05 November 2012

Ukiran unik di Lapangan Terbang Wellington

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 

WELLINGTON - Satu ukiran unik yang menunjukkan Gollum iaitu watak fiksyen dalam filem The Lord of the Rings dipamerkan di Lapangan Terbang Wellington di sini sejak 31 Oktober lalu. 

Ukiran sepanjang 13 meter itu dihasilkan oleh artis seni Jepun, Masayuki Ohashi dengan menggunakan polistirena, gergaji rantai dan teknologi robot.

Gollum merupakan watak yang diperkenalkan dalam novel fantasi The Hobbit karya J.R.R. Tolkien.
Filem Lord of the Rings diarahkan oleh pengarah filem dari New Zealand, Peter Jackson.

Tujuan ukiran itu dipamerkan adalah bagi meraikan tayangan perdana filem The Hobbit: An Unexpected Journey arahan Jackson pada 28 November depan. - Agensi

Janji Pakatan: Turun harga minyak dan kereta, mansuh PTPTN, pendidikan percuma

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -




 
dikemaskini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan membenarkan penderitaan dan kezaliman mencengkam rakyat jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya selepas pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir.

"Saya berbicara dengan hati dan keyakinan, jika kita buat sesuatu dengan tidak mempertahankan kezaliman... Kita pergi ke Putrajaya, (kita) jangan izin rakyat menderita dan dizalimi.

"... kita akan turunkan harga minyak, harga kereta, beri pendidikan percuma dan kaji AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik).

NONE"(Indeks) rasuah meningkat, barang naik... itu racun daripada BN," kata Anwar yang juga ketua umum PKR di hadapan kira-kira 30,000 hadirin di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya malam tadi.

Ia merupakan kesimpulan isi ceramahnya yang mengulas isu-isu semasa antaranya kenaikan harga minyak dan risiko pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dianggapnnya membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.

Sekaligus, beliau yang juga ketua pembangkang turut mengulangi jaminan dan janji Pakatan mengenai pemberian pendidikan percuma dengan membatalkan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga kereta.

"Jika kita menang, Insya-Allah kita juga akan tingkatkan mutu pendidikan negara... Kita tidak akan terlibat dengan diskriminasi... Tak payah main isu bangsa. Kita akan lawan, insya-Allah kita akan menang," katanya sewaktu mengulas isu PTPTN.

Selain itu, Anwar membidas pengamalan rasuah tetapi didakwanya didiamkan oleh pihak berkuasa dan keresahan anak muda yang tidak pekerjaan sedangkan ada individu yang didakwanya mengautkan keuntungan berbilion ringgit selepas membeli syarikat arak.

Turut hadir dalam himpunan tersebut barisan kepimpinan Pakatan Rakyat antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan kepimpinan Pakatan semua peringkat.

NONESebelum itu, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang dalam ucapannya menempelak pemimpin dalam kerajaan yang menurutnya menganggap diri mereka "maha suci" daripada kekurangan.

"Tidak ada silap... Harta negara (jadi macam) harta pemimpin. Ini bukan satu amanah. Ini bukan ajaran Islam... Kekayaan negara berpusing-pusing di antara pemimpin dan 'Qarun' yang bersangkutan dengan pemimpin," kata beliau bagi menghuraikan sepotong ayat al-Quran yang dibacanya sebelum itu.

Sambil menyatakan haram menyokong kerajaan yang zalim, Abdul Hadi menegaskan rakyat boleh menghukum kerajaan itu dengan menggunakan platform demokrasi, bahkan Pakatan melaksanakannya dengan menghantar wakil rakyat di Parlimen untuk menghantar mesej tersebut.

"(Tetapi) BN tidak bersedia untuk untuk membuat perubahan. Kita wajib ubah kerajaan. Tukar pemimpin (berlaku) di negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

"Parti buat silap, rakyat hukum... Tapi ia tidak jadi di Malaysia. Mahu jadi kerajaan selama-lamanya. Kesalahan ditutup dengan akta OSA, ISA untuk menyekat kebebasan rakyat," katanya.

Sementara itu, Lim Kit Siang pula menolak dakwaan bahawa DAP akan menghapuskan kuasa Raja-raja, menjadikan negara ini sebagai negara Kristian dan menghapuskan hak orang Melayu jika menang dalam pilihan raya umum ke-13.

NONE"Itu semua bohong, dusta dan fitnah... Pakatan Rakyat, kita ada mesej yang sama tidak seperti BN. Kita mahu selamatkan demokrasi, selamatkan Malaysia dan kembalikan keadilan, kebebasan dan hak asasi dimajukan," katanya.

Ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan itu kemudiannya melancarkan satu gimik sebagai tanda pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat, yang diiringi dengan tembakan bunga api berwarna-warni.
 
 
malaysiakini/-

Melaka paling kuat Umno BN, bukan Johor

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT: Kajian yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mendapati Johor bukannya negeri yang paling kuat Umno dan BN kerana kubu paling kuat Umno adalah Melaka.

Pengarah Operasi PPP, Dr Zuhdi Masduki (gambar) berkata, sekurang-kurangnya 14 daripada 26 kawasan Parlimen di Johor berada di bawah 50 peratus sokongan tradisi rakyat kepada Umno dan BN.

Ini bermakna, pembangkang mempunyai peluang yang besar untuk mengalahkan BN di negeri ini.

Kawasan-kawasan itu adalah Segamat,  Labis, Ledang, Bakri, Muar,  Batu Pahat,  Kluang, Gelang Patah, Tebrau, Pasir Gudang, Tebrau, Johor Baru, Pulai dan Kulai.

Menurut Zuhdi, lima kriteria diambil kira ketika menentukan Umno dan BN mendapat sokongan rakyat atau tidak di negara ini iaitu keahlian Umno, keahlian Rela, petugas Kemas, ahli Pertubuhan Peladang dan ahli persatuan belia yang terletak di bawah pejabat belia daerah.

"Mereka yang berdaftar dalam organisasi ini dikira pro Umno dan BN yang dijangka berpotensi tinggi akan mengundi Umno dan BN dalam setiap kali pilihan raya," kata Zuhdi dalam Konvensyen PAS Johor semalam.

Kira-kira 750 peserta yang terdiri dari pemimpin PAS kawasan di Jojor menyertai konvensyen yang bertema 'Pecutan terakhir  menuju Nusajaya' ini.

Konvensyen ini dikira persiapan terakhir PAS Johor untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pelbagai kertas kerja dibentangkan dalam konvensyen ini yang semuanya membayangkan Pakatan Rakyat mampu menjatuhkan Umno dalam pilihan raya ini.

harakah/-

Salahudin sedia tanding di Pagoh lawan Muhyiddin

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Selepas Presiden PAS membuat kejutan menyatakan kesediaan bertanding di Pekan iaitu parlimen Datuk Seri Najib Razak, kini Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyatakan kesediaan bertemu Muhyiddin di Pagoh.

Menurut Salahudin, jika parti memutuskan beliau bertanding di Parlimen Pagoh, iaitu kawasan Timbalan Perdana Menteri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, maka beliau bersedia.

Salahuddin berkata, beliau senada dengan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan bertanding Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Dalam nada yang sama, saya pun bersama dengan Presiden meletakkan keputusan parti di hadapan, dan kita sentiasa patuh dengan arahan parti walaupun mungkin tempat-tempat yang mungkin ditandingi itu akan hadapi risiko yang tinggi," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sebelum ini sudah diputuskan untuk bertanding di Johor, namun belum dipastikan kerusi Parlimen atau Dun.

Kata Salahuddin lagi, beliau juga sudah membuat kenyataan di hadapan PAS Johor bahawa beliau bersedia jika diarahkan bertanding melawan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

"Semalam pun saya buat kenyataan di jJhor, saya juga bersedia menerima arahan parti sekiranya saya diarahkan untuk bertanding melawan Menteri Besar Johor. Sebagai orang Johor, saya akur," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat parti yang terdekat.

"Mungkin dalam mesyuarat akan datang saya tidak menolak kemungkinan perkara ini akan dibincangkan dengan lebih serius mengenai kerusi-kerusi ini," katanya.

Minggu lalu, Ustaz Hadi berkata, beliau akan mengikut keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.
 
harakahdaily/-

Gelombang perubahan sangat kuat di Kota Belud

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

(Gambar: Mustaqim (tengah) bersama SU PAS kawasan Martubis Jumdot (kiri) serta SU Dewan Pemuda PAS kawasan Abu Ubaidah)

KOTA BELUD: Gelombang perubahan yang melanda seluruh Sabah sejak akhir-akhir ini sangat kuat dirasai di kawasan Parlimen P.169 Kota Belud di sini.

Biarpun ia dikatakan 'kubu kuat' BN sejak sekian lama, sehingga tidak pernah dalam sejarah politik Sabah, ada parti yang bukan kerajaan pernah menang di sini, namun kali ini ianya dilihat berbeza.

Kesedaran masyarakatnya yang timbul akibat dihimpit pelbagai masalah khususnya infrastruktur dan ekonomi menyebabkan rata-rata mereka kini berani bercakap tentang perubahan politik.

Yang DiPertua PAS Kota Belud, Mustaqim Aling berkata, pihaknya kini dapat melihat satu perubahan luar biasa masyarakat di situ yang cukup berbeza dari tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, slogan 'ini kalilah' bagai meniti dibibir masyarakat dan dapat didengar dalam perbualan harian mereka di sini.

"Ini kalilah itu mulanya di Kota Belud, malah sekarang sudah jadi gelombang yang sangat luar baiasa di sini. Kalau kita di mana-mana sahaja boleh dengar.

"Dulu gelombang Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah melanda sini, tapi sekarang saya rasa gelombang ini kali lah lebih besar dari PBS dahulu," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pusat Khidmat Masyarakat PAS di sini.


(Gambar: Mustaqim menunjukkan kawasan jelapang padi yang didakwa terbengkalai dan tidak mengeluarkan hasil seperti setatutnya)

Daerah Kota Belud terletak di pantai barat utara negeri Sabah, 70 kilometer dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, iaitu kira-kira sejam perjalanan menggunakan kereta.

Kota Belud juga adalah kawasan campuran antara Kadazan Dusun Murut (KDM), Bajau dan sedikit kaum Cina dan boleh dikatakan ianya kawasan bermajoriti Islam.

Pada PRU12 2008 yang lalu, calon BN Datuk Abdul Rahman Dahlan mengekalkan kerusi Kota Belud dengan kelebihan 3,020 undi mengalahkan calon PKR Saidi Simoi.

Ianya juga menyaksikan sebanyak 1,046 kertas undi ditolak pada waktu itu.

Desas-desus mengatakan pergaduhan pemimpin tempatan kerana tidak dipilih menjadi calon sangat kuat waktu itu sehinga wujud undi protes yang menyebabkan kemerosotan undi kepada BN.

Pergaduhan antara pemimpin mereka juga dikatakan masih berlaku sehingga memaksa pemimpin pusat termasuk Naib Presiden Umno Datuk Safie Apdal terpaksa turun beberapa kali.

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pula, terdapat tiga Dun di bawahnya iaitu Usukan, Kadamian dan Tempasuk.

PAS pula dijangka meletakkan calonnya di Tempasuk pada pilihan raya akan datang.

Pada PRU 2008, BN menang di Tempasuk dengan majoriti 2,432 mengalahkan calon PKR dan bebas ketika itu.

Mengulas lanjut, Mustaqim berkata, penerimaan orang ramai terhadap PAS dan Pakatan Rakyat juga sangat berbeza berbanding sebelumnya.

PAS tidak lagi dilihat sebuah parti yang perlu ditakuti oleh mereka khususnya yang bukan beragama Islam.

"Pusat khidmat masyarakat PAS ini sendiri menjadi tempat rujukan masyarakat di sini termasuk bukan Islam untuk membuat aduan mereka.

"Malah sejak akhir-akhir ini pejabat ini menjadi makin sibuk dengan kehadiran ramai mereka yang turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang kita jalankan di sini," katanya.


(Gambar: Batang paip sepatutnya digunakan bagi membina saluran air ke kawasan sawah, tetapi terbengkalai di sini sejak 2005)

Antara isu besar di Kota Belud yang menjadi rungutan masyarakat setempat termasuklah keadaan jalan yang uzur yang sekaligus menghadkan pergerakan mereka.

Jalan raya disini difahamkan dibina sejak zaman PBS lagi dan tidak dibaiki secara menyeluruh oleh kerajaan BN.

Bairpun dijanjikan 'dalam perancangan' untuk dinaiktaraf oleh kerajaan BN, namun rakyat dilihat sudah tidak tahan lagi dengan alasan politik pilihan raya itu.

Masalah lain yang tidak kurang juga besarnya adalah masalah bekalan air bersih kepada penduduk.

Difahamkan walaupun batang paip air sudah ditanam sejak lama, namun ianya tidak mengeluarkan air.

Ini menyebabkan sebahagian masyarakat di sini mencari alternatif dengan mengeluarkan modal sendiri membeli enjin mengepam air dari bawah tanah.

Namun ianya juga tidak me mana kerana kualiti air yang dipam itu didakwa sangat teruk dan berbau busuk.

Selain itu, penduduk juga didakwa mengeluh dengan masalah yang melanda Program Jelapang Padi dan Agropolitan yang terbengkalai sehingga menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.

harakahdaily/-

Anwar dakwa cubaan tipu senarai daftar pemilih

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Anwar Ibrahim
Anwar dikawal ketat ketika hadir program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, malam kelmarin.
 
SEREMBAN –  Ketua Umum Paka-tan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat cubaan menipu dalam maklumat daftar pemilih apabila bagi suku keempat 2011 menunjukkan peningkatan kira-kira 1 juta pengundi dalam masa setahun.

“Jumlah yang dibekalkan seramai 12.4 juta untuk Mac. Tetapi yang diaudit dan diserahkan kepada kita adalah sebanyak 11.5 juta. Ini bermakna dalam masa setahun, jumlah daftar pemilih meningkat sebanyak 1 juta.

“Kemudian, SPR bagi penjelasan kononnya mereka tersilap membuat kiraan di negeri Sabah dan Sarawak. Hal ini sudah nampak ketirisan maklumat dalam SPR,” katanya berucap di hadapan 30,000 penyokong pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, terdapat juga maklumat daftar pemilih yang meragui sehingga ada maklumat pemilih yang tidak masuk akal.

“Sebagai contoh, pemilih bernama Nurkhanida dari Parlimen Serdang yang lahir pada 26 Oktober 1982 dan memohon menjadi pengundi pada 26 Oktober 1982.

“Begitu juga daftar pemilih bernama Naquib dari Parlimen Temerloh  yang lahir pada 18 Ogos 1979, tetapi menjadi daftar pemilih pada 16 Mei 1991 iaitu masih berumur 12 tahun.

Bagaimanapun, Anwar berkata, usaha dan percubaan menipu tersebut masih belum mendapat penjelasan dan jawapan rasmi daripada SPR.

sinar/-

Nurul Izzah: Saya sama sekali tidak terima murtad

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



 
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menafikan bahawa kenyataan beliau yang dibuat Sabtu lalu dalam satu forum awam menggalakkan umat Islam murtad.

"Saya sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad," tegasnya yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

"Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya kesal kerana ada usaha kalangan yang cuba memutarbelitkan kenyataan saya, seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad," tegasnya lagi.

Anak sulung ketua umum PKR itu merujuk kenyataannya sebagai panelis dalam forum tersebut yang bertajuk "Islamic State: Which version? Whose responsibility?"

Beliau dilapor berkata tiada seorang pun boleh dipaksa untuk menerima ajaran agama tertentu dan perkara itu juga terpakai untuk orang Melayu.

Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk 'Melayu bebas pilih agama?" dengan memetik laporan Malaysiakini berhubung kenyataan Nurul itu.

malaysiakini/-

12 cedera bom meletup dekat hotel di Damsyik

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



DAMSYIK, Syria - Sebuah bom kereta meletup berhampiran hotel Dama Rose yang terletak di pusat bandar Damsyik semalam menyebabkan beberapa orang cedera, lapor sebuah stesen televisyen propemerintah.

Letupan kuat itu menggegarkan hotel itu dan menyebabkan kebanyakan tingkap hotel pecah, lapor stesen televisyen Ikhbariyeh TV.

Hotel itu pernah digunakan oleh pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika melawat Syria.
Menurut laporan televisyen itu, bom berkenaan diletakkan di bawah sebuah kereta dekat bangunan kesatuan sekerja.

Seorang ketua kesatuan sekerja, Mohammad Azouz memberitahu agensi berita The Associated Press, sekurang-kurangnya 12 orang cedera akibat terkena serpihan kaca dan dua daripada mereka parah.
Pertempuran antara kumpulan penentang dengan tentera Syria bermula sejak Mac tahun lalu yang mengakibatkan lebih 30,000 orang terbunuh.

Para penentang itu mahu Presiden Syria, Bashar Al-Assad digulingkan kerana gagal untuk membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara. - Agensi

Nenek tiga cucu antara 70 calon matang duduki SPM di Kedah

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Hasanah (kanan) menjawab soalan pada peperiksaan SPM di SMK Guar Chempedak. FOTO Lim Poh Chin
Hasanah (kanan) menjawab soalan pada peperiksaan SPM di SMK Guar Chempedak. FOTO Lim Poh Chin 
 
YAN: Seorang nenek yang mempunyai tiga cucu merupakan antara 70 calon 'matang' yang mengambil peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Chempedak dekat sini, hari ini.

Kesemua calon matang itu adalah guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berusia antara 30-an hingga 55 tahun.

Hasanah Abdullah, 55, guru Kafa di Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Sungai Petani berkata beliau gembira kerana berjaya mencapai impiannya untuk mengambil peperiksaan itu sejak 38 tahun lepas.

Katanya kematian ibu ketika berusia 15 tahun dan masalah kewangan menyebabkan impiannya untuk mengambil peperiksaan itu seperti rakan sebayanya yang lain ketika berumur 17 tahun terkubur.

"Selepas ibu meninggal, saya mengambil tugas ibu menjaga adik-adik yang ketika itu masih kecil. Setiap tahun saya akan menangis dan meminta izin daripada bapa agar membenarkan saya bersekolah semula kerana mahu menduduki SPM," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Hasanah yang tinggal di Sungai Layar, Sungai Petani dan mempunyai enam anak, mengambil mata pelajaran teras dengan tambahan Bahasa Arab.

Hasanah yang belajar di sekolah swasta, Sekolah Menengah Langkasuka, Guar Chempedak berkata beliau mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk mengejar cita-cita masuk ke universiti.

Walaupun terpaksa menduduki SPM pada usia yang lewat namun ia bukan penghalang demi menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan prestasi akademik, katanya.

Bagi Mahmud Sri Wijaya Othman, 48, guru Kafa di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Dawai, Sungai Petani pula, beliau tidak berasa kekok untuk berada di dewan peperiksaan demi menimba ilmu.

Bapa kepada lima orang anak itu menjadikan anak sulungnya, Al-Kausar, 18, sebagai pendorong untuknya berjaya dalam SPM.

"Dahulu saya hanya bersekolah sehingga darjah enam sahaja, kemudian sambung ke sekolah Arab dan tidak pernah mengambil peperiksaan SPM. Saya bersyukur kerana anak saya sering membantu terutama dalam mengulang kaji pelajaran dan keluarga menjadi pembakar semangat untuk saya cemerlang dalam SPM," katanya.

Pemangku Pengetua SM Langkasuka, KS Maniam berkata pada tahun ini seramai 147 pelajar sekolah itu termasuk 70 guru Kafa dan enam jururawat menduduki peperiksaan SPM manakala bakinya calon mengulang semula SPM.

Beliau berkata calon yang terlibat tidak hanya membabitkan daerah Yan malah mereka dari serata daerah di negeri ini termasuk Sik, Pendang dan Kuala Muda. - Bernama

10 individu ditipu syarikat jualan langsung

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

10 individu ditipu syarikat jualan langsung
Kulasegaran (tiga, kanan) bersama pelabur sebuah syarikat jualan langsung produk kesihatan berasaskan air laut dalam di perkarangan IPD Ipoh, semalam.
 
IPOH - Sekumpulan 10 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat jualan langsung di sini, apabila pelaburan yang dibuat tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan.

Difahamkan, ratusan pelabur sudah melaburkan wang membabitkan kerugian hampir mencecah RM2 juta kepada syarikat yang didakwa menjalankan penjualan produk kesihatan berasaskan air laut dalam (deep sea water).

Mangsa, S Kesavan, 23, berkata, dia terpengaruh dengan ejen syarikat tersebut yang menjanjikan pulangan mewah jika membuat pelaburan ke atas produk kesihatan tersebut.

Menurutnya, selepas berfikir panjang, akhirnya dia mengambil keputusan untuk membayar RM32,850 kepada ejen terbabit.

“Ejen terbabit turut berjanji akan memulangkan semula wang kami dalam tempoh enam bulan seperti yang ditetapkan dalam perjanjian jika produk yang dipesan tidak diterima mengikut tempoh ditetapkan.

“Walaupun kami sudah membuat tuntutan bertulis ke atas syarikat itu supaya memulangkan semula wang kami, namun hingga kini tiada jawapan malah ejen yang berurusan juga lesap,” katanya ketika ditemui semalam.

Kesavan berkata, pihak syarikat juga tidak mengeluarkan invois mengikut nama sebenar tetapi hanya menggunakan singkatan.

“Akibatnya ramai pelabur mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana terpedaya dengan janji manis ejen terbabit,” katanya.

Berikutan itu, 10 individu terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, peguam mereka, M Kulasegaran berkata, pihaknya akan membantu dari segi khidmat guaman dan cuba mendapatkan semula wang yang ditipu oleh syarikat berkenaan.

Katanya, kebanyakan pelabur terdiri daripada golongan bawahan dan pertengahan yang sanggup melaburkan wang untuk mendapat keuntungan yang dijanjikan.

“Mereka yang membuat pelaburan sanggup gadai tanah, rumah, barang kemas, membuat pinjaman wang semata-mata untuk mendapat modal.

“Oleh itu, saya menasihati orang ramai supaya menyelidik terlebih dahulu latar belakang syarikat yang menawarkan skim pelaburan,” katanya.

Kulasegaran turut menasihatkan orang ramai supaya memilih institusi kewangan yang diiktiraf  oleh Bank Negara Malaysia (BNM) jika mereka benar-benar ingin membuat pelaburan secara sah.

sinar/-

Warga emas dibunuh ketika jenayah dikata menurun

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyampaikan takziah kepada keluarga arwah mangsa dan mengecam sekeras-kerasnya kejadian jenayah di Sungai Besar semalam.

Katanya, rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan berita jenayah zalim apabila seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) telah meninggal dunia akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal oleh dua orang perompak di rumah kedainya di Sungai Besar, Sabak Bernam pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, dan bekerja sebagai tukang jahit dan pembuat kuih.

Yang lebih menyayat hati, kejadian itu disaksikan oleh cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok.

Menurut keterangan cucunya, dua lelaki memakai sarung muka dan bersarung tangan serta bersenjatakan dua bilah parang telah memecah masuk melalui pintu belakang. Cucunya tidak melawan dan mendiamkan diri tetapi mangsa telah menjerit meminta tolong menyebabkan suspek menumbuk dahinya dan bertindak menekup muka mangsa dengan bantal sehingga lemas.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, bagi cucu dan keluarga arwah Sabariah, statistik yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membuktikan pengurangan jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah tidak mampu menenangkan hati.

“Dalam pada itu, kita juga menyeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar melakukan sesuatu untuk menangani dan mencegah jenayah-jenayah yang makin hari makin menjejaskan semua lapisan masyarakat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, walaupun kadar jenayah dikatakan telah menurun, pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan seorang warga emas di rumahnya sendiri ini adalah bukti bahawa jenayah seperti ini bukan sahaja melibatkan golongan atasan tetapi golongan bawahan juga.

Beliau menambah, jika rakyat miskin pun tidak dikecualikan daripada jenayah rompak dan bunuh, maka seluruh rakyat Malaysia juga boleh menjadi mangsa.

Justeru, ujarnya DAP berharap bahawa pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan dan tidak hanya mengambil tindakan apabila seorang yang kaya dan ternama yang menjadi mangsa.

harakahdaily/-

‘Kau nyanyi Anak Kampung’

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

MALU...rakaman video yang menunjukkan mangsa diherdik pegawai atasan.
MALU...rakaman video yang menunjukkan mangsa diherdik pegawai atasan. 
 
JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan mendakwa dibuli ala budak sekolah oleh dua pegawai atasannya apabila diarah berdiri di atas kerusi, sebelum diminta menyanyikan lagu Negaraku dan Anak Kampung, kerana kesalahan tidur ketika bertugas.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah hospital awam, di sini pada 23 Oktober lalu dan aksi buli itu dirakam menerusi telefon bimbit seorang daripada dua pegawai terbabit. Rakaman itu disebarkan menerusi Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) kepada pengawal keselamatan syarikat yang sama kononnya sebagai pengajaran supaya mereka lebih berdisiplin.

“Apa yang mereka lakukan mengaibkan saya. Saya boleh terima teguran, tetapi mengapa mereka bertindak melampau dan merakam perbuatan itu sebelum berkongsi video berkenaan dengan orang lain.

“Saya malu. Maruah saya tercalar kerana apa yang dilakukan seolah-olah saya pelajar sekolah,” kata pengawal keselamatan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jalil, 29.

Menurutnya, kejadian itu bermula apabila seorang daripada rakan sekerjanya melihat dia merenyuk surat tunjuk sebab yang diberikan ketua mereka, pada pagi hari kejadian.

“Kira-kira jam 4.30 petang saya diarahkan masuk ke pejabat dan berjumpa dua pegawai itu. Saya ingatkan hanya diberi amaran dan tidak menjangka dibuli mereka yang turut memaki saya.

“Malah, mereka turut merakam aksi menerusi telefon bimbit sebelum menyebarkannya,” katanya.

Menurutnya, pada awal pertemuan itu, kedua-dua lelaki itu memaki dan mengherdik sebelum mengajaknya bergaduh kerana tak berpuas hati tindakan dia merenyuk surat yang menyatakan dia mengingkari arahan. “Saya hanya mendiamkan diri kerana takut dan pada masa sama, mereka menyatakan saya dihukum kerana terlena ketika bertugas.

“Sebelum ini, saya pernah bertugas lebih empat tahun di sebuah jabatan kerajaan di Pahang, sebelum dipindahkan ke sini, tidak pernah mempunyai masalah disiplin atau dihukum sedemikian di tempat kerja lama,” katanya.

Jalil berkata, selain diarah berdiri di atas kerusi selama 10 minit dia juga disuruh menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat.

Katanya, walaupun ada pihak beranggapan hukuman luar biasa dijatuhkan kepadanya itu bertujuan mendisiplinkannya, dia kesal apabila apabila kejadian itu dirakam dan video disebarkan.

Berikutan itu, Jalil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, semalam.

Rakannya, yang hanya mahu dikenali sebagai Malek, 34, berkata, dia sedih dan terkilan apabila melihat rakaman video selama 16 minit itu.

Menurutnya, Jalil yang masih bujang baru bertukar ke sini dari Kuantan, Pahang dan orangnya agak ‘lurus’.

“Saya difahamkan perbuatan itu bukan kali pertama. Sebelum ini, ada antara kami dihukum tekan tubi 20 kali disebabkan tertidur ketika bekerja atau berpakaian tidak kemas.

“Jika tak berpuas hati dengan prestasi kerjanya, pegawai berkenaan sepatutnya memberikan surat amaran atau memberi nasihat kepadanya,” katanya.

metro/-

Gangguan bekalan air di Seremban, Jempol, Tampin, Gemencheh dan Rembau esok

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 
SEREMBAN - Beberapa kawasan di Seremban, Jempol, Tampin, Gemencheh dan Rembau akan mengalami gangguan bekalan air esok berikutan kerja pengalihan paip dan penyelenggaraan loji rawatan air.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) Azlan Abdul Aziz berkata gangguan bekalan air itu akan bermula pukul 9 pagi hingga 9 pagi keesokannya (7 Nov) di Seremban melibatkan seluruh bandar Seremban, Temiang, Templer, Lobak, Jalan Rasah, Mambau, Batu-5 Jalan Kuala Sawah, Jalan Sa'ba, Jalan Rahang dan Jalan Labu Lama.

"Di Jempol, gangguan bekalan air bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam melibatkan Felda Sungai Lui dan Felda Lui Barat, manakala gangguan bekalan air mulai pukul 8 pagi hingga 8 malam di Tampin pula melibatkan Kampung Keru, Taman Repah, Kampung Repah, Kampung Seri Repah, kawasan industri Repah dan Taman Gunung Mas.

"Turut terlibat ialah kawasan industri Gunung Mas, Taman Woon, Taman Bahagia, Taman Tampin, Kampung Baru, Kampung Tampin Tengah, Hospital Baru Tampin, Kampung Dusun, Taman Tampin Jaya, Rumah Rakyat Repah, Kampung Kolam Air, Taman Bukit Tampin, Taman Sri Berlian dan Taman Rasa Sayang," katanya di sini, hari ini.

Azlan berkata di Gemencheh gangguan bekalan air pada waktu yang sama (8 pagi-8 malam)  melibatkan Taman Orkid, Taman Gembira, Taman Gemencheh Baru, Ladang Regent, Taman Regent, Taman Muhibbah, kawasan Batang Melaka dan Kampung Punggor.
    
Sementara itu, gangguan bekalan air di Rembau pada waktu yang sama (8 pagi-8 malam) melibatkan seluruh kawasan Kendong, Kota, Gadong, Legung Ulu, Legung  Hilir, Bongek, Chengkau, Nerasau, Penajis, Miku, Selemak, Astana Raja, Semerbok, Kampung Durian Daun, Kampung Pulau Besar, Kampung Pulau Bukit, Kampung Pulau Mampat, Kampung Fajar Harapan, Kampung Batang Nyamor, Kampung Chenong Ulu dan Kampung Lada.

Selain itu, gangguan juga berlaku di Mukim Tanjung Kerling, Batu Hampar, Taman Seri Rembau, Kampung Chuai, Pekan Rembau, Sena Ulu dan Hilir, Kampung Rendah Kayu Ara, Senama, Desa Permai Mampong, Kampung Mampong, Petronas Rembau, Shell Rembau, Pejabat Daerah Rembau, Majlis Daerah Rembau, Kampung Mulia, Kampung Seberang Sawah, Kampung Perigi Jernih dan Kampung Tebing Tinggi.  

Azlan berkata bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat terutama di beberapa kawasan tinggi yang pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa.

Beliau meminta pengguna yang memerlukan perkhidmatan pada hari berkenaan supaya menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982.- Bernama

Lagi ketua polis Afghanistan dibom

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Lagi ketua polis Afghanistan dibom
Serangan berlaku berhampiran pos kawalan polis daerah Danad
 
KABUL - Serangan bom jalanan di selatan Afghanistan mengorbankan seorang ketua polis daerah, susulan tindakan menambah bilangan sasaran pemberontak terhadap pasukan keselamatan negara yang kini sedang mengurangkan bilangan tentera asing.

Pegawai Tadbir Dand, wilayah Kandahar, Ahmadulah Nazik berkata, Rahmatullah Khan terkorban semasa cuba menghampiri pos kawalan polis yang dilaporkan telah ditawan Taliban, kelmarin.

Dalam kenyataan dikeluarkan dalam talian, Gabenor Tooryalai Wesa menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengutuk serangan yang dianggap sebagai musuh keamanan.

Sementara itu, tiada mana-mana kumpulan yang tampil bertanggungjawab terhadap serangan yang turut membunuh enam anggota pemberontak. Daerah Dand merupakan kampung halaman Presiden Hamid Karzai.

Serangan berdarah itu berlaku sehari selepas empat anggota polis ditembak mati oleh rakannya di selatan Helmand.

Jurucakap Taliban, Qari Jusuf Ahmedi berkata, pembunuh itu telah berpaling tadah dan menyertai kumpulan bersenjata. - Al-Jazeera

Pemandu teksi mati dikelar

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Pemandu teksi mati dikelar
 
Polis forensik sedang mengumpulkan bukti untuk menjalankan siasatan. - Foto Ihsan Sin Chew Daily
KUALA LUMPUR -  Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam keadaan lehernya dikelar di tempat duduk pemandu kenderaannya di Jalan Tun H.S Lee, awal pagi kelmarin.

Kejadian disedari orang awam kira-kira jam 12.44 pagi selepas mendapati kenderaan tersebut dalam keadaan berasap.

Mayat lelaki berusia 26 tahun ditemui dengan keadaan mulutnya disumbat dengan kain dan kesan terbakar di tangan kiri mangsa dipercayai berpunca daripada baju mangsa dibakar penjenayah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar di leher, tikaman di  dada dan belakang mangsa.

“Pemeriksaan awal tidak menemui senjata digunakan penjenayah dan semua pengenalan diri, dompet dan telefon bimbit tiada bersama mangsa.

“Siasatan mendapati teksi didaftarkan di sebuah syarikat di Ampang,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan tempat kejadian untuk mengesan suspek.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurutnya, motif kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

sinar/-