25 Mei 2012

Polis musnahkan set komputer

4 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Sebanyak 3,767 unit komputer dianggarkan bernilai RM1.9 juta yang digunakan untuk kegiatan perjudian dimusnahkan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, mesin perjudian berkomputer terbabit merupakan barang rampasan hasil daripada 541 serbuan yang diadakan di sekitar Seremban sejak 2010 hingga Mac tahun ini.

“Dalam serbuan diadakan seramai 562 orang pengunjung termasuk penjaga premis telah ditahan terdiri daripada pelbagai lapisan usia termasuk pelajar sekolah dan golongan warga emas.

“Daripada 541 kertas siasatan yang telah dibuka, sebanyak 111 kes telah dituduh dimana 30 kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 81 kes lagi disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enekmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 (Negeri Sembilan),” katanya pada sidang media selepas beliau melakukan gimik memusnahkan barangan rampasan dengan menggunakan jengkaut di IPD Seremban, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Hamdan Majid dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin.

Osman berkata, polis dengan kerjasama beberapa agensi lain daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan terus menjalankan serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian daripada terus berleluasa di negeri ini.

Menurutnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan (Sains) turut membantu polis membuat pemotongan bekalan elektrik dan air terhadap premis yang didapati menjalankan kegiatan haram terbabit.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap pihak yang terlibat menjalankan kegiatan tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: