05 November 2012

Cara baru PR lebih demokrasi

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

 Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi berucap pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, malam kelmarin
 
SEREMBAN – Pakatan Rakyat (PR) akan mengubah cara berpolitik di negara ini kepada cara baru yang lebih demokrasi tanpa ada unsur perkauman apabila mentadbir kerajaan kelak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, cara politik yang diamalkan Barisan Nasional (BN) sudah ketinggalan zaman malah merupakan cara pemikiran sempit.

“Parti dibentuk daripada bangsa di mana parti orang Cina untuk orang Cina (merujuk MCA) dan parti orang India untuk orang India (merujuk MIC).

“Berbeza dengan parti PR yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Pas parti Islam pelbagai kaum di mana orang bukan Islam juga boleh sertai Dewan Himpunan Penyokong Pas. Begitu juga PKR dan DAP yang disertai pelbagai kaum dan agama," katanya.

Abdul Hadi kemudiannya mengajak rakyat di negara ini melakukan perubahan politik di Malaysia dengan menyokong cara baru PR.

“Kita buat perubahan dengan cara Pakatan Rakyat.. Insya-ALLAH,” katanya sambil disambut laungan takbir daripada ribuan penyokong yang hadir.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, PR akan melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara bagi membanteras gejala rasuah jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita juga akan lancarkan AES, tapi bukan untuk kesalahan trafik, tapi basmi dan banteras rasuah yang berleluasa di negara ini.

“Satu cara untuk basmi rasuah adalah melalui AES. Jika ada sesiapa yang memiliki kekayaan dan pendapatan luar biasa, secara automatik mereka akan diheret ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, indeks rasuah dunia menunjukkan Malaysia berada pada nombor 60 berbanding sebelum ini iaitu pada nombor 23 membuktikan lagi kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SINAR/-

Tiada ulasan: