8 Rejab 1433H. [MOD] -
KLANG- Hasrat jemaah untuk menunaikan solat Zuhur di Surau Assuhadak, Taman Kandis Permai, Batu 4, Jalan Kampung Jawa semalam tidak kesampaian apabila bahagian dalam surau itu rosak teruk akibat terbakar.
Kebakaran itu juga turut merosakkan ruang mimbar dan solat rosak serta memusnahkan alat siar raya sistem berharga RM12,000 yang baru dibeli untuk azan dan kuliah.
Pegawai Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Tisin Akhyar berkata, bilik gerakan Bomba menerima maklumat kejadian pada jam 11.39 pagi.
“Sebuah jentera bersama enam anggota bomba dari Balai Andalas bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di situ, kita dapati api dipadamkan penduduk Taman Kandis Permai,” katanya. Beliau berkata, pihaknya bersama anggota terlibat kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut dalam kawasan surau itu bagi memastikan api padam sepenuhnya.
“Pemeriksaan kami mendapati bahagian mimbar dan ruang sembahyang rosak teruk.
“Bagaimanapun bahagian luar surau masih elok hasil ketangkasan penduduk membantu bomba memadamkan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga memberi notis mengambil alih milik premis akibat terbakar kepada pengerusi surau bagi memudahkan kerja-kerja siasatan dilakukan yang akan diketuai salah seorang pegawai daripada Pejabat Bomba Zon Klang.
Tisin berkata, punca kejadian itu dan anggaran keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
“Bagaimanapun berdasarkan dakwaan Pengerusi surau Assuhadak, keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM60,000,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan