05 November 2012

Warga emas dibunuh ketika jenayah dikata menurun

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyampaikan takziah kepada keluarga arwah mangsa dan mengecam sekeras-kerasnya kejadian jenayah di Sungai Besar semalam.

Katanya, rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan berita jenayah zalim apabila seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) telah meninggal dunia akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal oleh dua orang perompak di rumah kedainya di Sungai Besar, Sabak Bernam pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, dan bekerja sebagai tukang jahit dan pembuat kuih.

Yang lebih menyayat hati, kejadian itu disaksikan oleh cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok.

Menurut keterangan cucunya, dua lelaki memakai sarung muka dan bersarung tangan serta bersenjatakan dua bilah parang telah memecah masuk melalui pintu belakang. Cucunya tidak melawan dan mendiamkan diri tetapi mangsa telah menjerit meminta tolong menyebabkan suspek menumbuk dahinya dan bertindak menekup muka mangsa dengan bantal sehingga lemas.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, bagi cucu dan keluarga arwah Sabariah, statistik yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membuktikan pengurangan jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah tidak mampu menenangkan hati.

“Dalam pada itu, kita juga menyeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar melakukan sesuatu untuk menangani dan mencegah jenayah-jenayah yang makin hari makin menjejaskan semua lapisan masyarakat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, walaupun kadar jenayah dikatakan telah menurun, pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan seorang warga emas di rumahnya sendiri ini adalah bukti bahawa jenayah seperti ini bukan sahaja melibatkan golongan atasan tetapi golongan bawahan juga.

Beliau menambah, jika rakyat miskin pun tidak dikecualikan daripada jenayah rompak dan bunuh, maka seluruh rakyat Malaysia juga boleh menjadi mangsa.

Justeru, ujarnya DAP berharap bahawa pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan dan tidak hanya mengambil tindakan apabila seorang yang kaya dan ternama yang menjadi mangsa.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: