04 Jun 2012

155 tenggiling dirampas

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Cubaan tiga lelaki tempatan menyeludup 155 tenggiling ke negara jiran, berjaya dipatahkan sepasukan anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bekelam, di sini, malam kelmarin.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Kelantan, Cosmas Ngau berkata, melalui risikan yang dibuat, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan itu, kira-kira jam 11.30 malam.

Hasil serbuan, polis menemui haiwan terbabit dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero selain yang disimpan di dalam stor berhampiran rumah tersebut.

”Nilai rampasan ialah RM325,000 dan ini merupakan rampasan terbesar melibatkan haiwan itu di negeri ini sejak lima tahun lalu dan dipercayai akan diseludup ke Thailand untuk dijadikan makanan eksotik.

”Aktiviti penyeludupan haiwan ini begitu aktif ekoran permintaan yang sangat tinggi, selain harganya yang boleh mencecah RM350 untuk sekilogram,” katanya ketika ditemui semalam.

Cosmas berkata, dalam serbuan tersebut, tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan hasil rampasan mendapati tenggiling yang paling berat, mencecah 10 kilogram.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kira-kira jam 4 pagi hari yang sama, anggota polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah Jeli juga berjaya merampas 16 tenggiling bernilai RM15,000 yang cuba diseludup.

Katanya, haiwan berkenaan dirampas di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Gemang, Jeli ketika pihak polis melakukan sekatan jalan raya dan berjaya menahan dua lelaki.

”Kedua-dua lelaki berkenaan berusia 39 dan 40 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Machang ke Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk menjual haiwan berkenaan kepada peraih dari Thailand.

”Spesies ini merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya, dan di atas kesalahan itu, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga
tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kesemua haiwan tersebut yang dirampas akan dilepaskan semula di kawasan Taman Negara untuk menjamin populasinya supaya tidak pupus.

Sinar Harian

Tips Bellamy buat Nazmi Faiz

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KEJAYAAN wonderkid Malaysia, Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak bersama kelab Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar bukan sahaja membuka mata pemerhati di Asia, malah turut menarik perhatian Craig Bellamy.

Ketika kunjungannya ke Singapura, bintang Liverpool itu sempat memberikan nasihat kepada pemain Harimau Muda berusia 17 tahun itu dalam temu bualnya bersama ESPNSTAR.com di sana. “Jangan mudah berputus asa dan cuba sedaya upaya untuk sering meningkatkan diri. Hargai dan sentiasa mengingati rakan-rakan, ahli keluarga serta cuba sedaya upaya dan buat apa yang termampu kerana ia hanyalah satu permainan.

“Sekiranya dia (Nazmi) kembali ke Malaysia kerana tidak dapat terus kekal di sana, jangan fikir yang dia telah gagal. Sebaliknya dia harus berpuas hati dan menikmati setiap detik di Portugal dan ia pastinya satu penghormatan yang amat tinggi kerana dapat bermain di sana," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazmi akan beraksi buat kali terakhir di Malaysia pada perlawanan persahabatan menentang skuad B-22 Timor Leste 17 Jun nanti di Wisma FAM, Kelana Jaya.Selepas itu, Nazmi bakal meneruskan aksi kompetitifnya bersama Skuad Harimau Muda di Myanmar dalam saingan kelayakan Piala AFC B-22 bermula 21 Jun hingga 4 Julai sebelum memulakan latihan bersama Beira-Mar Ogos nanti.

Sinar Harian

Adam buat MRI hari ini

14 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Adik Adam Akbar Ali, 10, akan dimasukkan ke Hospital Pantai, Bangsar, untuk membuat imbasan MRI di Hospital Pantai, Bangsar bagi mengetahui keadaannya hari ini.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, sejurus mendapatkan laporan kesihatan itu, beliau perlu menyerahkan laporan perubatan berkenaan kepada Pakar Bedah Saraf Onkologi Kanak-kanak, Dr George Jallo di Hospital Johns
Hopkins Amerika Syarikat.

"Saya mengharapkan segalanya berjalan dengan lancar. "Setiap hari ada saja yang tidak kena kepadanya dan merengek kesakitan pada beberapa bahagian badannya," katanya.

Menurut Akbar Ali, setakat ini jumlah sumbangan terkumpul terhadap anaknya ialah RM54,500, sedangkan Adam memerlukan RM175,000 bagi melakukan pembedahan. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun Akbar Ali, Maybank (512101054830) dan Bank Islam (12038025182964).

Sinar Harian

KAMI tidak mahu tanding pilihan raya

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mengambil keputusan untuk tidak menghantar sebarang calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presidennya, Khalid Ismath (gambar), mereka berkata walaupun mengambil sikap tidak bertanding, mereka terus bersama-sama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

"KAMI masih akan terus bersama-sama SMM dalam koalisi untuk menyuarakan hak dan hasrat mahasiswa yang KAMI telah sepakati. Walaubagaimanapun dalam isu mahasiswa bertanding dalam PRU13 kami mengambil pendirian yang berbeza," kata Khalid dalam kenyataannya.

Mereka memberikan alasan untuk lebih fokus dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan rakyat, hak asasi manusia dan perundangan serta bertindak sebagai kuasa ketiga bagi memastikan konsep ‘check and balance’dapat dilaksanakan dalam negara Malaysia.

KAMI juga, katanya, berpaksi kepada perjuangan non-partisan , justeru penglibatan KAMI dalam PRU13 sebagai calon akan menjejaskan teras perjuangan yang didukung oleh front selama ini.

KAMI juga, jelas beliau, mengutamakan idealisme dan aktivisme bagi anak muda dan mahasiswa untuk memastikan urustadbir dalam negara dijalankan dengan baik.

"Jadi, KAMI memikul tugas bagi membangkitkan kesedaran dan kepedulian anak muda," katanya.

Lagipun, katanya lagi, penglibatan sebagai calon dalam PRU memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi serta masa yang sangat panjang.

Mereka juga memberikan alasan, timbul persepsi daripada masyarakat bahawa gerakan mahasiswa sudah dijangkiti penyakit YBisme, korupsi, dan mahasiswa tidak lagi akan diberi kepercayaan sebagai third force atau sebagai system check and balance jika bertanding pilihan raya.

Harakah Daily

Suhakam lantik setiausaha baru bukan dari PTD

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) telah melantik setiausaha baru yang bukan dipinjam dari Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam mengumumkan bahawa "ia telah melantik secara terus seorang Setiausana baru, justeru menamatkan amalan sebelum ini yang telah dipinjamkan dari pegawai kanan PTD. "

Puan Rodziah Abdul yang mengambil alih jawatan tersebut berkuatkuasa 1 Jun 2012 telah dilantik untuk tempoh lima tahun.

Menurut Hasmy, Setiausaha baru ini membawa bersamanya pengalaman yang luas dalam kedua-dua sektor korporat dan awam, telah berkhidmat sebelum ini, antara lain di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dan Suruhanjaya Sekuiriti.

"Suruhanjaya berterima kasih kepada Encik Kamaruddin Mohamed Baria (sekarang Datuk), Tuan Haji Ahmad Yusof Ngah dan Puan Hashimah Nik Jaafar, atas tugas yang telah mereka lakukan dalam membantu anggota dan kakitangan Suruhanjaya dalam melindungi dan mempromosi hak asasi manusia sepertimana yang dimandatkan di bawah Akta," kata Hasmy.

Suruhanjaya juga ingin merakamkan setingggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan kerana telah meminjamkan tiga pegawai berkenaan sejak ia ditubuhkan pada tahun 2000, kata Hasmy dalam kenyataannya.

Harakah Daily

Selepas selesai penipuan baru pilihan raya?

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

"Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataannya kepada media.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.


BILAKAH TARIKH PILIHAN RAYA

Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak. Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia.

BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengendalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya.

Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum.

Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja pilihanraya umum selesai diadakan.

Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum.

Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya.

Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur.

Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN.

Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan.

Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum pilihanraya lagi.

Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.

Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional.

Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan.

Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.


PRESIDEN PAS
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Harakah Daily

Himpunan Hijau memberi suntikan ke Putrajaya

14 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR: Pastinya ahli dan penyokong PAS rasa puas terhadap Perhimpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah Jumaat lepas.

Selain dapat bertemu sahabat handai dan rakan taulan dari seluruh negara ianya juga bermatlamat membuktikan kepada pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) bahawa PAS bersungguh untuk menawan pusat pentadbiran bersama dengan parti gabungan Pakatan Rakyat.

Ia bukan memukul tong kosong sebagaimana yang sering diperkatakan oleh kepimpinan Umno dan BN sebaliknya pendakian ke Putrajaya tidak mustahil asalkan ada kerja kuat segenap lapisan jentera walaupun menyedari pemergianya penuh dengan liku yang perlu ditempuhi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di malam berkenaan, menyifatkan perjalanan PAS sehingga ke saat ini memang cukup kental menempuhi berbagai peristiwa pahit manis dalam perjuangan termasuk ketewasan kepimpinan utama di tengah jalan.

Namun, apa pun ketewasan kepimpinan ia tetap diganti dengan kepimpinan yang lebih telus dan berdisplin malah lebih sibuk turun padang melawat jentera bawahan sambil memberikan peransang kepada mereka meneruskan perjuangan serta memberikan nafas baru terhadap orang baru yang menyertai pasukan ini.

Apa-apa pun kata Presiden, "kita mesti ada tautan dengan Allah s.w.t yang memberikan kita kemenangan hakiki."

Tetapi, usaha demi usaha wajar di gerakkan sama dengan perancangan rapi sebab musuh juga mempunyai segala macam jentera dan wang ringgit.

Program Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya itu walaupun disambut dengan limpahan hujan rahmat bermula jam 4.00 petang itu tidak sekali-kali mematahkan semangat ahli dan penyokong tegas tidak kira lelaki ataupun wanita.

Bahkan perhimpunan ini menyerlahkan lagi ikatan persaudaraan sesama Islam dalam satu fikrah tidak macam perhimpunan tajaan Kerajaan BN penuh dengan kemaksiatan dengan alasan itulah yang belia hari ini kehendaki.

Tanpa disedari tindakan Kerajaan BN itu mematikan harapan belia pada masa depan apabila mendedahkan mereka dengan perkara sia-sia tidak bermakna dan boleh menumpulkan pemikiran anak muda yang sepatutnya lebih kreatif berfikir.

Lautan manusia seramai lebih 100.000 orang itu memenuhi kerusi dan padang stadium sekali dilihat umpama semut yang sedang menghisap manisan tidak berganjak walaupun sedetik dalam suasana berhimpit-himpit dan dalam keadaan yang kurang selesa berikutan tanah dan rumput yang becak, berair ekoran hujan lebat sebelah petangnya.

Sembahyang Magrib, Isya dan hajat dimanafaatkan sepenuhnya untuk memohon Allah s.w.t memberikan kemenangan kepada gerakan Islam untuk sebaris memerintah Malaysia yang dicintai. Kelambatan bertindak untuk mengambil alihan kuasa pentadbiran akan memusnahkan Malaysia.

Ini kerana, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala mesti diberikan perhatian sebab beliau bukan calang orang meneka begitu sahaja bahawa Malaysia akan bangkrap 2019 seandainya kerajaan tidak menangani masalah rasuah.

Pada malam itu juga terdapat tiga kejutan telah dilakukan pertamaya kehadiran Mohd Zaid Bin Tandang selebriti TV Al Hijrah yang mengelolakan rancangan berkaitan saudara baru, kemasukan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Profesor Dr Nik Zin Nik Yusuf ke dalam PAS dan tentangan 13 biji bola berwarna hijau sebagai simbolik 'tendangan ke Putrajaya' oleh enam orang bekas pemain bola sepak kebangsaan.

Selepas sahaja tentangan tersebut bergemalah beberapa dentuman bunga api menghiasi langit yang hitam pekat.

Semoga apa yang dicapai di Perhimpunan Hijau itu akan membawa harapan baru kepada pencinta agama seluruh pelusuk negara untuk mengubahkan, membersihkan dan mewarnai Putrajaya.

Harakah Daily

FGVH: Awas 'blue form' mengelirukan

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengingatkan peneroka-peneroka Felda jangan keliru dengan 'blue form' yang dikeluarkan oleh Felda Global Venture Holding (FGVH) kepada mereka.

Menurut Presiden Anak Mazlan Aliman, FGVH telah membuat satu paksaan di mana sehingga tengah hari ini peneroka akan menyerahkan 'blue form' yang mereka terima.

Jelas Mazlan, gambaran yang diberikan seolah-olah peneroka akan mendapat saham percuma seperti kakitangan awam, atau syarikat tertentu apabila syarikat mereka dimasukkan ke bursa saham.

"Sebenarnya apa yang ditawarkan melalui 'blue form' itu adalah merupakan lanjutan daripada borang saham yang diedarkan oleh bank tertentu sebelum ini.

"Kita pun sudah buat injuksi untuk membatalkan borang saham sebelum ini tetapi hari ini datang pula 'blue form'," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Bahkan katanya, peneroka hanya ditawarkan sekitar 800 unit saham sahaja yang berharga RM4.55 seunit tetapi borang pinjaman sebelum ini yang diterima peneroka memaklumkan bakal mendapat RM50,000 hingga RM100,000.

Mazlan menyifatkan tindakan itu sangat mengelirukan dan menasihatkan para peneroka berhati-hati dengan tawaran ini.

"Kalau ia perjanjian jangan tanda tangan! Bila berlaku kegagalan penyenaraian FGVH, saham akan jatuh, peneroka akan menanggung akibatnya," katanya yang bertalu-talu menerima panggilan daripada peneroka kerana kekeliruan itu.

Apa yang berlaku ini, beliau sifatkan kerajaan telah mengkhianati peneroka Felda apabila mereka enggan berterus terang dengan peneroka .

"Dalam FGVH, kerajaan kena berterus terang sama ada benda ini adalah pinjaman, katalah ia pinjaman! Jangan guna pelbagai tafsiran seperti durian runtuh.

"Apabila mengetahui ia adalah durian runtuh, maka mereka pun tanda tangan lah sebab mereka hendak mendapatkan duit ini kerana kerajaan tidak berterus terang kepada peneroka," katanya.

Harakah Daily

Unjuran ekonomi Najib tersasar - Dzulkefly

14 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kegagalan kerajaan mencapai unjuran ekonomi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.0 – 5.5 peratus untuk 2011 dan 5 – 6 peratus pada 2012 jauh tersasar kerana kerajaan tidak mengambil kira faktor-faktor ekonomi global ketika merancang unjuran tersebut.

“Pakatan Rakyat telah mengingatkan Najib Razak sebagai Menteri Kewangan supaya jangan membuat unjuran setinggi itu,kerana dalam tahun lalu lagi.

“Kita telah bercakap bagaimana ekonomi dunia akan mengalami penguncupan dan kelembapan ekonomi kerana krisis-krisis seperti Euro Zone,krisis ekonomi Amerika dan China yang kini telahpun disebut akan mengalami krisis,” kata Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) ketika dihubungi TV Selangor.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata unjuran ini tidak akan tercapai disebabkan negara yang berasaskan eksport mengalami kesan lantaran pertumbuhan dan pemintaan yang berkurang daripada negara-negara pengimport disebabkan kemeruduman ekonomi global.

“Permintaan global akan mengucup maka ekonomi negara akan mengalami impak itu.

“Kritik kami pada tahun lalu terbukti benar,kita sedar dalam keadaan ekonomi yang lembab tetapi Najib Razak membuat unjuran ekonomi yang tinggi itu hanya kerana untuk mewujudkan keadaan ‘Good Feel Factor’ kepada rakyat,” ujar Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly berkata tindakan kerajaan melaksanakan projek-projek bersaiz mega yang berjumlah berbilion ringgir hanya untuk menaikkan unjuran ekonomi namun ianya tidak bersifat mapan dan baik kepada pertumbuhan ekonomi.

“Dan jelas apa yang dipacu oleh ekonomi negara kita adalah apa yang dipacu oleh satu permintaan domestik dan perbelanjaan besar kerajaan dalam infrastruktur projek mega,” katanya.

Katanya, bagi memantapkan dan memacu ekonomi yang lebih mapan sewajarnya kerajaan menumpukan kepada pembangunan ekonomi yang mempunyai nilai tambah dalam pengeluaran sesuatu sumber ekonomi dan tidak hanya mengharapkan kepada pengimportan sumber-sumber alam.

“Kita memerlukan pengurusan ekonomi yang cekap yang meletakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan jangan dibuat perbelanjaan kerajaan yang tidak bersifat sustanaible dan juga pada akhirnya perbelanjaan seperti ini tidak akan membawa kepada ekonomi berpendapatan tinggi,”

Tambah Dr Dzulkefly,perbelanjaan yang besar dan kadar KDNK yang tinggi tidak boleh ditafsirkan sudah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

“Negara berpendapatan tinggi hanya akan berlaku apabila industri dan sektor pembuatan dan segala kegiatan ekonomi itu bersangkut kepada ekonomi yang mempunyai nilai tambah.

“Seperti contohnya pembalakan sahaja,kita mesti mampu mengeluarkan perabot-perabot dan bukan hanya kayu sahaja yang tidak mempunyai nilai tambah ekonomi,”

Jelas Dr Dzulkefly,perbelanjaan boros dengan tidak meletakkan perbelanjaan kepada keutamaan seperti projek-projek mega meletakkan keadaan ekonomi dalam keadaan yang tidak menentu.

“Keutamaan yang sepatutnya diberi kerajaan adalah pembangunan yang seimbang di seluruh negeri-negeri khususnya negeri miskin,” katanya.

Ujar Dr Dzulkefly,Pakatan Rakyat dalam pembangunan ekonomi bukan sahaja untuk menaikkan kadar KDNK tetapi lebih kepada penumpuan kepada pendapatan yang boleh belanja rakyat, pembahagian ekonomi yang adil dan kecekapan ekonomi serta menghentikan monopoli ekonomi.

Sebelum ini,Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan agar Belanjawan 2012 dibentangkan semula dan dibahaskan dalam Parlimen pada sesi Jun ini.

Menurut Anwar, pertumbuhan ekonomi yang lembap pada kadar 4.7 peratus dalam suku tahun pertama 2012 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara baru-baru ini memberikan kesan serius terhadap kewangan negara.

Ini adalah kali kedua pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk mencapai sasaran penting ekonomi berdasarkan Belanjawan 2012.

Harakah Daily

Lebuhraya Rakyat: Mustapha Kamal turut menyumbang

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pelakon Mustapha Kamal Mohd Daud atau lebih dikenali sebagai Mustapha Kamal turut memberi sumbangan kepada pembinaan lebuhraya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu yang sedang diusahakan kerajaan negeri.

Sumbang secara terus itu diberikan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu program dialog anak Kelantan di perantauan anjuran urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di sebuah hotel di ibu kota.

Ketika ditanya tentang sumbangan tersebut beliau memberitahu sebagai anak jati Kelantan adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk membantu dalam usaha melancarkan pembinaan lebuhraya tersebut bagi kemudahan seluruh rakyat negara ini terutama rakyat Negeri Kelantan.

Sementara itu, ketika memberi ucapan Tuan Guru Nik Aziz menjelaskan konsep yang dibawakan dalam pembinaan lebuhraya ini adalah melalui konsep menderma untuk kebaikan.

"Apa yang kita ingin lakukan adalah melalui konsep menderma dan derma ini adalah untuk kebaikan.

"Setiap apa yang kita lakukan mestilah memilih syurga dipenghujungnya, hanya orang yang tidak berakal menolak syurga dalam setiap apa yang mereka lakukan," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa memberitahu, memang peringkat awal beliau ada kebimbangan berhubung soal kewangan untuk menjayakan projek lebuhraya itu.

"Pada mulanya saya ingat duit yang menjadi masalah utama tetapi apabila kita telah laksanakannya segalanya menjadi mudah dan duit bukannya masalah utama.

"Kuasa kerajaan negeri yang lebih kuat dalam pembinaan lebuhraya iaitu dalam urusan pemgambilan tanah dan sebagainya, kerajaan negeri membenarkan kita mengambil segala hasil bumi ini seperti pasir mahu pun batu bagi kegunaan pembinaan lebuhraya tersebut jadi segala urusan itu dapat kita laksanakan,' jelasnya.

Tambah beliau lagi, sumbangan derma yang diperolehi akan diumumkan jumlah kutipannya setiap hari bagi menunjukkan ketelusan kerajaan negeri dalam memastikan ia tidak menjadi isu kepada pihak lain.

"Kita akan umumkan jumlah sumbangan yang kita perolahi dan untuk makluman sumbangan ini akan digunakan untuk kerja-kerja pembinaan lebuhraya sahaja dan ia tidak termasuk untuk urusan-urusan operasi syarikat," katanya.

Menurut beliau lagi, sebuah syarikat dari Iran telah bersetuju untuk membekalkan minyak tar dengan harga yang lebih murah jika dibandingkan harga di dalam negara ini.

Harakah Daily

150 maut, pesawat Nigeria terhempas di kawasan kediaman

14 Rejab 1433H. [MOD] -

LAGOS - Sebuah pesawat Nigeria yang membawa 150 penumpang terhempas di kawasan kediaman di bandar Lagos semalam.

Kesemua penumpang pesawat itu, milik Dana Air disahkan terbunuh.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Abuja ke Lagos. Lagos bandar terbesar di Nigeria.

Selain kesemua penumpang disahkan terbunuh, beberapa orang awam juga dilaporkan meninggal dunia dalam tragedi itu.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nigeria, Harold Demuren berkata, kesemua penumpang dalam pesawat Dana Air terbunuh.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberi angka tepat mereka yang menaiki pesawat itu.

Difahamkan 153 orang menaiki pesawat itu yang dalam perjalanan dari Abuja ke Lagos. Dana Air mula beroperasi sejak November 2008.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan, Yushau Shuaib berkata, kemungkinan lebih ramai terbunuh dalam kejadian itu, jika diambil kira penduduk di kawasan kejadian, tetapi belum ada maklumat tepat.

Pengarah agensi itu, Mohammed Sani Sidi menyifatkan kejadian itu sebagai "tragedi" yang membawa kepada kerosakan besar,

Katanya, bangunan yang dirempuh pesawat itu rosak teruk selain menjejaskan struktur bangunan-bangunan lain. Tiga buah rumah terbakar.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan," kata Mohammed merujuk kepada tragedi yang berlaku sekitar jam 9.30 malam waktu tempatan (awal pagi waktu Malaysia).

Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan mengisytiharkan perkabungan selama tiga hari sambil mengarahkan siasatan terperinci.

Satu kenyataan dari pejabatnya menyebut bahawa pesawat itu terhempas pada hari yang sama negara itu menyaksikan dua letupan bom di gereja di utara Nigeria, membunuh 15 orang dan mencederakan 38 yang lain.

Nahas udara bukan perkara luar biasa di Nigeria.

Nahas udara paling buruk berlaku pada Julai 1991, menyebabkan kesemua 261 terbunuh selepas gear mendarat pesawat Nigerian Airways terbakar ketika dalam perjalanan dari Arab Saudi ke Nigeria.

Sementara itu, seramai 225 terbunuh dalam dua nahas dalam tempoh dua bulan penghujung 2005.

Kelmarin, pesawat kargo milik Allied Air, yang dalam perjalanan dari Lagos ke Accra, Ghana, terbabas dan merempuh sebuah bas menyebabkan kesemua 10 penumpang kenderaan itu maut.

Sinar Harian

03 Jun 2012

Seksaan Teringan

13 Rejab 1433H. [MOD] -

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesungguhnya seringan-ringan siksaan penghuni neraka pada hari Qiamat ialah seseorang yang diletakkan di bawah dua telapak kakinya bara api neraka sehingga mendidih otak yang ada dikepalanya. (dari sebab panasnya bara api neraka tersebut) Dia mengira bahawa tidak ada orang lain yang lebih dasyat siksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan siksaannya".

- Hadith Riwayat Bukhari & Muslim

tazkirah/-

Bekas diktator terima pembalasan

13 Rejab 1433H. [MOD] -

SUASANA di dalam mahkamah ketika keputusan perbicaraan ke atas Hosni Mubarak di Kaherah diumumkan semalam.

KAHERAH – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup semalam kerana peranannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat pada tahun lalu.

Turut menerima nasib sama ialah bekas Menteri Dalam Negeri, Habib Al-Adly manakala enam bekas komander polis Mubarak didapati tidak bersalah.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan nasib memalukan menimpa seorang pemimpin kuku besi yang pernah mentadbir Mesir selama hampir tiga dekad.

Hukuman berat ke atas bekas pemimpin Mesir berkenaan antara lain, bertujuan untuk meredakan ketegangan menjelang pusingan penentuan pilihan raya Presiden yang dijadualkan pada bulan ini.

Mubarak, 84, merupakan pemimpin Arab pertama yang dibicarakan di negara sendiri.

Pada masa yang sama, tuduhan rasuah ke atas dua anak lelaki diktator itu, Alaa dan Gamal digugurkan kerana kes mereka sudah lama berlaku dan melebihi tempoh boleh dakwa.

Namun, kedua-duanya masih berdepan dakwaan melakukan perdagangan orang dalam melibatkan urusniaga saham.

Ketika keputusan dibacakan, Mubarak tidak menunjukkan sebarang reaksi manakala dua anak lelakinya kelihatan gementar.

Terdahulu, Hakim Ahmed Rifaat menyifatkan era pemerintahan Mubarak sebagai “30 tahun yang penuh dengan kegelapan.”

Menurutnya, Mubarak dan Habib langsung tidak bertindak menghentikan pembunuhan orang awam semasa kebangkitan rakyat selama 18 hari awal tahun lalu.

Lebih 850 penunjuk perasaan dibunuh dengan kebanyakan mereka ditembak mati di sini dan beberapa bandar raya utama lain sepanjang gelombang kebangkitan rakyat tercetus di Mesir awal tahun lalu.

Selepas keputusan kes berkenaan diumumkan, Mubarak dibawa menaiki sebuah helikopter untuk menjalani hukuman di Penjara Tora, pinggir bandar raya ini.

Setibanya di lokasi, Mubarak tiba-tiba menangis dan hanya turun dari helikopter selepas dipujuk oleh beberapa anggota polis.

Perbicaraan bekas pemimpin kuku besi itu berlangsung di sebuah akademi polis yang digunakan sebagai mahkamah di sini.

Sementara itu, seorang peguam Mubarak, Yasser Bahr berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi tidak lama lagi.

“Keputusan kes ini memiliki kecacatan dari setiap sudut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pergelutan antara penyokong dan penentang Mubarak berlaku di dalam dan di luar mahkamah selepas keputusan kes tersebut dibacakan.

Pergaduhan berlaku selepas kumpulan penentang Mubarak tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

“Saya tidak mahu hukuman lain melainkan hukuman mati ke atas Mubarak,” kata seorang lelaki, Hanafi El-Sayed.

Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari 2011 selepas memerintah Mesir selama hampir 30 tahun bermula 14 Oktober 1981.

– Agensi

‘Kerap alami mimpi ngeri’

13 Rejab 1433H. [MOD] -

TERTIPU... Zarina Ayu temui wang fotokopi dan patung daripada simpanan bekas teman lelaki.

KUALA LUMPUR: Amalan khurafat berunsur sihir dikenali sebagai ‘voodoo’ dipercayai digunakan warga asing, khususnya di kalangan Mat Afrika, dalam usaha ‘mencairkan’ mangsa, sekali gus memudahkan aktiviti penipuan terhadap penduduk tempatan yang kebanyakannya wanita.

Walaupun amalan itu popular di benua Afrika dan biasanya digunakan untuk pengamal atau individu yang mengupah pihak tertentu supaya menyihir musuh sehingga membawa kematian, tujuan utama amalan itu kini dipelbagaikan mengikut keperluan pengamalnya.

Akibat penangan voodoo, mangsa seolah-olah dipukau hingga mudah menurut telunjuk penjenayah seperti dialami dua mangsa, Zarina Ayu, 36, dan Rohaya Dusa, 38 (bukan nama sebenar). Berikut pengakuan eksklusif mangsa yang mengalami kerugian besar hingga mengalami trauma dalam hidup mereka.

KES 1
ZARINA AYU:

“SAYA berharap wanita tidak sesuka hati melayan perbualan atau permintaan lelaki asing yang biasanya membuat janji temu dan memberi pelbagai hadiah sebelum meminta gambar atau merakam gambar bersama, kononnya untuk kenang-kenangan.

Saya harap apa yang saya alami dua tahun lalu tidak akan berlaku kepada orang lain kerana kesengsaraan dialami membawa petaka yang sangat dikesali hinggalah kini.

Selepas terpaksa meninggalkan keluarga kerana sanggup mengikut teman lelaki bertubuh sasa yang hanya dikenali selama sebulan, kebahagiaan diharapkan hingga ke jenjang pelamin tidak ke mana apabila kehilangan pekerjaan dan disisihkan apabila wang simpanan mula kehabisan.

metro/-

Isu Scorpene: PKR cabar SPRM siasat PM

13 Rejab 1433H. [MOD] -

PKR membuat laporan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan dakwaan kaitannya dalam skandal kapal selam Scorpene, dan mencabar panel penilai suruhanjaya itu mengambil tindakan.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam semalam, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar ketua panel penilai operasi, Hadenan Abd Jalil untuk mengisytiharkan sama ada suruhanjaya itu akan menyiasat Najib.

"Kami baru sahaja membekalkan mereka bukti, sekarang kami berikan masa seminggu untuk mereka nyatakan sama ada akan menyiasat perkara itu (atau tidak)," katanya.

Bukti berkenaan menurutnya, termasuk komisyen AS$1 bilion yang didakwa diminta Najib sewaktu menjadi menteri pertahanan dan 36 juta euro lagi yang dibayar kepada syarikat milik bapa sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda.

Semua bukti itu berdasarkan pendedahan terbaru dalam kes mahkamah yang dimulakan NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) terhadap pembina kapal Perancis, DCNS. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman pula menuntut siasatan menyeluruh dijalankan melalui penubuhan sebuah suruhanjaya diraja ekoran dakwaan terbaru kes itu melibatkan penjualan rahsia negara.

"Seluruh sistem atau pihak yang terlibat dalam pertahanan negara perlu dirombak agar memsastikan rahsia negara serta keselamatan negara tidak lagi dikompromi," katanya dalam kenyataan.

Mengulas dakwaan pembelian rahsia negara itu, Fauzi juga menekankan supaya kerajaan kembali kepada amalan sebelum ini dengan membuat urus niaga tanpa orang tengah.

"...cara 'kerajan kepada kerajaan' (G to G) dilihat lebih telus dan profesional," katanya lagi.

malaysiakini/-