakannya pada jam 6.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur dirumahnya di Kampung Pauh sehingga dikejutkan dengan kejadian itu selepas rakannya memberitahu botnya terbakar.

”Saya panik apabila menerima berita terbabit, dan bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 7 pagi, namun semuanya musnah dan saya langsung tidak dapat selamatkan barangan termasuk jala dan bot.

”Akibat kejadian itu, saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM 40,000,”katanya kepada pemberita ketika ditemui ditempat kejadian pagi kelmarin.

Ramli berkata, dia kini tidak dapat meneruskan pekerjaannya kerana tidak mempunyai pengangkutan selain bot terbabit.

”Harapan saya supaya pihak berwajib dapat membantu keluarga saya, memandangkan saya hanya mengharapkan punca rezeki dari hasil tangkapan ikan ini.

”Buat masa ini saya terpaksa berehat seketika memandangkan kerosakan bot terbabit amat teruk dan kini saya mengharapkan agar bantuan segera dapat disalurkan, bagi mendapatkan bot baru,”katanya.

Sementara Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Yazulia Yahya berkata ,pihaknya menerima panggilan pada jam 3.35 pagi.

Sinar Harian

Penganggur bersalah bunuh dua beranak tiga tahun lalu

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Hayat seorang penganggur yang didakwa membunuh kejam dua beranak di Kampung Sireh, tiga tahun lalu, berakhir di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mendapati dia bersalah melakukan pembunuhan pada pagi 30 September 2009.

Setelah tiga tahun melalui perbicaraan, Hakim Azman Abdullah akhirnya keputusan itu ke atas Mazdi Muhammad, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa membunuh seorang suri rumah warga Thailand, Maena Ya, 36, dan anak wanita itu, Nurasyiken yang berusia setahun, pada jam 2.30 pagi di rumah tidak bernombor di Kampung Sireh Bawah Lembah di sini, tarikh berkenaan.

Keputusan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sebelum keputusan dibuat, peguam bela, Ahmad Nizam Muhamad memohon mahkamah mempertimbangkan faktor umur tertuduh yang masih muda.

“Tertuduh adalah bekas penagih dadah dan belum berkahwin serta masih tinggal bersama ibunya,” katanya.

Hakim Azman bagaimanapun menegaskan tidak ada hukuman lain selain gantung sampai mati jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian muka dan dada disebabkan tetakan bertubi-tubi menggunakan senjata tajam.

Nurasyiken maut di tempat kejadian manakala Maena pula meninggal dunia pada jam 6.45 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Ketika kejadian, dua beranak itu berada di rumah mereka manakala suaminya berada di Terengganu kerana menjalankan urusan pekerjaan.

Mazdi yang menyembunyikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sekitar daerah ini empat hari kemudian.

Sinar Harian

Jk Bersih akan putus tindakan - Pak Samad

4 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said memberitahu Jawatankuasa Pemandu Bersih akan bermesyuarat bagi memutuskan tindakan selanjutnya yang akan diambil berhubung perhimpunan anti Bersih di rumah Datuk S Ambiga petang tadi.

Beliau yang ditemui diperkarangan rumah Ambiga menjelaskan, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Kita akan bermesyuarat dan membincangkan tentang apa yang berlaku hari ini dan selepas itu satu kenyataan akan dikeluarkan.

"Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan kerana sebagai sebuah jawatankuasa biarlah kenyataan tersebut selari dengan apa yang mahu Ambiga nyatakan nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu hampir 100 orang cuba berkumpul di depan rumah Ambiga di Bukit Damansara di sini dengan sebahagiannya terdiri daripada sekumpulan pemuda bermotosikal.

Mereka adalah dari kumpulan anti Bersih yang diketuai Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) Datuk Jamal Yunus yang sebelum ini turut mengumumkan akan membuka gerai di hadapan rumah Ambiga.

Bagaimanapun, ia dibatalkan disaat-saat akhir.

Perhimpunan mereka siang tadi bagaimanapun gagal sampai di hadapan rumah Ambiga apabila dihalang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berada di simpang masuk ke rumah Ambiga di Jalan Setiakasih 1 sejak pagi tadi.

Dua buah lori besar DBKL turut ditempatkan berdekatan kawasan itu, dipercayai untuk mengangkut sebarang gerai yang didirikan tanpa kebenaran.

Terdahulu sebelum itu, sekumpulan 30 orang lain yang menggelarkan diri mereka "HALAU 1.0" cuba menyerahkan risalah mengandungi 10 sebab Ambiga perlu 'dihalau' dari Malaysia kepada Ambiga sendiri.

Cubaan mereka bagaimana pun gagal apabila risalah itu hanya diterima Datuk A Samad Said menerusi celah pintu pagar rumah Ambiga.

harakahdaily/-