14 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Percutian bagi meraikan ulang tahun perkahwinan ke-10 bersama suami tercinta di Selatan Mesir, membawa malang kepada seorang rakyat Malaysia berusia 33 tahun selepas mereka ditahan kumpulan pemberontak di negara itu, semalam.
Mangsa, Norbazrina Yazid, 33, berasal dari Shah Alam, Selangor mengembara bersama suaminya, warga Australia ditahan bersama pelancong lain dalam satu sekatan jalan oleh kumpulan pemberontak berkenaan.
Sumber berkata, kumpulan itu bertindak demikian berikutan tindakan pihak berkuasa negara berkenaan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas presiden negara terbabit, Hosni Mubarak, dua hari lalu.
Adik mangsa, Norzalekha Yazid, 30, 0berkata dia hanya mendapat tahu mengenai perkara itu melalui statusnya di laman sosial, Facebook yang dia dan sekumpulan pelancong lain dijadikan tebusan di kawasan Abu Simbel dekat Aswan di selatan Mesir, petang semalam.
Menurutnya, kakaknya hanya memaklumkan kejadian itu secara ringkas dan tidak menyatakan sebarang perkembangan terkini mengenai keadaan mereka.
“Dia menyatakan ditahan sekumpulan peladang dalam sekatan jalan sebelum dijadikan tebusan bagaimanapun ketika menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka memaklumkan semua tahanan sudah dibebaskan,” katanya.
Norzalekha berkata, keluarganya berasa lega selepas mendapat panggilan telefon daripada pegawai di Kedutaan Malaysia memberitahu semua tahanan sudah dibebaskan.
“Namun, sehingga kini (lewat malam tadi) Rina dan suaminya gagal dihubungi dan kami belum menerima maklumat terkini mengenai keadaan mereka,” katanya.
Menurutnya, mangsa, siswazah komunikasi massa dari Universiti Teknologi Mara, berlepas ke Mesir Rabu lalu dengan menaiki pesawat Singapore Airlines.
Jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan kejadian berkenaan namun menafikan maklumat mangsa dan pelancong lain dijadikan tebusan oleh kumpulan pemberontak.
Menurutnya, mereka hanya terkandas di Abu Simbel selepas tidak dibenarkan meneruskan perjalanan akibat tindakan kumpulan peladang yang membantah hukuman ke atas Hosni.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Norbazrina melalui Facebooknya menulis bahawa sekumpulan pelancong "ditahan sebagai tebusan oleh petani Mesir sejak empat jam lepas" dan "tentera sedang berunding dengan mereka".
"Kami okay, hanya panas dan runsing," tulis beliau.
Rina kemudian mengemas kini catatannya dengan berkata "kami cuba melarikan diri tetapi polis memberitahu kami supaya tidak berbuat demikian" dan "dua kumpulan dapat melarikan diri sebelum kami namun kami telah ditahan".
Beliau turut berkata, kumpulannya mengandungi 11 orang dan mereka berusaha untuk mendapatkan makanan.
"Tiada senjata api tetapi petani ini nampaknya tidak gembira tentang sesuatu dan kami pula kebetulannya berada di sini," tulis beliau.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan