4 Rejab 1433H. [MOD] -
BANDAR TEMERLOH – Peniaga di bandar ini melahirkan rasa bimbang dengan kegiatan curi penutup longkang yang semakin berleluasa.
Kejadian terbaru pada 22 Mei lalu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis perniagaan di Jalan Ahmad Shah dan Jalan Datuk Bahaman, di mana lebih 20 besi penutup longkang dilaporkan hilang.
Seorang peniaga, Chong Chin Wah berkata, kejadian terbaru itu berlaku sekitar jam 8 hingga 9 malam ketika keadaan di belakang premis pernigaan di kawasan terbabit mulai lengang.
Menurutnya, ramai peniaga di situ tidak menyedari kegiatan jenayah itu berlaku berhampiran premis mereka sehinggalah diberitahu beberapa peniaga lain keesokan harinya.
“Saya tidak pasti mengenai kejadian itu, tetapi ada rakan saya menunjukkan rakaman CCTV. Ada dua individu yang terlibat dan mereka naik kereta Proton Wira.
“Seorang menunggu di dalam kereta sambil rakannya mencungkil besi penutup longkang di belakang premis terbabit,” katanya.
Chin Wah berkata, laporan polis sudah dibuat dan peniaga berharap mereka yang terlibat ditangkap segera kerana menyusahkan banyak pihak.
Katanya, sesetengah peniaga terpaksa menampal dengan simen setiap besi penutup longkang supaya lebih selamat.
“Besi penutup longkang yang dijual kepada pembeli besi buruk mempunyai nilai yang tinggi kerana kualiti dan berat barangan itu.
“Tidak hairanlah kenapa terlalu banyak kes kecurian berlaku dalam kawasan perumahan, taman rekreasi dan premis perniagaan kerana ia mampu memberi pendapatan lumayan kepada si pencuri,” katanya
Sinar Harian
1 ulasan:
Waning kat kedai baranglusuh, kalau tertangkap dengan ada bukti besi penutup longkang maka boleh ditangkap atau disabit kesalahan. masalahnya lesen dari balai polis dan yg jadi penangkap polis????
Catat Ulasan