14 Rejab 1433H. [MOD] -
HULU TERENGGANU - “Saya terkilan tidak sempat memaklumkan kepada mereka yang lokasi itu tidak selamat untuk mandi kerana sebelum itu, saya pun nyaris lemas setelah mandi di situ,” kata Khairul Ikhwan Hakim Mohd Iszman, 17.
Khairul Ikhwan Hakim adalah salah seorang pelajar Sekolah Menengah (SM) Teknik Terengganu, iaitu rakan kepada dua mangsa lemas ketika berkelah di kawasan air terjun Sekayu, Kuala Berang, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kedua-dua mangsa, masing-masing pelajar SM Teknik Terengganu, Muhammad Hanif Izzuddin Musa, 17, dari Kampung Tanjung Jaafar, Jalan Lapangan Terbang, Seberang Takir, dan Mohamad Azrul Azmir Mohd Maidin @ Sudin, 17, dari Kampung Paya Guchil, Bukit Tok Beng, Seberang Takir, ditemui lemas.
Menceritakan semula detik itu, Khairul Ikhwan Hakim berkata, sebelum kejadian, dia mandi dahulu di kawasan itu bersendirian sejurus tiba di lokasi air terjun kira-kira jam 10.15 pagi setelah bertolak dari rumah kira-kira jam 9 pagi dengan menunggang motosikal bersama tujuh lagi rakan lain, termasuk dua mangsa.
“Ketika itu hanya saya yang mandi di situ dan setelah hampir lemas, saya terus naik ke atas mendapatkan rakan lain dengan niat ingin memaklumkan hal berkenaan. “Bagaimanapun, saya tidak sempat melarang kerana kedua- dua mangsa, Muhammad Hanif Izzuddin dan Mohamad Azrul Azmir sudah pun berada di dalam air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Khairul Ikhwan Hakim berkata, setelah beberapa minit, dia ternampak mangsa, Mohamad Azrul Azmir tenggelam timbul di dalam air dengan tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan. “Melihatkan situasi itu,
Muhammad Hanif Izzuddin yang mandi bersama cuba membantunya, namun keduadua mereka dibawa arus. “Panik dengan situasi itu, saya terus terjun bagi menyelamatkan mereka, tapi saya sendiri hampir lemas namun bernasib baik kerana diselamatkan seorang lagi rakan, Azril Aziz, 17, yang turut terjun setelah melihat keadaan kami bertiga,” katanya.
Menurutnya, apabila dibawa naik ke darat, dia sudah tidak nampak lagi kelibat dua mangsa dan terus memaklumkan kepada orang awam yang berada di situ, seterusnya menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Ketua Operasi Unit Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Khairul Anwar Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kirakira jam 11.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.40 pagi.
“Tiba di lokasi kejadian, kami dimaklumkan terdapat dua mangsa dikhuatiri lemas dan setelah melihat tempat kejadian, kami terpaksa meminta bantuan unit skuba memandangkan lokasi itu tidak selamat untuk unit operasi menjalankan tugas,” katanya.
Khairul Anwar berkata, setelah 15 minit menjalankan siasatan, mereka berjaya mengesan kedua-dua mangsa yang terlekat di celah batu, kira-kira dua meter jarak dari lokasi mereka mandi. “Kami berjaya keluarkan mangsa pertama kira-kira jam 12.10 tengah hari manakala mangsa kedua kira-kira jam 12.51 tengah hari,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tergelincir dari batu dan terus terjatuh ke dalam air edalam tujuh meter. Sebelum ini, dalam kejadian 3 April lalu, Johafizi Johari, 25, dari Dungun, Terengganu, mati lemas ketika berkelah di air terjun itu bersama tiga rakannya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan