8 Rejab 1433H. [MOD] -
Setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat sama ada kebangkitan di Tahrir Square itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.
Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4% bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3% undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3% undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2% undi.
Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50% maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan. Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti.
Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh mantan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.
Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”. Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.
Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.
Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan. Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh parlimen.
Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25% dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.
Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.
Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.
Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca revolusi.
Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.
Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.
Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat sama ada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.
Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”.
Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”
Syed Ahmad Fadhli Syed Mahmad Hadzari ialah mahasiswa tahun 3 jurusan Sains Politik, UIAM.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan