05 November 2012

AES: Kerajaan tak akan mansuh saman postal

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan memansuhkan saman postal (Notis Pol 170A) walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan.

Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, saman postal itu bertujuan memberi kesedaran kepada pemandu jalan raya agar memandu secara berhemah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Saman postal ialah notis yang dikeluarkan PDRM kpada pemilik kenderaan yang berdaftar.

Bagi pemilik kenderaan yang gagal memberikan maklumat terhadap notis dalam tempoh yang ditetapkan, pemilik dikenakan saman kerana melakukan kesalahan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar pada sesi soal jawab lisan pagi ini.

"Berapa jumlah respon daripada pesalah yang menerima saman postal kemudian menjawab semula notis yang dikeluarkan PDRM.

"Apa jenis kamera yang digunakan PDRM, adakah sama dengan AES dan adakah menteri bercadang memansuhkan sistem ini setelah AES yang lebih kejam dan zalim dilaksanakan?" soal beliau.

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, sebanyak 180,062 saman postal dikeluarkan sepanjang tempoh Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 12 hingga 26 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 52,362 saman dapat diselesaikan.

Firdaus dalam soalan asalanya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah "Saman Postal" (Notis Pol 170A) yang
dikeluarkan oleh PDRM semasa Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

Sementara itu, Firdaus ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, rakyat kini terbeban dengan dua saman yang dikeluarkan iaitu daripada PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Dua kementerian menjadikan aktiviti menyaman pengguna kenderaan sebagai agenda bersama. Sepatutnya PDRM kena tumpu kes jenayah.

"Daripada jumlah saman yang dikeluarkan, hampir separuh yang bayar saman ternyata tak faham, tapi terus bayar sahaja sebab takut kena naik turun mahkamah. Kerajaan kena jelaskan bagaiman ia beroperasi, bukan terus saman," katanya.
 
HARAKAH/-

Tiada ulasan: