4 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pandangan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Datuk Seri Najib Razak tak perlu berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengekalkan imej Najib sebagai seorang penakut.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Riduan Mohd Nor, debat dengan Anwar Ibrahim adalah peluang terbaik bagi Najib untuk bukan sahaja menaikkan sokongan terhadap dirinya malah untuk BN secara keseluruhan.
"Sepatutnya Datuk Tengku Adnan mengesyorkan kepada bosnya supaya menerima pelawaan debat ini kerana inilah peluang perdana menteri untuk meningkatkan graf sokongan dan populariti dirinya dan BN.
"Sejarah akan mencatat DS Najib adalah perdana menteri paling ‘gentleman’ dan berjiwa besar sehingga sanggup duduk sepentas bersama pemimpin pembangkang demi untuk rakyat," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau mengulas kenyataan Adnan semalam bahawa Najib tidak perlu berdebat dengan Anwar seperti yang dicadangkan oleh Dr Mazlee Malik ketika menjadi moderator Debat PTPTN antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli kelmarin.
Menurut Adnan, pembangkang apatah lagi Anwar akan sengaja dalam debat itu nanti untuk mencetuskan suatu keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik.
Mengulas lanjut Riduan berkata, alasan penolakan debat oleh Adnan itu hanya helah dan menunjukkan bahawa BN tidak matang berpolitik dan takut menghadapi realiti.
Sedangkan katanya, debat antara Rafizi dan Khairy kelmarin membuktikan secara jelas bahawa tiada sebarang kekecohan ataupun 'tercetusnya suatu keadaan untuk mendapatkan mileage politik' seperti diperkatakan Adnan.
Masing-masing kata Riduan telah berjaya membuktikan hujah masing-masing secara akademik dan fakta yang bernas.
"Jika PM mempunyai banyak idea dan gagasan untuk pembangunan rakyat, apa salahnya dia berdebat bagi membuktikan BN lebih baik daripada Pakatan Rakyat.
"Malangnya, Umno melepaskan peluang ini dan memilih menjadi gerombolan yang elit, sombong dan tidak disenangi rakyat," katanya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan