14 Rejab 1433H. [MOD] -
ALOR SETAR: Pastinya ahli dan penyokong PAS rasa puas terhadap Perhimpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah Jumaat lepas.
Selain dapat bertemu sahabat handai dan rakan taulan dari seluruh negara ianya juga bermatlamat membuktikan kepada pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) bahawa PAS bersungguh untuk menawan pusat pentadbiran bersama dengan parti gabungan Pakatan Rakyat.
Ia bukan memukul tong kosong sebagaimana yang sering diperkatakan oleh kepimpinan Umno dan BN sebaliknya pendakian ke Putrajaya tidak mustahil asalkan ada kerja kuat segenap lapisan jentera walaupun menyedari pemergianya penuh dengan liku yang perlu ditempuhi.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di malam berkenaan, menyifatkan perjalanan PAS sehingga ke saat ini memang cukup kental menempuhi berbagai peristiwa pahit manis dalam perjuangan termasuk ketewasan kepimpinan utama di tengah jalan.
Namun, apa pun ketewasan kepimpinan ia tetap diganti dengan kepimpinan yang lebih telus dan berdisplin malah lebih sibuk turun padang melawat jentera bawahan sambil memberikan peransang kepada mereka meneruskan perjuangan serta memberikan nafas baru terhadap orang baru yang menyertai pasukan ini.
Apa-apa pun kata Presiden, "kita mesti ada tautan dengan Allah s.w.t yang memberikan kita kemenangan hakiki."
Tetapi, usaha demi usaha wajar di gerakkan sama dengan perancangan rapi sebab musuh juga mempunyai segala macam jentera dan wang ringgit.
Program Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya itu walaupun disambut dengan limpahan hujan rahmat bermula jam 4.00 petang itu tidak sekali-kali mematahkan semangat ahli dan penyokong tegas tidak kira lelaki ataupun wanita.
Bahkan perhimpunan ini menyerlahkan lagi ikatan persaudaraan sesama Islam dalam satu fikrah tidak macam perhimpunan tajaan Kerajaan BN penuh dengan kemaksiatan dengan alasan itulah yang belia hari ini kehendaki.
Tanpa disedari tindakan Kerajaan BN itu mematikan harapan belia pada masa depan apabila mendedahkan mereka dengan perkara sia-sia tidak bermakna dan boleh menumpulkan pemikiran anak muda yang sepatutnya lebih kreatif berfikir.
Lautan manusia seramai lebih 100.000 orang itu memenuhi kerusi dan padang stadium sekali dilihat umpama semut yang sedang menghisap manisan tidak berganjak walaupun sedetik dalam suasana berhimpit-himpit dan dalam keadaan yang kurang selesa berikutan tanah dan rumput yang becak, berair ekoran hujan lebat sebelah petangnya.
Sembahyang Magrib, Isya dan hajat dimanafaatkan sepenuhnya untuk memohon Allah s.w.t memberikan kemenangan kepada gerakan Islam untuk sebaris memerintah Malaysia yang dicintai. Kelambatan bertindak untuk mengambil alihan kuasa pentadbiran akan memusnahkan Malaysia.
Ini kerana, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala mesti diberikan perhatian sebab beliau bukan calang orang meneka begitu sahaja bahawa Malaysia akan bangkrap 2019 seandainya kerajaan tidak menangani masalah rasuah.
Pada malam itu juga terdapat tiga kejutan telah dilakukan pertamaya kehadiran Mohd Zaid Bin Tandang selebriti TV Al Hijrah yang mengelolakan rancangan berkaitan saudara baru, kemasukan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Profesor Dr Nik Zin Nik Yusuf ke dalam PAS dan tentangan 13 biji bola berwarna hijau sebagai simbolik 'tendangan ke Putrajaya' oleh enam orang bekas pemain bola sepak kebangsaan.
Selepas sahaja tentangan tersebut bergemalah beberapa dentuman bunga api menghiasi langit yang hitam pekat.
Semoga apa yang dicapai di Perhimpunan Hijau itu akan membawa harapan baru kepada pencinta agama seluruh pelusuk negara untuk mengubahkan, membersihkan dan mewarnai Putrajaya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan