8 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA KUBU BHARU – Perasaan hairan seorang isteri terhadap tindakan suaminya memberikan wang RM400 untuk belanja keperluan hari raya tiga anaknya rupa-rupanya petanda lelaki itu akan pergi buat selama-lamanya.
Maimunah Ahmad, 45, isteri kepada anggota polis bantuan yang maut dalam kemalangan awal pagi semalam tidak menyangka ia wang terakhir diterimanya daripada suaminya.
“Makcik terkejut sebab pagi-pagi lagi ketika makcik bersiap nak pergi menoreh dan sebelum pakcik pergi kerja dia beri duit RM400 untuk anakanak beli pakaian hari raya sedangkan puasa lambat lagi.
“Pakcik pun suruh makcik dan tiga anak yang masih kecil datang ke Kuala Lumpur petang nanti (semalam) untuk menemaninya beli pakaian hari raya anak sebab pakcik kata dia kurang sihat jadi takut tak sempat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), semalam.
Maimunah berkata, kebiasaannya dia akan membeli keperluan dan kelengkapan hari raya bersama suami pada bulan puasa dan dia sangat terkejut apabila arwah suaminya memberitahu hasrat itu semalam.
Suami Maimunah, Abd Ghafar @ Abdul Ghafar Lahakim, 52, maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 432.3 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur kira-kira tiga kilometer selepas susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung membabitkan dua lori dan motosikal ditunggang mangsa.
Menurut Maimunah, arwah suaminya maut kerana dipercayai gagal mengelak lori yang terbabit kemalangan di laluan tersebut kira-kira jam 6.15 pagi, semalam.
Sementara itu, sumber awam memberitahu, pada awalnya terdapat kemalangan antara sebuah lori membawa papan di lokasi kejadian menyebabkan muatannya terbalik dan bertaburan di tengah lebuh raya.
Menurut sumber itu, sebuah treler yang mengekori dari belakang pula merempuh lori muatan kayu terbabit.
“Pada masa sama, motosikal berkuasa tinggi yang tiba di laluan itu tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit menyebabkan penunggangnya maut di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, kesesakan teruk turut berlaku sepanjang kira-kira 20 kilometer dan hanya pulih sepenuhnya kira-kira lima jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi mengesahkan kejadian itu.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan