8 Rejab 1433H. [MOD] -
SUBANG JAYA – Seorang lelaki yang cacat penglihatan mendakwa isterinya hilang secara misteri sejak dua hari lalu selepas ke sebuah kedai serbaneka terletak kurang 50 meter dari jarak rumah kedai dihuninya.
Yang menimbulkan kehairanan, isterinya, Nor Ain Sazali, 29, hilang bersama anak bongsunya, Nur Najiha yang berusia tiga tahun tanpa membawa sebarang kelengkapan diri dan pakaian ketika keluar dari rumah.
Lelaki berkenaan, Mohd Azman Ab Rahim, 40, berkata, isterinya meminta izin ke kedai serbaneka untuk membeli barang dan membawa anak perempuannya sekali, petang Sabtu lalu.
Katanya, selepas kira-kira 10 minit ke kedai itu, isterinya menghubungi anak sulung Mohd Haiqal, 10, dan memintanya mengambil kunci yang tertinggal di dalam kereta Toyota Avanza miliknya.
“Selepas mendapat panggilan telefon, anak saya kemudian turun dari tingkat satu rumah kedai yang dihuni untuk mengambil kunci kereta berkenaan.
Dia kemudian naik semula dan memberitahu ibunya tidak ada di kedai serbaneka dan juga berhampiran kereta.
“Apabila dia tidak pulang ke rumah, saya mulai rasa tidak sedap hati dan menghubungi ibu mertua yang berada di Seremban untuk bertanya sama ada isteri ada berkunjung ke sana,” katanya yang kemudian meminta pertolongan wartawan Sinar Harian membawanya bertemu anggota polis bertugas sebelum membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, semalam.
Azman berkata, dia kini buntu dan bimbangkan keadaan keselamatan isteri serta anaknya namun kerana cacat penglihatan menyebabkan dia sukar melakukan gerakan mencari kedua-duanya.
Katanya, tiada perselisihan faham berlaku antara dia dan isterinya sebelum kejadian berlaku.
“Tiada deringan nada bunyi telefon apabila saya menghubunginya malah isteri juga tidak ada menghubungi saya selepas kehilangannya secara misteri.
“Memang kami tidak ada bergaduh atau berlaku apa-apa perselisihan faham yang boleh menyebabkan dia lari dari rumah,” katanya.
Sehubungan itu, Azman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung isteri dan anaknya supaya dapat menghubungi balai polis terdekat untuk membantu membawa isterinya pulang.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan