14 Rejab 1433H. [MOD] -
BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta baru tidak sampai setahun digunakan terbakar dalam kemalangan di Jalan Syed Abdul Aziz, berhampiran kompleks beli- belah Mahkota Parade, di sini, pagi semalam.
Kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandu mangsa, Sulaiman Ayem, 48, juga nyaris terjunam ke bawah jambatan setinggi bangunan tiga tingkat selepas terbabas, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu.
Menurut sumber, mangsa yang menetap di Batu 9, Pantai Kundur, Tanjung Kling, dikatakan datang dari arah lampu isyarat persimpangan Eye On Malaysia menghala Melaka Raya memandu seorang diri sebelum hilang kawalan lalu terbabas.
“Mangsa sebelum itu melanggar sebuah pasu bunga, besi pengadang dan sebuah lagi pasu bunga di kiri jalan jambatan sebelum terbakar.
“Mangsa yang tidak mengalami kecederaan luaran dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9 pagi dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Sebuah jentera bersama enam anggota termasuk seorang pegawai diarahkan ke lokasi dan api yang marak dapat dikawal pada jam 9.12 pagi dalam operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hong Tiong Bee,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan