25 Mei 2012

Lagi ceramah Pakatan jadi sasaran batu dan telur

4 Rejab 1433H. [MOD] -

Batu dan telur berterbangan lagi di ceramah Pakatan Rakyat malam ini, mengakibatkan seorang warga emas cedera di kepalanya.

Insiden itu berlaku kira-kira jam 11 malam ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap di satu majlis ceramah di Apartmen Pantai Permai, Kuala Lumpur, yang terletak dalam kawasan parlimen PKR di Pantai Dalam.

Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan.

Ia berlaku kira-kira 30 minit selepas bekalan elektrik ke majlis ceramah itu didakwa telah disabotaj dan disambung semula secara tergesa-gesa.

Bagaimanapun, keadaan di majlis ceramah itu tenang dan Anwar meneruskan ucapannya.

Sebelum itu, kira-kira 9 malam, kira-kira 80 orang yang berpakaian baju-T merah, berkumpul di luar tempat Anwar berceramah, sambil melaungkan "Tibai (Tolak individu Bernama Anwar Ibrahim)."

Ini adalah kali kedua dalam tempoh seminggu di mana ceramah Pakatan menjadi sasaran balingan batu dan telur. Sebelum ini ia berlaku di Merlimau, Melaka pada hari Sabtu.

Dalam insiden itu, warga emas yang menjadi mangsa itu diusung penyokong yang lain dari tapak ceramah dan dibawa ke hospital dalam keadaan separa sedar.

Ekoran insiden itu, penyokong PKR berarak ke arah penyokong Umno yang berdiri berhampiran pagar kuarters DBKL dan kedua-dua penyokong hanya dipisahkan pagar di Kuarters DBKL Pantai Permai.

Polis yang berada di tapak ceramah cuba mengawal keadaan namun penyokong PKR yang kini hanya beberapa meter dari penyokong Umno terus dibaling telur dan botol air mineral dari arah penyokong Umno.

Di pentas ceramah Umno, menyaksikan personaliti kontroversi Ummi Hafilda Ali menghiasi pentas ceramah yang berjaya menarik kira-kira 200 orang pendengar.

Ummi tidak berceramah secara berterusan tetapi menunggu penceramah di pihak PKR bercakap sesuatu isu dan kemudian membidasnya secara spontan - dengan pembesar suara dihalakan ke arah tapak ceramah PKR.

Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan sewaktu Anwar berucap.

Menurut ibunya, Adita Ketek, klinik yang memeriksa anaknya memintanya membawa Nurul Balqis ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana dikhuatiri patah tangan akibat insiden itu.

Ceramah berakhir dengan bacaan doa dari Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sekitar jam 12 malam.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: