04 Jun 2012

Polis tumpaskan tiga sindiket dadah

14 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dengan merampas 28.8 kg ganja, 750 gram syabu serta 44,930 biji pil Eramin 5, dalam serbuan berasingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam kes pertama Khamis lepas, polis menahan empat lelaki dan dua wanita tempatan dan merampas 44,930 biji pil Eramin 5 bernilai RM900,000.

"Dua serbuan dijalankan terhadap dua buah rumah iaitu di Kepong dan Bandar Seri Damansara. Polis dapati enam suspek itu adalah sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergiat aktif di sekitar Lembah Klang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam kes kedua pada Rabu lepas, polis menahan seorang wanita warga Togo dipercayai keldai dadah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Wanita berusia 47 tahun itu ditahan kerana menelan kapsul yang mengandungi dadah jenis syabu ketika pemeriksaan di pintu masuk.

"Sehingga kini wanita terbabit telah mengeluarkan 55 ketulan kapsul dengan anggaran berat keseluruhan 750 gram bernilai RM200,000 dan suspek ditahan di Hospital Serdang kerana masih terdapat baki ketulan kapsul yang belum dikeluarkan," katanya.

Pemeriksaan awal polis mendapati, wanita itu telah memasuki negara sebanyak 11 kali sejak 2008 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan raja dadah di Afrika Barat kerana polis menyifatkan wanita berkenaan mempunyai hubungan yang rapat dengan sindiket dadah antarabangsa dari negara berkenaan berdasarkan maklumat interpol.

Noor Rashid berkata bagi kes ketiga, polis menahan dua lelaki tempatan setelah hasil pemeriksaan ke atas beg yang dibawa mendapati terdapat 18 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dalam serbuan yang dijalankan di Dataran Selayang, Batu Caves pada Rabu lepas.

"Susulan tangkapan ini, kita buat serbuan ke sebuah premis di Taman Amaniah, Batu Caves dan menemui tujuh lagi ketulan mampat daun kering menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 25 ketulan mampat daun kering seberat 28.8 kg dengan anggaran nilai RM90,000 hingga RM100,000.

Beliau berkata kesemua suspek dalam tiga kes berkenaan berumur 22 hingga 60 tahun dan ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terlibat mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: