14 Rejab 1433H. [MOD] -
KLANG – Hasil risikan selama tiga minggu berbaloi apabila 200 penunggang motosikal yang menjadikan kawasan Lebuhraya Shah Padu berhampiran Kampung Rantau Panjang dekat sini sebagai litar perlumbaan haram ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan oleh Pasukan Khas Unit Trafik dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, awal pagi semalam.
Dalam operasi yang bermula jam 3 pagi sehingga 5 pagi itu, ada di antara penunggang bertindak ganas termasuk cuba merempuh anggota polis yang membuat kepungan jalan. Pegawai Turus Trafik Bukit Aman, Superintendan Hamzah Ahmad mengakui terdapat beberapa penunggang bertindak melarikan diri ke dalam semak selepas penemuan beberapa motosikal ditinggalkan di lokasi berhampiran lebuh raya tersebut.
“Kebanyakan yang ditahan adalah berumur sekitar 14 hingga 30 tahun dan ke semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam untuk semakan dan sesi saringan,” katanya. Menurutnya, sebahagian besar yang ditahan terdiri daripada pelajar sekolah yang tidak mempunyai lesen.
"Saya harap sepanjang cuti sekolah ini, ibu bapa perlu memantau dan ambil tahu ke mana anak mereka pergi terutama pada waktu malam,” katanya. Difahamkan, setakat ini pihaknya percaya ada pertaruhan wang yang menjadi tarikan mereka untuk berlumba.
Sementara itu, pelajar tingkatan 3 yang dikenali sebagai Mohd Hanif mengakui dia menunggang motosikal milik kakaknya secara ‘curicuri’ dan hanya keluar rumah selepas ahli keluarganya tidur. “Mereka tidak tahu saya keluar rumah dan lazimnya saya keluar bersama rakan lain pada malam minggu untuk berlumba,” katanya yang turut cedera selepas motosikal yang ditungganginya gagal dikawal selepas cuba melarikan diri.
Manakala pelajar tingkatan 2, Mohd Shafik memberitahu, dia sering ke lebuh raya untuk menyaksikan perlumbaan. “Ada sekali saya pernah berlumba, hari ini saya datang hendak sokong kawan berlumba,” katanya yang turut tidak memiliki lesen memandu.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan