04 Jun 2012

Pekerja butik nyaris dirempuh kereta terbabas

14 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH - Hanya jeritan yang mampu dilahirkan saat berdepan situasi mencemaskan. Itulah yang dilalui seorang pekerja butik yang terselamat daripada menjadi mangsa rempuhan sebuah kereta yang terbabas secara tiba-tiba sebelum melanggar tiga kereta lain dalam satu kejadian di Jalan Sultan Iskandar, di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, semalam, pemandu kereta jenis Perodua Alza itu melanggar kereta jenis Perodua Kenari, Perodua Myvi dan Toyota Estima yang di parkir di hadapan butik yang terletak berhampiran pejabat Utusan Melayu Malaysia Berhad (UMMB) cawangan Perak.

Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk.

Pekerja butik yang dikenali sebagai Chong, 30, berkata, sewaktu kejadian, dia baru sahaja meletakkan kenderaannya sebelum didatangi Perodua Alza yang secara tiba-tiba merempuh kereta Perodua Kenari serta dua kereta lain.

“Kejadian itu berlaku tidak sampai lima minit dan saya hanya mampu menjerit akibat terlalu panik.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat keluar daripada kereta dan terselamat daripada terbabit dalam kejadian yang tidak diingini,” katanya yang masih terkejut dengan insiden tersebut.

Dalam perkembangan sama, pemilik butik, Ang Jua Tuan, 39, berkata, dia amat kecewa dan sedih apabila Toyota Estima miliknya yang baru dua bulan dibeli rosak akibat dilanggar kereta berkenaan.

Katanya, dia hanya mampu menjerit ketakutan ketika melihat kereta tersebut merempuh ketiga-tiga kereta yang di parkir di hadapan kedainya.

“Sebenarnya, kejadian kemalangan pada hari ini (semalam) bukanlah yang pertama berlaku kerana sebelum ini empat kenderaan milik kakitangan Utusan juga pernah dirempuh oleh kenderaan lain," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kemalangan serta anggaran kerugian keseluruhan masih dalam siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: