03 September 2012

Kahwin ketika perang Syria

15 Syawal 1433H. [MOD] -

HANAN dan Abu Khaled duduk dalam majlis perkahwinan mereka di Aleppo pada 31 Ogos lalu.

ALEPPO - Satu pasangan muda menjalin hubungan cinta semasa peperangan berlaku di negara mereka, Syria di sini.

Pasangan itu, seorang penembak tepat, Abu Khaled dan Hanan yang merupakan seorang jururawat kemudian mendirikan rumah tangga.

Majlis perkahwinan mereka diadakan di sini pada 31 Ogos lalu.

Hanan pernah merawat kecederaan luka Abu Khaled.

Abu Khaled yang berusia 20 tahun mendedahkan dia menyintai Hanan selepas melihatnya pada pandangan pertama.

"Saya melihatnya di tempat bantuan kecemasan di sekolah Coneta. Daripada pandangan pertama, saya menyintainya.

"Kemudian saya ditembak di kaki dan dia membersihkan luka saya pada setiap hari," katanya.

Hanan yang berusia 23 tahun turut mendedahkan cintanya terhadap Abu Khaled semakin kuat selepas abangnya terbunuh dalam peperangan di Syria.

Dalam majlis perkahwinan mereka, seorang komander Tentera Pembebasan Syria yang mewakili kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad telah memberikan ucapan.

Pasangan tersebut saling bertukar-tukar cincin.

Pergolakan di Syria bermula pada Mac tahun lalu apabila penduduk bangkit menentang kepimpinan Bashar.

Pertempuran kemudian berlaku antara sebahagian besar penduduk dengan askar-askar Bashar.

Kumpulan penduduk yang bangkit memberontak menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana beliau gagal untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran dan hak asasi manusia.

Lebih 20,000 orang telah terbunuh sejak pertempuran berlaku di bandar-bandar Syria. - Agensi

Jemputan Merdeka: Umno usah bermuka-muka

15 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) menasihatkan pemimpin Umno agar tidak bermuka-muka kononnya membela Raja-raja Melayu apabila memainkan isu jemputan sambutan Merdeka terhadap Sultan Selangor.

Timbalan Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, Rakyat sudah muak dengan sifat bermuka-muka dan putar belit pemimpin-pemimpin Umno dalam perkara itu dan bukti penghinaan Umno terhadap raja-raja Melayu terlalu banyak.

"DPPNS turut berasa kesal dengan politik sempit yang cuba dimainkan oleh Umno yang berlagak seumpama wira untuk mempertahankan institusi diraja sedangkan pemimpin-pemimpin Umnolah yang mempunyai sejarah hitam sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada institusi beraja di dalam negara ini dan mereka selama ini tidak pernah barang sekali berasa sesal dan memohon maaf di atas tindakan mereka.

"DPPNS meminta supaya pemimpin–pemimpin Umno Selangor tidak perlulah cuba membodek dan menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menyelamatkan kuasa politik Umno Selangor yang sudah semakin tenat," katanya.

Mengulas isu jemputan sambutan ambang Merdeka terhadap Sultan Selangor, Mohd Sany berkata isu tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu untuk cuba untuk mengeruhkan hubungan yang terjalin baik di antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, isu tersebut belum diketahui asal-usul punca kesilapan tetapi telah digembar-gemburkan sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja.

"DPPNS bersetuju bahawa orang yang paling layak untuk menjelaskan kekeliruan ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan peringkat negeri," katanya.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia Sabtu lalu melaporkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuduh kerajaan Selangor tidak menghormati institusi diraja dengan mengenepikan Sultan Selangor, dalam majlis Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu.

Semalam Setiausaha kepada Menteri Besar, Faekah Husin memberitahu Mohamad Khusrin telah mengesahkan bahawa Sultan Selangor tidak pernah dijemput untuk malam ambang kemerdekaan kerana Baginda akan hadir pada program rasmi pada sebelah pagi 31 Ogos iaitu Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal, jika kerajaan Selangor dituduh menghina raja, maka Umno lebih lagi menghina raja apabila tidak menjemput Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

harakahdaily/-

Tempangkan 3 negeri talian hayat BN

15 Syawal 1433H. [MOD] -


TASIK GELUGOR: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sekali lagi memberi peringatan kepada jentera Pakatan Rakyat agar berkerja keras jika mahu menggapai impian menguasai Putrajaya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, laluan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya akan menjadi lebih mudah jika kedudukan BN di tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Johor dapat ditempangkan..

Ini kerana ketiga-tiga negeri itu kini adalah talian hayat Umno untuk terus kekal berkuasa.

"Tempangkan dulu tiga negeri yang menjadi teras kekuatan BN iaitu Sabah, Sarawak dan Johor sebab negeri terbabit adalah nadi Umno dan BN.

"Jika dapat dikurangkan pasti memberi peluang Pakatan Rakyat ke Putrajaya dengan mudah sekali, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Karnival Penerangan Terkini (KarPenTer) anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri dengan kerjasama PAS Tasek Gelugor di Dewan JKKK Simpang Empat Permatang Buluh semalam.

Sehubungan itu katanya, selain memberi tumpuan di negeri-negeri lain, tumpuan lebih pula perlu diberikan kepada tiga negeri ini.

Sebab itu katanya, ramai kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat kini berada di Sarawak, Sabah dan Johor ekoran terdapat angin perubahan rakyat yang sangat memberangsangkan.

Menurut beliau lagi, jika ketiga-tiga negeri ini menunjukkan perubahan besar menjelang PRU13, pasti Perdana Menteri Datuk Seri Najib tidak mampu tidur lena.

"BN memang selesa di tiga negeri tersebut. Tak apa itu situasi lama berlainan dengan sambutan masyarakat hari ini di mana Umno dan BN tidak berani lagi bersiul di tengah jalan kerana khuatir mendapat malu, " katanya.

HARAKAHDAILY/-

Subhanallah! Bayi kembar hitam putih

15 Syawal 1433H. [MOD] -

LONDON: Tidak seperti pasangan kembar lain, anak dilahirkan Pamela Frazer memiliki keunikan tersendiri apabila mereka memiliki perbezaan warna kulit yang ketara.

Sejak melahirkan pasangan itu empat minggu lalu, Pamela sentiasa berdepan banyak soalan daripada orang ramai yang kehairanan.

Candice Anne berkulit, berambut dan bermata hitam, manakala kembarnya – Aleisha Lily – berkulit putih.

Mengenai perbezaan itu, Pamela berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah.

“Sekurang-kurangnya saya tidak terkeliru antara Candice dan Aleisha,” katanya.

Bagi Pamela, 30, perbezaan warna kulit itu juga menjadikan anaknya sangat istimewa.

Walaupun Pamela dan suaminya, Oswald Frazer, 37, berkulit hitam, mereka dilahirkan dengan sejarah percampuran ras.

Menurut Pamela, ibunya mempunyai darah Jamaica, Afrika dan Ireland, manakala bapanya berdarah campuran kulit putih dan Yahudi.

Ibu Frazer pula berdarah campuran Ireland dan Jamaica, manakala bapanya keturunan Jamaica.

Kata Pamela, perbezaan kulit bagi pasangan kembar memang sangat jarang walaupun ia sering berlaku di kalangan adik-beradik.

“Kata doktor, kemungkinan itu adalah satu dalam sejuta,” katanya.

Sementara itu, Frazer berkata, dia ‘jatuh cinta pandang pertama’ apabila melihat Candice dan Aleisha.

“Mereka kelihatan agak sama pada permulaannya, tetapi kini anak kami sangat berbeza,” katanya.

Selain Candice dan Aleisha, pasangan Pamela – Frazer juga mempunyai seorang anak lelaki Brandon, 6.

Mereka menghabiskan masa beberapa minggu di hospital sebelum dibenarkan pulang ke Hastings, Sussex Timur.

Sejak itu, keunikan anak kembar mereka segera mencuri perhatian ramai.

Pamela mempunyai saudara kembar bernama Jemma. – TS

Hantar Rohingya ke negara lain

15 Syawal 1433H. [MOD] -

Yangon: Ratusan sami Buddha di Myanmar mengadakan perarakan menyokong saranan Presiden Thein Sein untuk menghantar 800,00 penduduk Rohingya ke negara lain. Thein Sein membuat cadangan itu Julai lalu yang segera ditolak agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sami itu membawa sepanduk berbunyi: “Selamatkan tanah air kamu dengan menyokong presiden.” Myanmar menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh tetapi Dhaka turut tidak mengiktiraf mereka. - AP

Syaitan Dan Lembu Berkeliaran Dekat Pilihanraya

15 Syawal 1433H. [MOD] -

AKU malas nak ulas pasal serangan ke atas jemaah masjid sewaktu DS Anwar sedang memberikan tazkirah malam tadi kerana banyak blog telah mengulas kejadian ini. Katanya PERKOSA terlibat di dalam serangan terhadap rumah Allah tersebut, tetapi aku lebih yakin bahawa sebenarnya yang menyerang itu adalah syaitan dan iblis yang telah menjelmakan dirinya.

Ertinya, kenyataan Mamak pandi kutti sebelum ini adalah benar bahawa lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali.

Aku nak ulas sikit isu bendera walaupun aku sudah mengulasnya di dalam artikel yang lepas. Di dalam tulisan aku yang lepas aku nyatakan bahawa PR tidak berminat untuk menukar bendera, kita lebih berminat untuk tukar rejim yang memerintah sekarang. Tiada salahnya bendera samada ianya dipanggil Jalur Gemilang mahu pun Sang Saka kerana yang rasuah tetap rasuah, yang zalim tetap zalim.

Semalam pihak Polis secara tegasnya menyebut akan menyiasat kes bendera dan juga kes meletakkan punggung ke atas potret Najib. Pantas nampaknya pihak Polis kali ini. Aku harap siasatan ini berjaya walaupun banyak kes yang lebih besar tidak selesai malah berlalu begitu sahaja.

Budak ini dikatakan membawa bendera Sang Saka (Saka Bangsa? ) dan tidak pula kedengaran budak-budak ini menjerit " Ayuh...kita tukar bendera". Tidak pula diketahui membawa bendera Sang Saka ini begitu besar dosanya sedangkan bendera Israel pernah berkibar di PWTC. Ertinya, lebih mulia bendera Israel dari Sang Saka?

Membawa bendera Sang Saka lebih besar dosanya dari mempamirkan banner menggelar Sultan sebagai "Natang" ? Lebih mulia gamaknya mengusung kepala babi di letakkan di masjid daripada membawa bendera Sang Saka? Di mana siasatan dan siapa yang didakwa atas krjadian usung kepala babi ke masjid dan mempamerkan banner menghina Sultan sebagai " Natang" ? Ada atau tidak yang didakwa?

Nampaknya semakin dekat PRU maka semakin banyak syaitan yang menjelmakan dirinya. Mungkin kerana syaitan ini telah diseru oleh bomoh mamak pandi kutti baru-baru ini. Oleh kerana itu, kita di dalam PR khususnya tuan rumah atau Penganjur mana-mana program yang melibatkan pimpinan berisiko wajiblah peka terhadap aspek keselamatan. Mereka ini kita tahu dari spesis lembu yang suka makan poster dan bendera dan suka ceroboh kawasan kita, jadi kita perlu bina kandang dari dimasuki oleh lembu-lembu ini. Jangan salahkan lembu jika menceroboh ladang kita kerana lembu tetap berotakkan lembu.http://wfauzdin.blogspot.com/

Pasukan khas siasat kes serang bas jelajah Anwar

15 Syawal 1433H. [MOD] -

Polis membentuk tiga pasukan khas bagi menyiasat tiga laporan yang dibuat membabitkan insiden di Dataran Merdeka, serangan terhadap bas Jelajah Merdeka Rakyat dan berhubung tindakan penganjur 'Himpunan Janji Bersih' yang telah melanggar Akta Perhimpunan Aman 2011.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata dalam insiden pertama yang berlaku di Dataran Merdeka semasa Himpunan Janji Bersih, Khamis lalu, polis meminta individu terlibat mempamerkan bendera bagi menggantikan Jalur Gemilang supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, polis juga mahukan individu dalam insiden memijak dan menunjukkan punggung ke atas gambar pemimpin negara pada malam perhimpunan itu juga tampil memberi keterangan kepada polis.

"Kita menubuhkan pasukan khas ini bagi menyiasat ketiga-tiga insiden berkenaan termasuk yang berlaku semasa perhimpunan itu berdasarkan siaran gambar-gambar yang telah dihebahkan oleh pihak media. Kita minta individu-individu yang terlibat itu untuk tampil memberi keterangan.

"Sekiranya gagal tampil membantu siasatan, kita (polis) akan memburu dan mencari mereka serta mengenakan tindakan berdasarkan undang-undang yang ada," katanya dalam sidang media di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibunegara semalam.

Mohd Bakri berkata tindakan segelintir individu yang cuba membuat provokasi semasa perhimpunan itu boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara serta mewujudkan anasir negatif yang boleh menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata berhubung insiden mempamerkan bendera baru bagi menggantikan bendera Malaysia kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948, manakala kejadian memijak gambar pemimpin negara kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan mudarat serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Katanya, insiden menunjukkan punggung terhadap gambar pemimpin negara boleh disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana cuba mengaibkan kehormatan
seseorang.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata berhubung satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tun H.S Lee pada Rabu lepas, polis kini menyiasat laporan berhubung tindakan penganjur Himpunan Janji Demokrasi yang gagal memberi notis untuk berhimpun Khamis lepas.

Mohd Bakri berkata polis meminta penganjur tampil membantu siasatan kerana melanggar Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2011 iaitu gagal memberi notis 10 hari awal untuk berhimpun.

Dalam pada itu, polis telah merakam keterangan lima saksi termasuk seorang pemandu bas berhubung insiden serangan dan simbah cat ke atas sebuah bas yang digunakan dalam program Jelajah Merdeka Rakyat PKR di Kota Bharu.

Mohd Bakri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil memberi keterangan di balai-balai polis berhampiran.

- Bernama

Bajet 2013 jadi pertaruhan BN untuk PRU13

15 Syawal 1433H. [MOD]

KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh kerajaan pada September ini sarat dengan 'gula-gula' menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau yakin Umno BN akan menggunakan peluang semaksima mungkin untuk menarik sokongan rakyat.

"Sudah pasti bajet ini menjadi kosmetik sepenuhnya untuk mereka menghadapi PRU13 nanti.

"Saya pasti peluang ini akan digunakan semaksima mungkin untuk mereka mendapat sokongan dari seluruh rakyat dan juga liputan yang meluas," katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Gantang juga menjangkakan bajet kali ini lebih tertumpu kepada kakitangan awam dan orang kampung.

"Kalau hanya melalui pemberian 'one off' di luar musim bajet, impak yang mereka perolehi tidak memberangsangkan dan itu yang dialami oleh mereka sebelum ini terhadap pemberian tayar percuma serta RM500 kepada rakyat," jelasnya.

Mengulas pertaruhan BN kepada bajet itu nanti, Nizar berkata ianya mungkin menjadi kayu ukur kepada Najib untuk membubarkan parlimen selepas melihat reaksi rakyat terhadap pembentangan bajet itu.

Menteri kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata draf bajet 2013 akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada mesyuarat kabinet Rabu ini.

Bajet 2013 yang turut merangkumi cadangan serta maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan tumpuan, agensi kerajaan serta sektor-sektor perindustrian itu, akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti.

HARAKAHDAILY/-

Gandingan Mantap Wanita Pakatan Rakyat

15 Syawal 1433H. [MOD] -

BERMULA jam 3 petang ini, di Dataran Marwan Al Hakam, Air Hitam Johor berlangsungnya program Riang Raya, Semarak Hijau ke Putrajaya.

Kelihatan YB Zailah, YB Ubaidah, Siti Aishah Ketua Srikandi PKR, Aiman Atirah AlJundi, Faridah Ketua Ameerah Muslimat PAS, wakil Wanita DAP dll yang disantuni pimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.

90% program di penuhi golongan hawa. Kaum lelakinya datang menemani isteri atau anak perempuan mereka.
Saya kagum dengan komitmen wanita PR ini. Majlis forum yg menampilkan Hajah Mumtaz Nawi, Siti Aishah, wakil DAP, Cik Faridah dan moderator Cik Anis Azli berjaya menampilkan tokoh2 hebat wanita!

Kelibat muslimat dari Melaka dan NS Yg datang dengan bas menggembirakan kita orang Johor selaku tuanrumah. Turut hadir para seniman seperti Hj Salleh Bakar, Hasni Abas, Abang Kasim dan Amni Jagat.

Kemuncak malam ini adalah pidato Tuan Hj Mohd Sabu dan Dato Dr Mahfodz Mohamed.
Syabas Muslimat!

SELATAN ONLINE/-

Harga minyak Asia merudum

15 Syawal 1433H. [MOD] -

SINGAPURA: Harga minyak mentah di Asia merudum hari ini selepas peniaga kecewa dengan tindakan Ketua Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Ben Bernanke yang enggan mengesahkan langkah rangsangan ketika berucap, kata penganalisis.

Pengeluaran kontrak utama New York, minyak mentah Light Sweet Oktober kurang 24 sen kepada AS496.23 setong manakala minyak mentah Brent North Sea pada bulan sama turun 17 sen kepada AS$114.40. - AFP

Sambutan Kemerdekaan Negeri Selangor meriah

15 Syawal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Malam tadi, sambutan hari kemerdekaan ke-55 tahun peringkat Negeri Selangor meriah apabila lebih dua ribu rakyat negeri ini membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Sebangsa, Senegara, Sejiwa adalah tema yang telah disepakati dan telah dapat memenuhi semangat perpaduan serta keharmonian apabila pelbagai kaum tanpa mengira agama serta umur hadir untuk menyambut ambang kemerdekaan.

Sambutan itu juga telah dimeriahkan dengan perbarisan 53 kumpulan dan 7 kumpulan pancaragam dari sekolah-sekolah di Selangor.

Turut hadir memeriahkan sambutan tersebut, barisan kepimpinan Pakatan Rakyat terdiri daripada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri serta keseluruhan barisan exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga hadir termasuk kakitangan kerajaan yang lain.

Dalam pada itu, sambutan yang bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan disusuli dengan perbarisan serta persembahan tarian tradisional sebelum ucapan daripada pemimpin utama negeri dan Pakatan Rakyat.

Pada sambutan itu juga, Menteri Besar Selangor telah melaungkan 'merdeka' sebanyak tujuh kali disertai dengan percikan bunga api di ruang udara bandar Shah Alam, tepat pada jam 12 tengah malam.

MALAYSIA HARMONI/-

Serang masjid tak hormat majlis agama

15 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan samseng menyerang majlis tazkirah maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah suatu penghinaan kepada rumah ibadah.

Samseng yang dipercayai ahli Perkasa itu menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar hendak menyampaikan tazkirah di dalam Masjid Al Husin.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, insiden itu sangat memalukan dan menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati majlis agama.

"Perbuatan ini sangat memalukan dan merupakan penghinaan kepada rumah Allah, tempat ibadat dibaling kasut ketika orang ramai sedang mengimarah masjid dengan mendengar tazkirah.

"Mereka yang diupah tak hormat imam masjid walaupun berkali-kali imam memberitahu bahawa beliau yang memberi kebenaran untuk majlis tazkirah itu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mahfuz yang turut berada berada dalam majlis tersebut turut menjadi sasaran apabila kasut yang dibaling hampir-hampir mengenai beliau.

Beliau juga melahirkan rasa sedih dengan sikap biadab orang Islam sedangkan orang bukan Islam turut berada di luar masjid dan mendengar tazkirah yang disampaikan.

"Tapi ada orang Islam yang menggunakan Perkasa, yang bukan qariah tempatan melakukan perkara yang memalukan.

"Inilah kejayaan 55 tahun Umno menternak rakyat untuk menjaga kepentingan mereka. Umno gagal mendidik rakyat, tapi mereka ternak rakyat untuk bersikap biadab," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

HARAKAHDAILY/-

Rakyat dibohongi, sogok wang dan restui samseng

15 Syawal 1433H. [MOD] -

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) amat kecewa dengan budaya pemimpin kerajaan yang terus menerus mengguna wang dan paksaan kepada kakitangan kerajaan untuk hadir dalam perhimpunan.

Jelas ini bukanlah petanda demokrasi yang sihat, malah adalah petanda kerendahan minda dan jiwa pimpinan kerajaan untuk berhadapan dengan realiti apabila tidak yakin dengan sokongan rakyat.

Sampai bilakah budaya seperti ini akan dikekalkan kerana ia adalah suatu cara membohongi bukan sahaja rakyat malah kerajaan sendiri.

Kami mendapati betapa kerajaan kali ini mengguna habis-habisan semua kakitangan kerajaan untuk memastikan kehadiran mencapai bilangan yang akan digahkan sebagai perhimpunan yang berjaya.

Tidak cukup dengan surat arahan dan amaran bahawa tindakan boleh diambil jika tidak hadir, malah kakitangan juga ada yang diberi peruntukan kewangan untuk memastikan mereka tidak ponteng dalam acara bersandiwara menyokong kerajaan.

Dari acara menyambut hari Kemerdekaaan sehingga kepada majlis jamuan Hari Raya, dari perhimpunan belia sehingga acara sambutan hari kebesaran negara; beratus juta ringgit dikeluarkan untuk meramaikan majlis tanpa berfikir mengenai implikasinya.

Tidak cukup dengan itu nampaknya pihak kerajaan merestui pendekatan samseng yang semakin menunjukkan bayangan bahawa kerajaan yang ada sedang terdesak sehingga tidak lagi membatas tindakan untuk mempertahankan kuasa, iaitu dengan apa cara sekali pun termasuk kekerasan.

Sangat memalukan kini pihak parti yang bersungguh untuk mempertahankan kuasa di Putrajaya sedang bermati-matian untuk menghalalkan semua cara termasuk pendekatan terorisme untuk menakutkan rakyat.

Lebih malang lagi pihak polis yang begitu cepat bertindak jika ada laporan dilakukan terhadap pihak pembangkang, nampak sangat berlengah jika keganasan yang jelas dilakukan oleh penyokong kerajaan dilaporkan di seluruh Negara.

Soalnya apakah kerajaan yang sudah memerintah selama 55 tahun ini terlalu rapuh dan sudah terlalu lemah daya berhujah sehingga terpaksa mengguna politik samseng, politik fitnah dan politik adu domba antara kaum.

Lebih memalukan lagi ialah bila yang diperkuda ialah anak-anak muda bangsa Melayu. Bukan sahaja ia menghina daya berfikir generasi muda malah juga merendahkan adab dan tatasusila budaya orang Melayu yang dipertonton kepada kaum lain.

Teras sangat kesal dan mengecam keras kepimpinan Melayu yang berdiam diri terhadap budaya politik tidak senonoh dan ganas. Cukup bangsa Melayu ini ditelanjang dengan budaya fitnah dan lucah yang sangat menjijikkan, kini kerajaan yang diteraju oleh orang Melayu pula mendidik anak muda bangsanya sendiri untuk berperilaku dengan budaya politik samseng jalanan yang sangat menjijikkan.

Teras berpendirian jika pemimpin-pemimpin Melayu yang bersekongkol dengan budaya politik samseng ini tidak memperbetulkan pengikutnya dengan perangai yang melambangkan budaya Melayu, maka tidak ada masa depan lagi untuk bangsa Melayu dihormati.

Kini seluruh tenaga nampaknya terpaksa berhadapan dengan cabaran politik gangster ala mafia yang diperlihatkan kepada dunia.

Pihak pimpinan kerajaan dengan mudah berselindung di sebalik NGO asobiyyah fanatik bila berlaku provokasi untuk bertindak ke atas pihak pembangkang.

Akibat ketandusan ide untuk berhujah dengan matang dan dewasa, pimpinan kerajaan memilih untuk mencari jalan pintas mewujudkan ketegangan awam dan dengan itu boleh beralasan untuk merempuh seluruh hak politik dan hak asasi manusia di kalangan rakyat yang menuntut perubahan.

Penulis ialah Presiden Teras.

Gadis 16 tahun jadi datuk bandar dua bulan

15 Syawal 1433H. [MOD] -

BASHAER menggunakan cop datuk bandar di atas dokumen di pejabatnya di Allar, Tebing Barat pada 25 Ogos lalu.

ALLAR - Seorang gadis berusia 16 tahun, Bashaer Othman (gambar kecil) kembali semula ke sekolah selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar selama dua bulan di sebuah bandar kecil di Tebing Barat, Palestin.

Beliau menjadi Datuk Bandar Allar yang mempunyai 8,000 penduduk.

Beliau menjadi datuk bandar pada 2 Julai lalu semasa usianya 15 tahun.

Bashaer menjadi datuk bandar menerusi program projek parlimen muda yang dikendalikan Forum Pemuda Sharek.

Tujuan program itu diperkenalkan adalah untuk melibatkan golongan muda dalam pentadbiran tempatan Palestin.

"Saya datang ke pejabat pada setiap pukul 8 pagi dan meneliti banyak fail, menandatangani dokumen selain bertemu dengan anggota-anggota majlis perbandaran.

"Saya juga melakukan banyak lawatan untuk menyelesaikan masalah dengan segera," katanya.

Menurutnya, dia berasa takut memegang tanggungjawab yang terlalu banyak namun menganggapnya sebagai satu cabaran.

Selepas enam jam bekerja, Bashaer pulang ke rumah dan melakukan rutin harian sebagai seorang gadis termasuk bermain permainan komputer.

Terdapat 11 anggota majlis perbandaran, enam daripadanya dari parti Fatah, lima lagi mewakili pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza.

Menurut Bashaer, semua anggota majlis tersebut memberikan sokongan kepadanya.

Gadis itu diberikan kuasa penuh sebagai datuk bandar.

Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan utnuk menandatangani kelulusan kewangan setakat AS$75 (RM52.92).

Menurutnya, dia berharap akan menjadi datuk bandar sekali lagi. - AFP

100 motor, basikal konvoi Xpresi Hijau di Miri

15 Syawal 1433H. [MOD] -

MIRI: Konvoi Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya anjuran DewanPemuda PAS Malaysia semalam, berjaya menjejak kaki di Bumi Kenyalang semalam.

Konvoi yang disertai lebih 100 buah motosikal dan basikal itu bermula di bandar Miri menuju ke tapak Himpunan Hijau Tanjung Lubang dengan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Menurut Nasrudin, sambutan konvoi oleh rakyat negeri itu memberikan satu harapan baru bahawa perubahan akan berlaku pada pilihanraya umum ke 13 akan datang.

“Xpresi Hijau Anak Muda Sabah dan Sarawak menunjukkan satu signal kebangkitan menggerak perubahn menjelang PRU 13,” katanya.

Berikut antara gambar-gambar menarik di konvoi tersebut.

HARAKAHDAILY/-