8 Rejab 1433H. [MOD] -
KULIM - Sepasang suami isteri ditahan bersama seorang lelaki dan seorang pelajar tingkatan satu dalam satu serbuan berkaitan pengedaran dadah di sebuah rumah di Taman Rambai kira-kira jam 2 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya telah membuat pemantauan dan mengekori pasangan itu sejak seminggu lalu.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, dengan bantuan Balai Polis Sungai Kob diketuai Pegawai Operasi dan Tahanan, Inspektor Mohd Amin Mat Yasin mengepung rumah suspek dan menunggu kira-kira lima minit sebelum pintu gerigi besi dibuka.
Ghuzlan berkata, seorang daripada suspek cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah tetapi menyerah diri sebaik saja mendapati beberapa polis berada di situ.
"Kami mendapati rumah pasangan berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah memudahkan mereka melihat pergerakan polis sekiranya diserbu.
"Dengan serbuan ini, kami berjaya menemui dua jenis pil khayal serta beberapa bungkusan lut sinar dipercayai mengandungi dadah seberat 75 gram.
“Plastik lut sinar berkenaan ditemui di dalam peti ais rumah itu.
Kelima-lima suspek dibawa ke IPD Kulim untuk menjalani ujian saringan air kencing dan keempat-empat mereka didapati positif dadah," katanya.
Kesemua ditahan akan disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum gantung mandatori.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan