14 Rejab 1433H. [MOD] -
KULIM - Seorang penunggang motosikal diseret hampir lima meter akibat dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Taman Kenari dekat sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.
Mangsa, Pichymuthu Mutusamy, 36, bagaimanapun mati selepas empat jam menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kulim.
Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mangsa datang dari arah Taman Cengal menghala ke Taman Kemuning.
Menurutnya, setibanya di persimpangan taman perumahan itu, mangsa terus membelok sebelum dirempuh kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat rempuhan kuat, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan sebelum diseret kira-kira lima meter. Orang ramai yang berada di situ kemudiannya memaklumkan kejadian kepada polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Kereta yang merempuh mangsa datang dari arah Taman Selasih menuju Taman Cengal. Kereta itu sememangnya dipandu dalam keadaan laju,” katanya.
Saksi berkenaan berkata, mangsa sepatutnya memberhentikan motosikal sebelum memasuki simpang itu tetapi apa yang berlaku, mangsa terus masuk ke simpang tanpa melihat kereta yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan patah kaki kanan dan luka di bahagian badan kepala.
“Motosikal mangsa rosak teruk apabila tayar hadapannya tercabut dan tercampak kira-kira tujuh meter ke seberang jalan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan kecemasan dan disahkan meninggal dunia empat jam kemudian.
“Saya ingin beri peringatan kepada penunggang motosikal dan pemandu kereta, supaya memberhentikan kenderaan mereka sebelum memasuki selekoh. Selain itu, mereka perlu beri laluan kepada kenderaan yang datang dari arah bertentangan sebelum membelok.
“Polis masih menyiasat punca kemalangan, bagaimanapun mangsa disahkan maut kira-kira jam 5.15 pagi selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Kulim,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan