4 Rejab 1433H. [MOD] -
GEORGETOWN - Seorang abang hanya mampu menepuk dahi apabila duit persiapan perkahwinan milik adiknya lesap dalam bas Rapid Penang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, daripada laporan yang dibuat beliau mendakwa wang berkenaan hilang setelah diambil oleh sekumpulan warga asing disyaki penyeluk saku dalam bas yang sama.
Menurutnya, pada mula sekumpulan lelaki itu mencurahkan air di tempat duduk mangsa dan menyuruh bertukar tempat duduk, tetapi mangsa enggan.
“Setelah turun dari bas mendapati semua wang dalam poket hilang, dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus.
“Kes ini disiasat atas kesalahan menyeluk saku mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Pencegahan Jenayah Walkabout High Profile Policing di Terminal Bas Komtar bersama kakitangan Rapid Penang.
Hadir sama, Ketua Komersial dan Komunikasi Rapid Penang, Melissa Sandhu dan Pengurus Komersial dan Komunikasi, Mohd Tajudin Mohd Kassim.
Terdahulu akhbar melaporkan seorang penumpang bas, Ronson Chew Boon Hock, 29, mendakwa wang dalam milikannya hilang setelah adanya penyeluk saku di dalam bas.
Dalam masa yang sama lelaki yang bekerja sebagai juruteknik itu juga mendakwa dirinya dikasari pencuri berkenaan.
Setelah membuat laporan polis, mangsa juga menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Koid Teng Hai bagi membuat kenyataan media berikutan mahu sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam bas Rapid Penang.
Kong Meng berkata, sehingga kini sudah terdapat enam laporan polis mengenai kes penyeluk saku dalam bas antaranya di Air Itam, Tanjung Tokong dan juga Pulau Tikus.
Menurutnya, pihak polis akan menugaskan anggotanya untuk menaiki bas bagi mencegah kejadian itu.
“Tidak kira jawatan apa sekalipun ataupun dari cawangan mana-mana, kita akan naik bas sekali sekala bersama penumpang lain,” katanya.
Bagi kes berkenaan, pihaknya masih menyiasat sama ada adakah ia kegiatan sindiket penyeluk saku dalam bas ataupun tidak.
“Kita masih siasat dan akan menyelesaikannya, kerana ia semakin popular,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan