05 November 2012

Gelombang perubahan sangat kuat di Kota Belud

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

(Gambar: Mustaqim (tengah) bersama SU PAS kawasan Martubis Jumdot (kiri) serta SU Dewan Pemuda PAS kawasan Abu Ubaidah)

KOTA BELUD: Gelombang perubahan yang melanda seluruh Sabah sejak akhir-akhir ini sangat kuat dirasai di kawasan Parlimen P.169 Kota Belud di sini.

Biarpun ia dikatakan 'kubu kuat' BN sejak sekian lama, sehingga tidak pernah dalam sejarah politik Sabah, ada parti yang bukan kerajaan pernah menang di sini, namun kali ini ianya dilihat berbeza.

Kesedaran masyarakatnya yang timbul akibat dihimpit pelbagai masalah khususnya infrastruktur dan ekonomi menyebabkan rata-rata mereka kini berani bercakap tentang perubahan politik.

Yang DiPertua PAS Kota Belud, Mustaqim Aling berkata, pihaknya kini dapat melihat satu perubahan luar biasa masyarakat di situ yang cukup berbeza dari tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, slogan 'ini kalilah' bagai meniti dibibir masyarakat dan dapat didengar dalam perbualan harian mereka di sini.

"Ini kalilah itu mulanya di Kota Belud, malah sekarang sudah jadi gelombang yang sangat luar baiasa di sini. Kalau kita di mana-mana sahaja boleh dengar.

"Dulu gelombang Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah melanda sini, tapi sekarang saya rasa gelombang ini kali lah lebih besar dari PBS dahulu," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pusat Khidmat Masyarakat PAS di sini.


(Gambar: Mustaqim menunjukkan kawasan jelapang padi yang didakwa terbengkalai dan tidak mengeluarkan hasil seperti setatutnya)

Daerah Kota Belud terletak di pantai barat utara negeri Sabah, 70 kilometer dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, iaitu kira-kira sejam perjalanan menggunakan kereta.

Kota Belud juga adalah kawasan campuran antara Kadazan Dusun Murut (KDM), Bajau dan sedikit kaum Cina dan boleh dikatakan ianya kawasan bermajoriti Islam.

Pada PRU12 2008 yang lalu, calon BN Datuk Abdul Rahman Dahlan mengekalkan kerusi Kota Belud dengan kelebihan 3,020 undi mengalahkan calon PKR Saidi Simoi.

Ianya juga menyaksikan sebanyak 1,046 kertas undi ditolak pada waktu itu.

Desas-desus mengatakan pergaduhan pemimpin tempatan kerana tidak dipilih menjadi calon sangat kuat waktu itu sehinga wujud undi protes yang menyebabkan kemerosotan undi kepada BN.

Pergaduhan antara pemimpin mereka juga dikatakan masih berlaku sehingga memaksa pemimpin pusat termasuk Naib Presiden Umno Datuk Safie Apdal terpaksa turun beberapa kali.

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pula, terdapat tiga Dun di bawahnya iaitu Usukan, Kadamian dan Tempasuk.

PAS pula dijangka meletakkan calonnya di Tempasuk pada pilihan raya akan datang.

Pada PRU 2008, BN menang di Tempasuk dengan majoriti 2,432 mengalahkan calon PKR dan bebas ketika itu.

Mengulas lanjut, Mustaqim berkata, penerimaan orang ramai terhadap PAS dan Pakatan Rakyat juga sangat berbeza berbanding sebelumnya.

PAS tidak lagi dilihat sebuah parti yang perlu ditakuti oleh mereka khususnya yang bukan beragama Islam.

"Pusat khidmat masyarakat PAS ini sendiri menjadi tempat rujukan masyarakat di sini termasuk bukan Islam untuk membuat aduan mereka.

"Malah sejak akhir-akhir ini pejabat ini menjadi makin sibuk dengan kehadiran ramai mereka yang turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang kita jalankan di sini," katanya.


(Gambar: Batang paip sepatutnya digunakan bagi membina saluran air ke kawasan sawah, tetapi terbengkalai di sini sejak 2005)

Antara isu besar di Kota Belud yang menjadi rungutan masyarakat setempat termasuklah keadaan jalan yang uzur yang sekaligus menghadkan pergerakan mereka.

Jalan raya disini difahamkan dibina sejak zaman PBS lagi dan tidak dibaiki secara menyeluruh oleh kerajaan BN.

Bairpun dijanjikan 'dalam perancangan' untuk dinaiktaraf oleh kerajaan BN, namun rakyat dilihat sudah tidak tahan lagi dengan alasan politik pilihan raya itu.

Masalah lain yang tidak kurang juga besarnya adalah masalah bekalan air bersih kepada penduduk.

Difahamkan walaupun batang paip air sudah ditanam sejak lama, namun ianya tidak mengeluarkan air.

Ini menyebabkan sebahagian masyarakat di sini mencari alternatif dengan mengeluarkan modal sendiri membeli enjin mengepam air dari bawah tanah.

Namun ianya juga tidak me mana kerana kualiti air yang dipam itu didakwa sangat teruk dan berbau busuk.

Selain itu, penduduk juga didakwa mengeluh dengan masalah yang melanda Program Jelapang Padi dan Agropolitan yang terbengkalai sehingga menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: