04 Jun 2012

Kenapa kerajaan tergesa-gesa jual saham FGVH

14 Rejab 1433H. [MOD] -

Apakah sebabnya kerajaan terdesak dan tergesa-gesa menjual sahamnya dalam syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) untuk mendapatkan wang sebanyak RM5.5 bilion?

Semasa pelancaran prospektus FGVH pada 31 Mei 2012, Perdana Menteri berkata bahawa penyenaraian FGVH akan melonjakkan FGVH untuk menjadi sebuah syarikat bertaraf dunia. Penawaran saham FGVH akan mengumpul sebanyak RM9.96 bilion.

Akan tetapi, jika FGVH benar-benar akan "melonjak" menjdai sebuah syarikat bertaraf dunia, apakah sebabnya kerajaan bertindak untuk menjual kepentingan dan sahamnya secara besar-besaran?

Daripada RM9.96 bilion dana yang akan dikumpul, hanya 40% daripada wang tersebut akan ditujukan kepada FGVH untuk matlamat pelaburan dan operasi.

Prospektus syarikat berkata 87.7% daripada dana tersebut akan digunakan untuk pelaburan aset ladang yang baru, membeli kelengkapan dan perniagaan kilang pembuatan minyak dan lemak, dan juga untuk penaiktarafan aset-aset yang sedia ada.

Sebaliknya, baki 60% daripada wang yang terkumpul daripada penyenaraian FGVH adalah milik kerajaan melalui penjualan saham yang dimilik oleh FELDA. Jumlah yang akan dikumpul kerajaan adalah melebihi jumlah yang diperuntukkan kepada syarikat FGVH, iaitu RM5.5 bilion.

Apakah sebab kerajaan memerlukan RM5.5 bilion daripada penjualan saham FGVH milik FELDA tidak dinyatakan dalam prospektus.

Kita hanya mengetahui melalui media bahawa RM1.69 bilion telah diperuntukkan untuk memberi bayaran "durian runtuh" RM15,000 kepada setiap keluarga FELDA yang akan memakan perbelanjaan sebanyak RM1.69 bilion.

Hakikatnya, kerajaan bertujuan untuk menjual begitu banyak sahamnya sehingga pemilikan kerajaan dalam syarikat FGVH akan dikurangkan dari 100% kepada 40% sahaja.

Jika perbandingan dibuat dengan penyenaraian Facebook baru-baru ini, pihak pengusaha dan pelabur asal Facebook hanya menjual sebanyak 25% daripada pemilikan mereka dalam syarikat tersebut. Akan tetapi, kerajaan bertindak secara bermisteri, dengan pengurangan pemilikan saham dalam FGVH sebanyak 60%.

Tindakan kerajaan menimbulkan soalan yang penting - jika FGVH benar-benar akan berubah menjadi syarikat global yang amat beruntung, apa sebabnya kerajaan tergesa-gesa menjual begitu banyak sahamnya?

Jika kata-kata Dato' Seri Najib Razak adalah tepat dan benar, bukankan ianya lebih wajar jika kerajaan terus memegang saham FGVH selama mungkin untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan?

Apatah lagi, kerajaan telah memilih masa yang kurang sesuai untuk menjual sahamnya kerana suasana pasaran pelaburan adalah amat negatif sekarang dan kerajaan tidak akan mendapat nilai yang paling tinggi untuk sahammya.

Langkah yang begitu terdesak, disamping dengan penambahan keuntungan FGVH dengan pendapatan melebihi RM500 juta yang sepatutnya hasil kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF) setiap tahun, membina keraguan bahawa ada udang disebalik batu.

Atas sebab jumlah wang RM5.5 bilion yang teramat besar dan kepentingan 112,635 peneroka Felda, kami menyeru supaya kerajaan akan secara telus dan akauntabel menjawab isu-isu membangkitkan rasa kecurigaan terhadap niat kerajaan dalam penyenaraian FGVH.

Harakah Daily

Tiada ulasan: