14 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU 4 Jun - Seorang wanita warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu tidak mengisytihar sejumlah wang yang dibawa masuk dan mengimport wang terbabit ke negara ini pada Mei lepas.
Ketkanya Kanoy, 49, dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Rantau Panjang kira-kira pukul 10 pagi, 21 Mei lalu.
Tertuduh yang menetap di negara ini sejak 21 tahun lalu meminta dibicarakan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dikatakan telah gagal mengisytiharkan 2,585 keping wang kertas RM50 dan 200 keping wang kertas RM100 yang bernilai RM149,250.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Kanoy dituduh mengimport kesemua wang terbabit dengan sebuah motosikal bernombor pendaftaran Thailand di tempat dan masa yang sama.
Wang tersebut dilarang diimport di bawah Akta Kastam 1967 dibaca bersama Perintah Kawalan Pertukaran Wang (Import dan Eksport) 2012, Akta Kawalan Pertukaran Pertukaran Wang 1953 kecuali dengan kebenaran Pengawal Pertukuran Wang Asing. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan