04 Jun 2012

Pasukan khas dibentuk siasat kes bayi dibunuh

14 Rejab 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT - Satu pasukan siasatan khas dibentuk bagi mengesan dalang di sebalik insiden penemuan mayat bayi empat bulan, Lim Xin Yao, di Pusat Rekreasi Tasik Y di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, unit siasatan itu akan dijalankan di bawah kelolaan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

“Sementara itu, pasukan forensik dan unit khas dari Bukit Aman akan tiba petang ini (semalam) bagi membantu menjalankan penyiasatan yang terperinci bersama polis Johor.

“Suspek yang juga pengasuh berusia 43 tahun itu kini dalam tahanan reman sehingga 8 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, sehingga kini, pihaknya sudah merakam 13 percakapan berhubung kejadian tragis ini, malah menemui beberapa barang seperti bantal, tuala dan selimut yang dipercayai ada kaitan dengan dengan kes terbabit.

Difahamkan, unit khas yang ditubuhkan akan bekerjasama dengan pihak hospital bagi mengesan sama ada wujud masalah psikologi dan kesihatan pada suspek atau tidak.

Ketika ditanya berhubung dua lagi kes yang didakwa mempunyai kaitan dengan suspek berdasarkan laporan polis pada 2010 dan 2011, Mohd Mokhtar berkata, kertas siasatan masih dibuka.

“Keazaman kita (polis) kuat untuk menyelesaikan kes ini, sekali gus melengkapkan kertas siasatan.

“Kami akan memastikan dalang di sebalik insiden ini dibawa ke muka pengadilan dan mereka yang punyai maklumat berhubung kes terbabit diminta menghubungi pihak polis,” katanya ketika membuat kunjungan takziah di kediaman mangsa di Taman Banang Jaya di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang bersama pegawai kanan IPD Batu Pahat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bayi malang terbabit ditemui di bawah rimbunan pokok Pusat Rekreasi Tasik Y kira-kira jam 7 petang oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan kejadian.

Penemuan itu sekali gus memberi jawapan kepada kebimbangan sepasang suami isteri berhubung kehilangan bayi mereka yang ketika itu dalam jagaan pengasuhnya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: