14 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mengambil keputusan untuk tidak menghantar sebarang calon dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presidennya, Khalid Ismath (gambar), mereka berkata walaupun mengambil sikap tidak bertanding, mereka terus bersama-sama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
"KAMI masih akan terus bersama-sama SMM dalam koalisi untuk menyuarakan hak dan hasrat mahasiswa yang KAMI telah sepakati. Walaubagaimanapun dalam isu mahasiswa bertanding dalam PRU13 kami mengambil pendirian yang berbeza," kata Khalid dalam kenyataannya.
Mereka memberikan alasan untuk lebih fokus dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan rakyat, hak asasi manusia dan perundangan serta bertindak sebagai kuasa ketiga bagi memastikan konsep ‘check and balance’dapat dilaksanakan dalam negara Malaysia.
KAMI juga, katanya, berpaksi kepada perjuangan non-partisan , justeru penglibatan KAMI dalam PRU13 sebagai calon akan menjejaskan teras perjuangan yang didukung oleh front selama ini.
KAMI juga, jelas beliau, mengutamakan idealisme dan aktivisme bagi anak muda dan mahasiswa untuk memastikan urustadbir dalam negara dijalankan dengan baik.
"Jadi, KAMI memikul tugas bagi membangkitkan kesedaran dan kepedulian anak muda," katanya.
Lagipun, katanya lagi, penglibatan sebagai calon dalam PRU memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi serta masa yang sangat panjang.
Mereka juga memberikan alasan, timbul persepsi daripada masyarakat bahawa gerakan mahasiswa sudah dijangkiti penyakit YBisme, korupsi, dan mahasiswa tidak lagi akan diberi kepercayaan sebagai third force atau sebagai system check and balance jika bertanding pilihan raya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan