29 Mei 2012

Euro 2012: England tiada harapan?

8 Rejab 1433H. [MOD] -

BEKAS jurulatih pasukan Perancis, Raymond Domenech mendakwa pasukan mereka akan mudah menewaskan skuad England pada aksi pertama pembukaan peringkat Kumpulan D, 11 Jun ini.

Pengendali berusia 60 tahun itu yang dipecat selepas kegagalan memalukan Perancis pada Piala Dunia 2010 menganggap skuad England tiada harapan untuk menjadi pesaing utama pada Euro 2012, sambil menganggap skuad kendalian Roy Hodgson itu langsung tiada kualiti.

“Saya memilih Perancis sebagai salah satu pasukan pilihan kali ini. Mereka akan menghadapi perlawanan pertama yang mudah iaitu bertemu England, pasukan yang tiada kualiti.

"Mungkin England akan layak sehingga ke separuh akhir sahaja, dan saya percaya para pemain England bakal menghadapi kesukaran untuk mencapai prestasi terbaik di Euro nanti,” kata Domenech.

Pada masa yang sama, pemain pertahanan Norway, Brede Hangeland juga meramalkan England bakal tewas pada perlawanan kedua mereka dengan Sweden berikutan faktor keletihan.

“Sweden memiliki peluang terbaik. Memang ia barisan terbaik England tetapi mereka tampak sedikit bermasalah selepas pemain mengharungi musim yang panjang," kata Hangeland.

Pada kejohanan Euro kali ini, England diundi dalam kumpulan D, dimana akan bertemu dengan Perancis pada 11 Jun, Sweden 16 Jun dan Ukraine 20 Jun.

Sinar Harian

Helah cuci barang kemas

8 Rejab 1433H. [MOD] -

MUAR – Sindiket mencuri emas dengan menggunakan kaedah cucian tumpas apabila 21 suspek ditahan polis dalam serbuan di sebuah hotel pada 25 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kumpulan terbabit menawarkan khidmat mencuci barangan kemas dengan harga serendah RM3 hingga RM5, sebelum memperdayakan mangsanya.

Menurutnya, tawaran tersebut diberikan apabila usaha memujuk mangsa untuk membeli barangan kemas tiruan yang dijual dengan harga belasan ringgit hingga ratusan ringgit tidak berjaya.

“Suspek akan pergi ke rumah- rumah di sekitar Muar untuk menawar perkhidmatan cucian dan juga menjual barang kemas tiruan.

“Tanda disedari mangsa, kaedah cucian yang dilakukan suspek dengan menggunakan cecair kimia itu, telah menyusutkan sebanyak 20 peratus emas asal milik mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Mohamad Nasir berkata, suspek kemudiannya akan memproses untuk membentuk semula emas yang susut ketika cucian dilakukan menggunakan cecair kimia.

Katanya, kumpulan yang didalangi tujuh warga tempatan dan melibatkan 14 warga China itu menyewa lima bilik salah sebuah hotel di bandar ini yang dijadikan lokasi memproses emas bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Kegiatan yang mula beroperasi pada 23 Mei lalu katanya, terbongkar apabila pekerja hotel terbabit terhidu bau kuat kimia dari bilik berkenaan dan akhirnya membawa penemuan kegiatan tersebut.

Beliau berkata, Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Muar yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, menyerbu hotel itu dan menahan 21 suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun pada jam 10.30 malam.

Dalam serbuan tersebut mendapati suspek baru selesai memproses dan membentuk semula emas yang susut itu.

“Siasatan awal mendapati, suspek berjaya memperdayakan 20 mangsa di daerah ini selepas berkunjung ke rumah mereka.

“Sebelum ini, kumpulan ini beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka, sebelum berpindah ke Muar,” katanya.

Katanya lagi, polis percaya terdapat saki baki ahli kumpulan terbabit yang masih aktif .

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya mereka didatangi sekumpulan individu yang menawarkan khidmat mencuci barang kemas.

Sinar Harian

Jaguh tinju dunia ditemui mati

8 Rejab 1433H. [MOD] -

New Mexico - Jaguh tinju dunia, Johnny Tapia ditemui mati di kediamannya di Albuquerque, New Mexico, kelmarin.

Jurucakap polis, Robert Gibbs berkata, setakat ini kematian jaguh tinju sebanyak lima kali itu tidak menimbulkan apa-apa curiga dan masih menunggu keputusan bedah siasat.

Tapia, 45, terkenal dengan perlawanan merentasi bandar bersama Danny Romero, Paulie Ayala dan Marco Antonio Berrera.

Dia memperoleh gelaran dunia dalam kelas flyweight , bantaweight dan featherweight yang turut dijadikan sebagai kerjaya profesionalnya sejak 1988.

Pada 2007, Tapia telah dimasukkan ke hospital selepas menggunakan dadah secara berlebihan dan ketika berperang dengan ketagihan, juara tinju itu berjaya mengumpul 59 rekod kemenangan yang berakhir pada Jun 2011.

Sinar Harian

Terkejut anak jerit kesakitan

8 Rejab 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Seorang ibu yang sedang menjahit manik di ruang tamu rumahnya di Banggol Kekabu malam kelmarin, dikejutkan dengan jeritan serta tangisan anak bongsunya akibat dipatuk ular.

Norbaiti Che Mah, 43, berkata, jeritan itu mengejutkannya memandangkan mangsa, Nurul Faizah Yusri, 10, agak lasak dan sukar menangis biarpun kerap ditimpa kemalangan.

Menurutnya, sebaik mendengar tangisan anak bongsu daripada tujuh beradik itu, dia segera mendapatkan anaknya dan melihat mangsa sedang menahan kesakitan sambil menunjukkan kaki kanannya dipatuk.

“Saya mengangkat anak masuk rumah sambil menenteramkannya dan memberitahu suami membawanya ke klinik.

“Setelah ke klinik, kami diminta membawa Nurul Faizah ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Norbaiti berkata, dia dan keluarga kerap terserempak pelbagai jenis ular berhampiran rumah memandangkan sekitarnya dipenuhi semak.

Menurutnya, rumahnya terletak di antara kawasan kebun getah menyebabkan mereka terdedah bahaya haiwan berbisa itu.

“Ini merupakan kejadian pertama anak dipatuk ular dan bersyukur dia selamat,”katanya.

Sementara itu, mangsa berkata, dia dan dua kakaknya pergi ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan rumah ibunya kira-kira jam 9.15 malam.

Menurutnya keadaan di tangga rumah neneknya agak gelap dan tidak menjangka akan dipatuk haiwan berbisa itu.

“Selepas berjalan ke rumah nenek, saya terasa kaki sakit seperti digigit dan menjerit kerana tidak dapat menahan kesakitan,” kata murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Lubok Setol ini.

Berikutan kejadian, mangsa mendapatkan rawatan di klinik swasta di Rantau Panjang sebelum dirawat di Wad kecemasan Hospital Daerah Pasir Mas dan dibenarkan pulang, pagi semalam

Sinar Harian

6 hari di tengah laut

8 Rejab 1433H. [MOD] -

TOK BALI - Kehilangan sembilan orang kaki pancing termasuk seorang tekong dan awak-awak terjawab malam kelmarin, apabila mereka ditemui lebih kurang 58 batu nautika dari Tok Bali oleh Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Penguatkuasaan Maritim Daerah, Komander Maritim Zainin Abdul Majid berkata, kesemua mereka ditemui pada jam 3 petang kelmarin dan mendapati enjin bot yang dinaiki mangsa rosak.

“Mereka semua selamat dan dibawa ke Jeti Tok Bali untuk tindakan selanjutnya, manakala bot tersebut pula ditunda oleh bot nelayan tempatan ke Jeti LKIM Genting, Tumpat.

“Sebelum ini 11 mangsa tersebut dilaporkan keluar dari Jeti LKIM Genting, pada 22 Mei lalu dan sepatutnya pulang semula pada 25 Mei namun, hilang tanpa berita sehingga ahli keluarga mangsa membuat aduan kepada kami mengenai kehilangan itu,” katanya.

Operasi menyelamat dijalankan oleh BK (M) Juhari Ab Rahim bersama enam anggota dengan menggunakan bot Penyelamat Tujuh.

Menurutnya, mengikut keterangan daripada salah seorang mangsa kejadian, pada jam 11 pagi 23 Mei itu ketika tiba di lokasi kapal karam untuk memancing, bot dikatakan mengalami kerosakan enjin.

Zainin berkata, disebabkan itu mereka mengambil keputusan untuk bersauh bagi mendapatkan bantuan daripada nelayan tempatan tetapi tidak berjaya sehingga APMM tiba.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang berumur dari 35 hingga 44 tahun itu berada dalam keadaan selamat.

Sinar Harian

Anak gadis lari ikut kekasih

8 Rejab 1433H. [MOD] -

JELI – Seorang bapa di sini,meminta bantuan orang ramai untuk mencari anak gadisnya, yang didakwa terpedaya dengan pujuk rayu kekasihnya, sehingga sanggup melarikan diri.

Sudah 10 hari Hazirah Yusof, 16, menghilangkan diri, dan kejadian itu disedari bapanya setelah pulang dari madrasah berhampiran, apabila dimaklumkan anak gadisnya meninggalkan rumah di Kampung Sungai Long, Batu Melintang dengan menaiki kereta Iswara kira-kira jam 8 malam minggu lalu.

Bapa gadis berkenaan, Yusuf Musa, 57, berkata, sebelum ini anaknya sudah tiga kali bertindak meninggalkan rumah namun, akan pulang semula selepas beberapa hari kemudian.

Yusuf berkata, mereka sekeluarga tidak pernah memarahinya walaupun dia pernah melakukan kesalahan.

“Tidak tahu apa sebab dia mengambil keputusan itu, saya percaya Hazirah diperdaya dengan pujuk rayu kekasihnya.

“Kerana lelaki itu dia sanggup meninggalkan kami sekeluarga, dan saya berharap orang ramai yang menjumpai Hazirah segera menghubungi saya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, sebelum keluar dari rumah Hazirah sempat memberitahu ibunya yang dia mahu ke kedai berdekatan untuk membeli barang.

Tambahnya, alasan yang diberikan Hazirah membuatkan isteri Zainab Yusuff, 46, tidak mengesyaki apa-apa, kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahaningin lari rumah.

“Kehilangan Hazirah membimbangkan kami sekeluarga, kerana selepas dia keluar rumah masih tiada khabar berita mengenainya walaupun sudah banyak tempat kami cari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan, Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan ada menerima laporan itu dan siasatan akan dijalankan

Sinar Harian

Pomen basikal naik angin, acu parang pada ibu

8 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak berpuas hati terhadap tindakan bapanya yang secara tiba-tiba mengamuk dan membuang semua papan tanda pemberitahuan yang dipasang, seorang ‘pomen basikal’ sanggup menjadikan ibu kandungnya sebagai tempat melepaskan geram dalam satu kejadian ‘amuk’ di Kampung Wakaf Mempelam di sini, 21 Mei lalu.

Tertuduh, Zu@Mohd Zulkifli Salim, 37, telah mengacukan sebilah parang kepada ibunya yang juga seorang warga emas, 64, dengan menetak beberapa kali pagar besi rumah mereka semata-mata ingin melepaskan perasaan amarah terhadap tindakan bapanya sebelum itu.

Bagaimanapun, tindakan Zu@Mohd Zulkifli yang bekerja sebagai ‘pomen basikal’ itu terbalas jua setelah Mahkamah Majistret, di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Noradila Ab Latif selepas tertuduh mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan ketakutan secara jenayah dan melakukan khianat yang menyebabkan kerugian lebih kurang RM100 dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan itu, Zu@Mohd Zulkifli mengaku salah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah terhadap ibunya.

Berikutan pengakuan salah itu, dia dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula, dia mengaku salah melakukan khianat yang menyebabkan kerugian lebih kurang RM100 pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Zu@Mohd Zulkifli secara tiba-tiba mengambil parang dan memaki hamun ibunya sambil menetak parang di pagar besi yang menyebabkan ibunya berasa takut dan terancam.

Kejadian itu telah menyebabkan pasu bunga dan tanaman rosak serta pagar besi milik ibunya juga rosak dan pecah yang dianggarkan kerugian lebih kurang RM100.

Disebabkan takut dengan tindakan Zu@Mohd Zulkifli itu, ibunya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, selepas kejadian dan dia ditangkap sejurus laporan dibuat.

Sinar Harian

Tayar meletup, van terbabas

8 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG - Nenek bersama cucu maut setelah van dinaiki terbabas di persimpangan bertingkat Setia Alam di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), malam kelmarin.

Mangsa, V Muniamah, 63, dan cucu lelakinya, M Vasan, 7, maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dinaiki.

Ibu Vasan, V Muniandy, 43, serta dua anak saudara lelakinya, berumur 14 dan 12 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Roslan Aziz berkata, lima sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Selangor selepas melawat saudara di Klang.

Katanya, kejadian jam 8 malam itu dipercayai berlaku apabila tayar kiri bahagian depan van jenis Nissan Vannette yang dipandu Muniandy meletup.

Roslan berkata, siasatan mendapati van itu dipandu laju sehingga ia gagal dikawal.

“Van itu hilang kawalandan terus merempuh pembahagi jalan sebelum terbabas.

“Dua mangsa tercampak keluar sejauh 10 meter. Mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Kang untuk bedah siasat.Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadiandiminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan mengakibatkan kemalangan.

Sinar Harian

Adam stabil selepas rawatan

8 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Kanak-kanak yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10, kini semakin stabil dan dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selama tiga hari.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, beberapa panel pakar menjalankan pemeriksaan fizikal Adam dan berbincang mengenai beberapa langkah terbaik bagi mengurangkan penderitaan Adam.

“Mereka ada memaklumkan mengenai rawatan terbaik untuk Adam, bagaimanapun, belum ada lagi sebarang keputusan diputuskan dan semua keputusan terhadap pembedahan Adam masih dalam perbincangan.

“Alhamdulillah, setakat ini, keadaan Adam semakin stabil berbanding ketika mula-mula dikejarkan ke sini, dia menangis kerana tidak dapat tanggung sakit di bahagian leher dan beberapa anggota badan yang lain,” katanya.

Adam dimasukkan ke HKL Sabtu lalu setelah didapati tidak dapat menggerakkan kepalanya ke kiri.

Akbar Ali berkata, Adam memerlukan RM175,000 bagi menampung pembedahannya di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.

“Setakat ini, jumlah dana yang dikumpulkan bagi pembedahan Adam ialah RM42,620. Saya amat berharap agar jumlah ini akan semakin meningkat bagi membantu untuk meringankan penderitaan Adam yang menderita sejak empat tahun lalu.

“Saya dan isteri sudah tidak mampu melihat Adam sentiasa menangis kerana tidak mampu menahan sakit.

Saya amat berterima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan Adam,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Akbar Ali, Maybank (512101054830) dan Bank Islam (12038025182964).

Sinar Harian

P’raya Presiden melakar masa depan baru Mesir

8 Rejab 1433H. [MOD] -

Setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat sama ada kebangkitan di Tahrir Square itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.

Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4% bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3% undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3% undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2% undi.

Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50% maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan. Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti.

Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh mantan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.

Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”. Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.

Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.

Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan. Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh parlimen.

Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25% dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.

Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.

Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.

Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca revolusi.

Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.

Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.

Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat sama ada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.

Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”.

Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

Syed Ahmad Fadhli Syed Mahmad Hadzari ialah mahasiswa tahun 3 jurusan Sains Politik, UIAM.

Harakah Daily

Tiada rumah: Kerajaan gagal bela penjawat awam

8 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kegagalan kira-kira 60 peratus penjawat awam berpendapatan bawah RM3,000 sebulan memiliki rumah sendiri membuktikan kerajaan Umno BN gagal menjaga kebajikan rakyat.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Anuar Tahir (gambar) berkata, kerajaan seharusnya memikirkan program yang memberikan keselesaan jangka panjang kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Selama 54 tahun BN memerintah, ini yang mereka tinggalkan untuk rakyat, penjawat awam masih belum mampu memiliki rumah sendiri.

"Sepatutnya soal pemilikan rumah harus diberi keutamaan oleh kerajaan, bukan menghabiskan duit untuk projek-projek mega atau program untuk kesan jangka pendek sahaja malah tak mencapai sasaran pun. Rakyat biasa merintih tak ada rumah sendiri," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan terutama di Lembah Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Cuepacs menjangkakan fenomena ini akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

Mengulas perkara tersebut, Anuar berkata, PAS bersetuju dengan tuntutan Cuepacs agar kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan.

"PAS bersetuju dengan saranan Cuepacs itu dan Pakatan Rakyat juga mengutamakan soal pemilikan rumah kepada rakyat, bukan penjawat sahaja," katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan seharusnya mempercepat pelaksanaan gaji minimum agar rakyat yang berpendapatan rendah tidak terus terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat.

"Pentadbiran kerajaan tidak bersifat manusiawi jika tidka memikirkan perkara ini.

"Gaji hanya cukup-cukup makan dengan harga barang semakin naik, perbelanjaan lain, bagaimana nak membeli rumah?" soalnya.

Harakah Daily

Logo Pakatan: Rakyat tahu mana nak pilih

8 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selagi lapan perkara yang dituntut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak dilaksanakan SPR, selagi itu isu dibangkitkan suruhanjaya itu tidak memberi kesan kepada Pakatan Rakyat.

Khususnya, perkara berkaitan larangan menggunakan logo sendiri membabitkan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, ia merupakan satu diskriminasi yang sengaja dilakukan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak melarang atau menurunkan mana-mana bendera parti di kalangan Pakatan Rakyat, beliau yakin rakyat tahu menilai dan memilih parti pilihan mereka.

"Kita tiada masalah. Jika tiada logo PKR dan DAP di tempat calon PAS bertanding, kita yakin rakyat bijak memilih. Begitu juga di tempat-tempat DAP dan PKR bertanding," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, yang menyatakan Pakatan Rakyat tidak akan dibenarkan untuk menggunakan logo sendiri pada PRU ke-13 kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan pendaftaran gabungan tersebut.

Tambah Salahuddin, isu yang lebih penting dibangkitkan SPR ialah isu membabitkan tuntutan Bersih, yang juga merupakan tuntutan bersama Pakatan Rakyat yang sehingga ini tidak diendahkan badan itu.

Mengulas status pendaftaran Pakatan Rakyat, Salahuddin melahirkan kekesalan kerana sehingga kini tidak mendapat sebarang jawapan daripada ROS.

"Sudah hampir dua tahun permohonan itu dibuat, sehingga kini tiada sebarang jawapan. Saya tidak tahu mengapa, tetapi ia tidak menjejaskan jentera kita bagi menghadapi pilihan raya," tegas Salahuddin lagi.

Harakah Daily

Pendidik: Warga guru perlu buat perubahan

8 Rejab 1433H. [MOD] -

PAS Johor telah melakar sejarah baru dengan berlangsungnya majlis pelancaran Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) peringkat negeri semalam.

Majlis yang bertempat di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran Al- Fadhil Ustaz Datuk Abu Bakar Chik selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Pusat dan Al- Fadhil Prof. Datuk Dr. Mahfodz Bin Mohamed, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor petang tadi.

Majlis yang menghimpunkan warga pendidik Johor ini turut dihadiri oleh AJK NGO Pendidik, AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, YDP PAS kawasan dan AJK Lajnah Pendidikan PAS Negeri Johor.

Majlis Hi-Tea dan Pelancaran Pendidik peringkat Negeri Johor juga diserikan dengan ucapan tetamu jemputan, tayangan montaj dan forum yang menjurus ke arah perkongsian pengalaman beberapa tokoh pendidik yang menjadi mangsa diskriminasi, ditindas dan dizalimi dari segi hak dan kebajikan mereka sebagai warga pendidik di Malaysia.

Perkongsian cerita seorang guru dari negeri Perak, En.Omar Bin Abu Bakar yang telah ditamatkan perkhidmatan sedangkan kes rayuan masih berjalan menimbulkan tanda tanya kepada beliau sehingga kini.

Jelas membuktikan bahawa ‘tekanan politik’ telah dikenakan terhadap beliau oleh pihak yang berkepentingan untuk mengekalkan survival politik mereka dengan menjadikan Jabatan Pelajaran Negeri Perak sebagai ‘perkakas’ Umno Barisan Nasional.

Saya selaku Presiden NGO Pendidik menggesa segala kezaliman yang dikenakan terhadap warga pendidik terutamanya yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran Malaysia setelah 54 tahun kita merdeka yang perlu dihentikan segera kerana guru bukanlah insan yang boleh ‘dikongkong’ minda dan ‘jiwanya’ oleh sebarang bentuk ‘penjajahan alaf baru’ yang bertujuan mahu menakutkan guru- guru.

Profesion guru adalah tugas yang mulia dan tidak boleh dicemari dengan mencampuradukkan ‘politik kepartian’ dengan ‘pendidikan anak bangsa’.

Saya ingin mempersoalkan mengapa saya yang diamanahkan bertanding dalam PRK Dun Tenang, tetapi suami saya pula yang diarahkan bertukar sekolah.

Lebih menimbulkan kemusykilan lagi, pertuduhan yang cuba dikenakan adalah dengan kaitan tarikh 22 Januari 2012, yang sebenarnya merupakan hari Sabtu, di luar tugas rasmi adalah tidak relevan sama sekali.

Al-Fadhil Ustaz Datuk Abu Bakar Chik, dalam ucaptamanya berkata Umno gagal dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan yang berakhlak mulia walaupun telah diberi peluang
mentadbir Malaysia lebih daripada 54 tahun lamanya.

Dengan memberi contoh Himpunan Jutaan Belia yang diadakan baru- baru ini dengan pengisian budaya hiburan yang melampau, aksi pergaulan yang bebas dan pakaian yang menjolok mata, apakah jaminan generasi pewaris kepimpinan negara yang hendak diharapkan di tangan pemerintahan Umno Barisan Nasional seperti itu.

Justeru, sudah tiba masanya rakyat membuat perubahan demi kelangsungan generasi pelapis masa depan negara pada masa akan datang.

Beliau menyeru warga pendidik di seluruh negeri Johor agar bangkit membuat perubahan dengan menggerakkan sebuah kebangkitan baru di negeri ini sesuai dengan peranan guru sebagai muaddib, mualim dan murabbi yang menyambung tugas para nabi dan rasul dalam mengembangkan tanggungjawab dakwah yang suci demi mencari keredhaan Illahi.

Dalam ucapan Prof. Datuk Mahfodz Bin Mohamed, Pesuruhjaya PAS Johor pula,b eliau menegaskan sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik.

Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Dewasa ini, gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat.

Kes jenayah, zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan.

Justeru, hanya di tangan warga pendidik yang ingin ;menegakkan makruf nahi mungkar ‘sahajalah sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

Dengan perasmian Pendidik semalam, maka adalah diharapkan para pendidik khususnya di negeri Johor terus ikhlas, sabar dan tabah dalam profesionalisme keguruan dan tidak jemu untuk terus membela warga pendidik dan rakyat Malaysia sesuai dengan tema Hari Guru yang dipilh oleh NGO Pendidik pada kali ini ini iaitu “Bangkit Guru Memimpin Perubahan “.

Di tangan para gurulah, terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani.

Sudah tentunya,’kebangkitan semangat guru untuk terus membela rakyat‘ yang diperjuangkan oleh para guru di seluruh Malaysia bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya, guru adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanah air.

Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.

NGO Pendidik ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara dan negeri Johor khususnya agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.

Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan. Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas.

Mantapkanlah jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi.

’Bangkit Guru Memimpin Perubahan!’.

Harakah Daily

Umno sengaja mahu timbulkan kekecohan

8 Rejab 1433H. [MOD] -

MARAN: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Umno belajar menghormati hak berpolitik dan demokrasi yang dibenarkan di negara ini dengan berhenti melakukan provokasi dan keganasan.

Berucap di hadapan kira-kira 5,000 orang di perkarangan pejabat PAS Maran di sini malam tadi, Ketua Pembangkang di parlimen itu berkata, kini wujud senario baru di mana pihak Umno atau sekutunya cuba menimbulkan ketegangan dalam setiap program Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, kini seperti satu trend Umno sengaja mahu menimbulkan suasana kecoh sedangkan PR hanya menggunakan pentas ceramah bagi menjelaskan fitnah yang sudah ditabur melalui media rasmi kerajaan.

“Hormatilah budaya berpolitik dan prinsip berdemokrasi. Cuba fikir, kita sudah dihentam tiap-tiap malam dalam media yang dikawal kerajaan Umno, kita dibina dan dan dimaki hamun setiap hari, kenapa kita mahu memberi penjelasan di pentas seperti ini juga mahu diganggu? Kita minta Umno hormatilah adab berpolitik,” katanya.

Kurang 20 meter berhampiran ceramah tersebut, Umno turut mengadakan pesta karaoke Cina dengan menguatkan bunyi pembesar suara bagi tujuan mengganggu ceramah tersebut sehingga ke akhir.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kejadian buruk berlaku hasil kawalan ketat dan berdisiplin petugas-petugas Unit Amal.

Anwar turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengajar dan mengawal Umno dan sekutu-sekutunya menghormati undang-undang.

“Seorang pemimpin mesti memelihara undang-undang. Bayangkan dalam ceramah-ceramah kami akhir-akhir ini kami diganggu termasuk dibaling telur dan botol, beberapa minggu lalu kereta saya dirosakkan.

“Datuk Ambiga seorang warganegara profesional boleh diganggu sesuka hati oleh penyokong Umno dan dibiarkan saja tanpa sebarang tindakan. Sebab itu jika Najib tak mampu lagi memelihara undang-undang dan keamanan baiklah turun daripada jawatan kerana gagal memimpin,” tegasnya.

Mengenai pilihan raya umum (PRU) akan datang, Anwar menjelaskan rakyat perlu melihat kehidupan pemimpin-pemimpin Pakatan jika mahu membuat keputusan untuk mengundi parti mana untuk memerintah.

Beliau berkata, dapat dilihat contohnya bagaimana Tuan Guru Nik Aziz yang sudah 22 rahun menjadi Menteri Besar Kelantan tetapi beliau tidak mengambil kesempatan mengumpul kekayaan berbanding pemimpin Umno yang lain.

Sementara itu Anwar berkata, PR memberi komitmen jika menang sahaja PRU, dalam masa 24 jam akan umum turunkan harga minyak kerana itulah punca meningkatnya harga barang dan kos perkhidmatan.

“Langkah seterusnya kita akan bincang dengan syarikat-syarikat IPP (pembekal jana kuasa swasta) supaya boleh turunkan harga kadar elektrik. Kita juga bertekad meletakkan gaji minimum RM1,100 sesuai dengan kos kehudupan semasa.

“Kita juga tegas menghapuskan hutang PTPTN kerana hasil minyak yang banyak sehingga RM80 bilion setahun. Itu belum termasuk keuntungan hasil sawit, getah balak dan lain-lain. Kita tengok Turki yg tiada hasil minyak boleh memberikan pendidikan percuma,” ujarnya.

Anwar menambah, beliau hairan bagaimana PM boleh mengatakan jika diberi pendidikan percuma negara boleh bankrap sedangkan ia cuma memerlukan RM5 bilion saja setahun.

Anwar dalam rangka lawatan sehari ke Parlimen Maran. Turt berceramah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar, Adun Tras Choong Siew Onn dan Yang Dipertua PAS Maran Tuan Guru Baqi Othman.

Harakah Daily

FGVH: Peneroka perlu dapat perintah mahkamah

8 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Para peneroka Felda hendaklah mendapatkan perintah mahkamah supaya mereka mendapat peruntukan saham yang benar-benar adil berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) mengecam tindakan memperbodohkan para peneroka Felda dengan tindakan memperuntukkan 91 juta saham sahaja kepada mereka.

Malaysian Insider hari ini melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed mempertahankan tindakan kerajaan memperuntukkan 11.5 peratus saham FGVH kepada pelabur-pelabur Bumiputera yang disokong oleh kerajaan.

PKR sebelum itu mempersoalkan tindakan kerajaan memperuntukkan 420 juta saham kepada firma-firma Bumiputera yang diluluskan oleh MITI sedangkan 120,000 peneroka Felda, yang sebelum itu dijanjikan dengan pendapatan yang lebih baik, hanya mendapat 2.5 peratus atau 91 juta saham sahaja.

Kakitangan Felda pula akan menerima 109 juta saham (tiga peratus) manakala pelabur-pelabur institusional seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) diperuntukkan 1.5 biliuon saham FGVH.

"Amalan serong itu mesti dihentikan dan oleh kerana penyenaraian tidak boleh dihalang lagi, para peneroka mestilah mendapatkan perintah mahkamah bagi memastikan pembahagian peruntukan yang benar-benar adil, wajar dan saksama kepada mereka," kata Salahuddin.

Beliau mempersoalkan siapakah yang mendapat sebesar 420 juta saham FGVH.

"Adakah mereka syarikat-syarikat Umno? Adakah penyenaraian itu sebenarnya skim Umno buat duit untuk hadapi pilihan raya melalui syarikat-syarikat proksi?" katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengingatkan, rakyat dan sebahagian peneroka serta keluarga mereka tidaklah bodoh untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku.

"Cara pembahagian peruntukan itu menjadikan yang kaya bertambah kaya dan yang tidak berada terus di dalam keadaan sedemikian

"Terang-terangan para peneroka diperbodohkan," katanya.

Cara pembahagian itu juga, kata Salahuddin, bukan sahaja tidak menghargai penat jerih para peneroka yang membangukan Felda dengan keringat mereka sehingga sampai kepada tahapnya kini, malah terang-terangan menaniayai mereka.

Beliau juga menuntut MITI menyenaraikan firma dan Bumiputera manakah yang mendapat 420 juta saham FGVH itu.

"Kerajaan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pernah menyenaraikan nama syarikat yang mendapat permit AP.

"Kerajaan Najib mestilah membuktikan ia tidak lebih buruk dari kerajaan Pak Lah dan menyenaraikan firma dan Bumiputera manakah yang mendapat 420 juta saham FGVH itu," tegas Salahuddin.

Harakah Daily