4 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan serangan berterusan terhadap ceramah dan majlis Pakatan Rakyat (PR) adalah sebagai amaran dari pihak tertentu bahawa mereka akan menggunakan keganasan dalam pilihan raya akan datang.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku jika melihat kepada tren kebelakangan ini yang mengupah samseng jalanan melakukan serangan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.
"Semakin hampir pilihan raya, semakin banyak kita mendengar berita serangan dan keganasan parti tertentu terhadap ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR.
"Rakyat hendaklah bersedia menghadapi kemungkinan mereka akan mengganas habis-habisan terutama dalam tempoh berkempen pilihan raya umum akan datang asalkan dapat mempertahankan kuasa," katanya.
Insiden terbaru ialah apabila batu dan telur dibaling dari kawasan ceramah Umno ke tempat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berucap di Apartmen Pantai Permai, Lembah Pantai malam tadi.
Seorang warga emas yang menghadiri ceramah itu cedera dan berdarah di kepalanya akibat serangan itu.
Bagi Mahfuz, apa yang berlaku itu menyebabkan rakyat melihat Umno sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat mematahkan gerakan PR untuk meyakinkan rakyat.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan Umno semakin cemas dan takut kehilangan kuasa.
"Bagi memastikan mimpi ngeri mereka itu tidak menjadi kenyataan, mereka memilih keganasan untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya.
Mahfuz berkata, kalau sebelum ini kumpulan pengganas masuk menceroboh dan menyerang ceramah dan majlis PR untuk menunjuk handal, tetapi sekarang mereka memilih menyerang dari jauh dan selepas itu mereka menafikan mereka yang melakukan perbuatan itu.
"Tidak perlulah baling batu sembunyi tangan kerana rakyat tahu siapa yang ada kepentingan untuk menyerang ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR.
"Tanpa perlu berfikir pun rakyat boleh memberikan jawapan serta merta siapa pengganas yang menyerang ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR sehingga berkali-kali mengakibatkan pertumpahan darah," katanya.
Mahfuz meminta rakyat membuat keputusan adakah mereka mahu negara ini diperintah oleh parti gangster atau Pakatan Rakyat.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan