20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:
Selepas menyinggung perasaan umat Islam dan dimalukan teruk apabila
penulis blog seks berkata rakan karib mereka adalah idolanya, Umno cuba
menyelamatkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dengan membiarkan
Mingguan Malaysia meletakkan penjelasan Chua di muka depan semalam.
“Tapi sudah terlambat. Laporan itu back-fire lagi, Chua kini dilihat
dari menghina Islam kepada menghina kebijaksaan umat Islam terutamanya
pengundi Umno dengan penjelasannya,” kata sumber dalaman Umno kepada
Harakahdaily.
“Apakah perlu lepas 2 minggu lamanya baru beri penjelasan? Sudah
tentu tidak. Penjelasan Chua sepatutnya datang lebih awal. Tapi kerana
penulis blog seks berkata Chua adalah idolanya, maka penjelasan itu
terpaksa ditangguhkan. Kalau keluar masa yang sama, keadaan akan menjadi
sangat kelakar dan kekok pada Umno,” tambahnya lagi.
Sumber itu memberitahu kerana Umno tidak dapat menceraikan MCA, dan
tidak boleh melakukan apa-apa untuk memaksa Chua turun takhta, maka
jalan terakhir ialah untuk cuba menyelamatkannya dan cuba selamatkan
balik apa yang telah dirosakkan Chua terhadap undi Melayu atas pagar.
Semalam, Chua mengeluarkan satu kenyataan panjang mendakwa bahawa
beliau dan MCA hanya menentang hudud PAS dan menuduh Pakatan Rakyat
memutar belit kenyataannya.
“Itulah yang orang terasa Chua sedang menghina intelek orang Melayu
Umno. Masa Adun Johor buat usul hudud, beliaulah orang pertama yang
menghinanya berkata beliau hilang idea dan kemudian kata nak keluar BN,”
kata sumber dalaman Umno itu.
Tambahnya lagi, orang dan pemimpin Umno juga terasa kecil hati
apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom yang berkata hudud tidak mempunyai kesan kepada bukan Islam
ditempelak Chua seperti beliau seolah-olah seorang menteri agama yang
bodoh kerana tidak membuat kajian terperinci sebelum mengeluarkan
kenyataan seperti itu.
“Jamil cuba damage control akibat keceluparan Chua dan MCA pada
perhimpunan agung mereka, tapi Chua tak faham dan ego mempercayai bahawa
keberanian menegur Jamil bakal membantu MCA mendapatkan kembali sedikit
undi Cina. Tapi Chua tersilap, dan UMCEDEL dah buktikan isu hudud dah
tak makan,” terang sumber dalaman Umno itu kepada Harakahdaily.
Sumber dalaman Umno itu turut berkata dalaman Umno kini berpecah pada pendapat mereka terhadap Chua.
“Kem anti-1Malaysia tidak mahu lagi bersekongkol dengan Chua kerana
merasakan Chua dan MCA sudah tidak berguna malah kini menjadi lebih
tidak berguna dan berbahaya kepada undi Melayu yang mereka perlukan
untuk kekal berkuasa.
“Kem pro-1Malaysia pula merasakan PRU13 BN akan tewas jika tiada
sokongan bukan Islam dan mengharapkan serangan Chua bertubi-tubi pada
PAS akan dapat mendapatkan kembali sedikit undi Cina pada BN,” kata
sumber dalaman Umno itu lagi.
Tapi segalanya berubah, kata beliau apabila Presiden PAS Datuk Seri
Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata beliau sedia bertanding di Pekan
sekiranya diarahkan oleh parti.
Sumber politik itu berkata kenyataan Hadi telah menjadikan slogan PAS
ganti Umno kini betul-betul akan diperdebat dan dibandingkan oleh
rakyat jelata berhubung tahap pemimpin PAS dengan pemimpin Umno.
““Isu itu menyebabkan orang bukan Islam terutamanya Cina dan Melayu
kini terus membuat perbandingan antara PAS dengan Umno. Lihat barisan
ini – Nik Aziz banding dengan Dr Mahathir, Najib dengan Hadi, Muhyiddin
dengan Mat Sabu, Mahfuz (Omar), Salahuddin (Ayub), Husam (Musa) dengan
Hishamuddin (Hussein), Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Tuan Ibrahim
dengan Ahmad Maslan – Umno dah tewas 7-0 dari segi integriti,
kebolehpercayaan dan amanah – dalam erti kata lain boleh ganti Umno
dengan PAS,” katanya.
Jadi penjelasan Chua, katanya, sudah terlambat bahkan merugikan dan merumitkan lagi keadaan kepada Umno.
“Kesian kat backbenchers Umno-BN yang mengambil isu-isu ekonomi untuk
melawan Pakatan Rakyat… tiba-tiba Chua merosakkan semuanya kembali
dengan kenyataan terbarunya,” kata sumber itu lagi.
Perhimpunan Agung Umno akan datang, kata sumber dalaman Umno akan
menentukan sama ada MCA diperlukan lagi atau tidak bersama Umno untuk
menghadapi PRU13.
“Tidak mungkin tendang MCA keluar, tapi Umno akan menyuruh MCA
menutup mulut sehingga PRU13 selesai. MCA dah tewas habis, cuma sekarang
jangan susahkan Umno lagi,” kata beliau.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan