05 Disember 2012

Pakatan boleh tambah kerusi Parlimen di Melaka

21 Muharram 1433H. [MOD] -


MELAKA: Berdasarkan analisis terhadap beberapa dapatan kajian yang dilaksanakan oleh beberapa pihak, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan Pakatan boleh menambah satu lagi kerusi parlimen di Melaka. 

Tambahan kerusi parlimen ini menjadikan PR menguasai dua daripada enam kerusi parlimen di negeri tersebut. 

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) dijangka boleh menang dengan agak selesa mengekalkan penguasaan negeri Melaka, dengan memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN daripada 28 kerusi. 

Kedudukan ini memperlihatkan Melaka adalah antara negeri yang paling selamat bagi BN. 

"Analisis ini dibuat berdasarkan beberapa dapatan kajian yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan pengkaji dari universiti dan pihak ketiga, di samping data yang diperolehi oleh PPP sendiri," kata Pengarah Operasi PPP, Dr Zuhdi Marzuki (gambar atas).

Kerusi Parlimen yang dijangkakan boleh ditambah oleh PR ialah kerusi P137, Bukit Katil, yang ditandingi oleh PKR. 

Kerusi ini dikategorikan sebagai kerusi campuran disebabkan nisbah pengundi Melayu dan Bukan Melayu yang kecil, iaitu 52% pengundi Melayu, 42% pengundi Cina, 6% pengundi India dan selebihnya kurang dari 1% lain-lain pengundi. 

Hasil analisis PPP, undi akar umbi BN di kawasan ini hanyalah 38% daripada keseluruhan pengundi, manakala golongan atas pagar adalah besar iaitu 31%. 

Sekiranya PR boleh meraih sokongan golongan atas pagar ini, maka Bukit Katil boleh dimenangi oleh PR, katanya. 

Bagaimanapun, dapatan analisis ini tidak selari dengan dapatan kumpulan pengkaji Majlis Profesor Negara (MPN) yang merumuskan Bukit Katil sebagai kawasan putih atau selamat bagi BN.

Bagi kerusi-kerusi DUN pula, kata Dr Zuhdi, BN dijangkakan boleh menang di sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN, manakala PR (DAP) dijangkakan boleh mengekalkan penguasaan di 5 kerusi DUN seperti yang dimenangi pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008.

Baki enam lagi kerusi DUN iaitu, Asahan, Machap, Kelebang, Duyong, Rim dan Serkam dikategorikan sebagai kawasan kelabu, katanya. 

Antara keenam-enam kerusi kelabu, kerusi DUN Asahan yang ditandingi oleh PAS berpotensi untuk jatuh ke tangan PR, sekiranya PR berjaya menggunakan strategi yang betul dan sesuai. 

Kerusi DUN Asahan yang terletak di bawah Parlimen Alor Gajah bersama sebuah lagi kerusi DUN yang dikategorikan kelabu, Machap, yang terletak di dalam kawasan parlimen yang sama, memberi sedikit harapan kepada PR (PAS) untuk memberi saingan yang sengit kepada BN di Parlimen Alor Gajah.

Dalam PRU tahun 2008, kerusi Parlimen Alor Gajah yang mempunyai 57% pengundi Melayu, 30% pengundi Cina dan 13% pengundi India, dimenangi oleh MCA. 

Dalam PRU tersebut BN (MCA) memperolehi 63% sokongan daripada keseluruhan pengundi. 

"PPP mengunjurkan sokongan tersebut telah merosot sebanyak 3% seiring dengan peralihan sokongan pengundi-pengundi Cina di Selatan Semenanjung kepada PR," jelasnya.

Berdasarkan analisis PPP, sokongan akar umbi BN di kawasan ini adalah sekitar 56.3%. 

Meskipun kawasan ini adalah dikategorikan selamat bagi BN, sekiranya PR khususnya PAS berjaya meningkatkan sedikit lagi sokongan pengundi Melayu dan menggunakan strategi yang bijak dalam PRU akan datang, peluang untuk memenangi kerusi ini tidak boleh diperkecilkan.

Menurut kajian PPP, kata Zuhdi, sokongan terhadap PR boleh dipertingkatkan sekiranya, terdapat seorang tokoh pimpinan PR dari negeri ini yang berkaliber untuk menyaingi kepimpinan Ketua Menteri Melaka sekarang Datuk Seri Ali Rustam. 

Menurut dapatan kajian MPN, populariti Ali Rustam mencecah 83%, sedangkan PR tidak mempunyai seorang tokoh pemimpin yang boleh menyaingi beliau. 

"Oleh sebab itu, penyertaan Datuk Tamrin Tun Ghafar ke dalam PAS seharusnya dimanfaatkan sebaiknya untuk menjana sokongan kepada PR," kata Zuhdi.

Selain daripada itu, katanya, PR perlu meneruskan pendedahan penyelewengan dan salahguna kuasa oleh kerajaan BN di peringkat negeri dan persekutuan untuk meningkatkan lagi sokongan terhadap PR. 

"Isu ini boleh memberi kesan kepada pengundi-pengundi atas pagar terutama pengundi-pengundi muda di bawah 30 tahun untuk menyokong PR," katanya.
harakah/-

SMS provokasi beberapa hari sebelum serangan

21 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Serangan sekumpulan samseng terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi didakwa didahului dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas SMS 'berupa arahan' beberapa hari sebelumnya.
SMS itu didakwa menyatakan arahan supaya membantah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program yang diadakan di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini malam tadi itu.

Perkara itu turut disahkan Timbalan Ketua Cabang PKR Gombak, Amirudin Shari dalam kenyataan kecamannya terhadap serangan itu pagi ini.

"Beberapa hari sebelum program, pimpinan Pakatan Rakyat Gombak telah dimaklumkan bahawa terdapat pesanan ringkas (SMS) yang berlegar  untuk menggesa Pemuda Umno Gombak turun untuk menghalang program yang akan berlangsung berlangsung,a' katanya.

Ekoran itu, sebagai langkah keselamatan katanya, pihaknya khususnya kepimpinan Pakatan Rakyat Gombak telah membuat satu laporan polis pada 3 Disember 2012 di Balai Polis Gombak bagi mengelakkan hal yang tidak diingini berlaku.

"Malangnya lebih 100 orang pemuda Umno hadir untuk melakukan provokasi bagi mengganggu ceramah yang berlangsung sehingga keadaan tegang dan berlakunya kekecohan di hadapan tapak ceramah.

"Tambah mengecewakan, seorang penyokong Pakatan Rakyat telah ditikam dengan senjata tajam," katanya.

Dalam serangan malam tadi, sekurang-kurangnya dua orang penyokong Pakatan Rakyat cedera.

Mangsa pertama, seorang lelaki cedera di bahu kiri dipercayai ditikam dengan objek tajam manakala seorang lagi Haider Samsudin (gambar bawah) cedera di kepala akibat dibaling objek keras dipercayai pasu.

“Dalam suasana kecoh itu, tiba-tiba ada benda keras kena kepala saya sebelah kanan. Bila saya lihat, rupa-rupanya pasu yang baru pecah berderai.

“Cepat-cepat saya kawal pernafasan kerana saya mula rasa pening kerana banyak darah mengalir,” kata Haider dipetik Keadilan Daily, malam tadi.

Haider, yang juga ketua cawangan PAS Kampung Gombak Utara merupakan tuan rumah dimana tempat ceramah diadakan.

Beliau didakwa cedera ketika cuba mententeramkan keadaan berikutan ancaman samseng di lokasi ceramah.

harakah/-

Lagi angkara khianat

21 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Tindakan khianat pihak tertentu bukan sahaja mengakibatkan sebuah kereta dan enam motosikal musnah dibakar malah menyebabkan tujuh penghuni termasuk dua kanak-kanak sesak nafas selepas terhidu asap tebal semalam.

Kejadian pukul 5.05 pagi di Blok R Flat Sri Kuching dekat Taman Seri Kuching di sini itu berlaku ketika rata-rata penghuni masih nyenyak tidur.

Mengimbau semula kejadian itu, pemilik kereta jenis Proton Saga, Meoh Bee Leong, 52, berkata, dia terus ke tempat letak kereta selepas dikejutkan isterinya yang terdengar bunyi kecoh meminta supaya penghuni mengalihkan kenderaan masing-masing.

“Sebaik tiba, saya lihat api sedang marak membakar motosikal dan enjin kereta saya. Saya cuba mengalihkan kereta namun gagal kerana api merebak dengan pantas,” ceritanya ketika ditemui di sini.

kosmo/-

Emir Kuwait letak jawatan Kabinet

21 Muharram 1433H. [MOD] -

Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah
Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah
 
KUWAIT CITY - Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah, menganggap peletakan jawatannya dalam Kabinet sebagai proses rutin selepas pilihan raya.

Media tempatan melaporkan, Perdana Menteri Shaikh Jaber Mubarak Al Sabah dan menteri lain masih berada dalam pentadbiran hingga Kabinet baru dibentuk.

Beliau mengemukakan peletakan jawatan selepas menyaksikan pilihan raya negara itu diboikot pembangkang dan kehadiran pengundi rendah.

Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, Ahmad Al Ajeel, mengumumkan pengundi adalah 39.7 peratus tetapi pembangkang mengatakan peratusan pengundian itu hanya 26.7 peratus.

Sheikh Sabah Al Ahmad akan mengadakan rundingan dengan pegawai kanan dan bekas speaker Parlimen sebelum pembentukan Kabinet baru.

Kerajaan perlu dibentuk dalam tempoh 14 hari sebelum Parlimen melakukan sesi sulung perbahasan.

Pertikaian berlaku apabila ramai pihak menentang pelantikan Shaikh Jaber sebagai perdana menteri kerana beliau mengamalkan rasuah selepas peletakan jawatan bekas perdana menteri Shaikh Nasser Mohammad Al Ahmad Al Sabah pada November tahun lalu.

Pada pilihan raya itu, calon dari minoriti Syiah mendahului dengan memenangi 17 kerusi daripada 50 keanggotaan Kabinet. - AFP

Kedah akan guna kaedah baru tanam nanas

21 Muharram 1433H. [MOD] -


(Amiruddin menyampaikan cendera hati kepada Tunku Bendahara sempena sambutan Hari Peladang dan Nelayan negeri Kedah)

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mensasarkan 4,050 hektar tanaman nanas sehingga tahun 2015 melalui Pelan Halatuju Pembangunan Pertanian Negeri Kedah, kata Exco kerajaan negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Bagi mencapai sasaran itu, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan teknik tanaman nanas secara berkepadatan tinggi bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ini kerana, melalui kaedah biasa, setelah empat tahun usaha dilakukan, hanya 1,252 hektar tanah berjaya ditanam nanas ekoran masalah mendapatkan tanah pertanian.

harakah/-

Kamera AES Diturunkan! Tahniah Kerajaan Selangor!

21 Muharram 1433H. [MOD] -


Menyedari amaran keras yang diberikan Kerajaan Selangor terhadap pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang mendapat bantahan rakyat seluruh negara, hari ini kontraktor yang dilantik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akhirnya menurunkan sebuah kamera yang dipasang di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sebentar tadi.

Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu yang memberi amaran tersebut mewakili menteri besar, Abdul Khalid Ibrahim masih belum dapat dihubungi bagi memberi komen susulan daripada tindakan tersebut.

Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga Isnin lalu bagi kementerian pengangkutan menurunkan kamera kontroversi itu atau berdepan dengan tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diarah bersiap sedia sekiranya kementerian gagal berbuat demikian.

Malah sebuah pertubuhan NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga berhasrat untuk berbuat demikian dan hanya menunggu lampu hijau dari kerajaan negeri untuk menurunkannya tanpa menggunakan sesenpun wang pembayar cukai.

Kira-kira 50 orang pengguna jalan raya yang lalu di kawasan terbabit memperlahankan kenderaan masing-masing melihat operasi tersebut dijalankan tanpa kehadiran pihak polis seperti kebiasaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 256,899 saman telah dikeluarkan sejak AES beroprasi dari 23 September sehingga 26 November lalu.

Dari jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 142,809 saman dikuti Perak sebanyak 81,00, Putrajaya 22,876 dan Kuala Lumpur sebanyak 10,213 saman.

Saman tertinggi adalah melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 243,545 saman diikuti kesalahan melanggar lampu isyarat sebanyak 13,354 saman.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Pengangkutan, Abdul Rahim Bakri di Dewan Negara semalam sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Khairiah Mohamed.

Sehingga kini, AES telah dipasang di 14 lokasi di seluruh negara.

AES di kawasan 30km/j kekal

Selain jumlah itu, Khairiah juga turut mempersoalkan berhubung dengan kajian semula AES di kawasan had laju 30 kilometer sejam dan nortis amaran di lokasi-lokasi kamera AES.

Dalam jawapannya, timbalan menteri itu berkata, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula cadangan menguatkuasakan AES di kawasan had laju 30 kilometer sejam.

Katanya, pemilihan lokasi tersebut adalah dibuat berdasarkan kriteria yang teratur dan lokasi ini merupakan kawasan-kawasan sekolah di mana terdapat keperluan untuk menyediakannya bagi melindungi kemalangan di kalangan murid-murid sekolah.

"Walau bagaimanapun, penguatkuasaan di kawasan ini akan mengguna pakai kamera mudah alih dan dijalankan hanya pada waktu persekolahan sahaja," jelasnya.

Berhubung notis amaran pula, timbalan menteri itu berkata, notis telah dipasang dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer bagi mengesan kesalahan memandu melebihi had laju, manakala bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat pula, notis amaran dipasang dalam lingkungan 50 hingga 500 meter. -jalanpulang


Beratus-ratus Bayi Lahir Selama serangan Israel di Gaza

21 Muharram 1433H. [MOD] -

GAZA – Warga Palestin di Semenanjung Gaza akan menamakan putra-putra mereka yang baru lahir dengan Fajr-3 dan Fajr-5, seperti roket dan peluru berpandu yang diberikan Iran kepada Palestin. 

Peluru berpandu dan roket tersebut telah membantu Palestin mengukir kejayaan bersejarah dalam menentang pencerobohan Israel dalam perangnya selama lapan hari di Gaza.

Al-alam melaporkan, Muhammad Shafie Abu Nashat seorang warga Gaza menyatakan akan memberi nama anaknya yang baru lahir dengan roket Fajr-3 yang telah berjaya menembus garis pertahanan Israel dan menghentam pusat rejim Zionis di Tel Aviv.

Anak Abu Nashat (Fajr-3) lahir di hospital Syuhada al-Aqsa di tengah Semenanjung Gaza, sehari selepas gencatan senjata. Kata beliau, “Kemenangan ini pertama kembali kepada Allah SWT dan kemudian kepada Iran yang telah memberikan sokongan ketenteraan dan kewangan kepada kumpulan pejuang dan digunakan untuk menghentam musuh pada peringkat untuk pertama kalinya dalam sejarah konflik Arab-Israel.”
Sementara itu, seorang ibu mengandung bernama Amira Abu Asaus (30 tahun) dari wilayah Syeikh Radwan utara Semenanjung Gaza, yang sebelumnya cedera akibat serangan Israel, menyatakan jika anaknya lahir akan diberi nama Fajr, merujuk kepada roket buatan Iran yang digunakan kumpulan muqawama untuk menggoncang bandar-bandar Israel.

Amira dan anaknya “Maghrib” dalam keadaan sihat. Dia mendoakan anaknya punya masa depan dalam muqawama Palestin dan memikul roket yang sesuai dengan namanya demi pembebasan Palestin daripada pendudukan Israel.

Dalam kumpulan komentar dari beberapa kumpulan kemanusiaan yang ditujukan kepada kerajaan dan tentera Israel, sebahagian besar menuduh tentera Israel telah melakukan tindakan menggelabah dengan menggunakan senjata mematikan yang mengakibatkan Ratusan orang terbunuh.
Menurut saksi, beberapa agensi juga bersetuju serangan terhadap pegawai perubatan, sekolah, rumah sakit, dan kemudahan PBB.

“Kami kira kita semua telah menyaksikan bukti semakin terkikisnya moral yang mengakibatkan kemusnahan dalam jumlah yang besar.
Serangan Israel tersebut juga diduga kuat adalah sebagai usaha utama mereka untuk membunuh wanita mengandung dan generasi muda Gaza, yang rata-rata telah dilantik menjadi hafidz (orang yang hafal seluruh ayat Al-Quran), kerana Yahudi sangat bimbang jika para hafidz tersebut akan memerangi mereka di masa depan.

“Konflik tersebut di salah satu kawasan paling padat di dunia, di mana sebahagian besar penduduknya adalah kanak-kanak”, kata Annie Foster, pemimpin kumpulan Selamatkan kanak-kanak untuk bantuan kecemasan di Gaza.

“Tiap harinya puluhan kanak-kanak menderita atas serangan yang berlaku. Dan hal ini tidak dapat diterima”, kata Ann Veneman, Pengarah Eksekutif UNICEF.

Menurut laporan Badan Anggaran PBB (UNFPA), dari sekitar 450 wanita mengandung, 350 di antaranya telah melahirkan bayi mereka selama serangan Israel di Gaza. Jumlah tersebut tentu cukup besar jika dibandingkan jumlah korban terbunuh Selam Lapan Hari Agresi Israel ke Gaza menelan korban kanak-kanak, 43 gugur dan 432 yang lain cedera, jumlah mangsa gugur dari kalangan kanak-kanak dalam serangan Israel ke Gaza sejak Rabu lalu sehingga Rabu, mencapai 43 orang, kira-kira 27% daripada keseluruhan mangsa yang guur, sementara kanak-kanak yang menjadi mangsa kecederaan mencapai 432 orang, kira-kira 35% daripada keseluruhan mangsa yang cedera.

Halim Islam


Calon PRU13: Muslimat Pas hantar 30 nama

21 Muharram 1433H. [MOD] -

Siti Zailah Mohd Yusoff
Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff
 
RANTAU PANJANG – Dewan Muslimat Pas telah mengemukakan senarai 30 nama kepada pucuk pimpinan Pas untuk dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kesemua mereka merupakan calon berwibawa serta difikirkan sesuai untuk turun gelanggang PRU13.

Menurutnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan pusat untuk meletakkan mereka di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai.

“Kita telah mengenal pasti calon-calon Muslimat berkelayakan untuk diletakkan sebagai calon pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Lokasi serta calon yang dipilih kita serahkan kepada pimpinan pusat untuk membuat penentuan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Siti Zailah berkata, calon-calon berkenaan terdiri dari pelbagai latar belakang dan ada dalam kalangan mereka berusia sekitar 20-an.

Menurutnya, mereka merupakan golongan berpendidikan serta mampu menjadi seorang pemimpin.
“Ada dalam kalangan mereka juga golongan profesional seperti peguam serta doktor yang dirasakan benar-benar layak serta berwibawa.

“Keseluruhan lebih 30 calon yang disenaraikan ini adalah Muslimat dari seluruh negara,” katanya.

harakah/-

Cuba elak ditahan polis, lelaki terjun sungai tinggalkan isteri dan anak

21 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki sanggup meninggalkan isteri dan dua anak yang masih kecil di dalam kereta dipandunya, sebelum nekad terjun ke dalam sungai semata-mata ingin meloloskan diri daripada ditahan polis dalam satu kejadian di Kampung Teluk Pasu di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu cuba mengelak daripada ditangkap setelah dikehendaki polis berhubung beberapa kes jenayah curi kereta di sekitar Pasar raya Giant dan Mydin Mall, di sini.

Menurut sumber, semasa kejadian, suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Viva diekori Unit Kereta Ronda MPV Balai Polis Chabang Tiga di sekitar Pasar Chabang Tiga, di sini.

“Bagaimanapun, suspek yang menyedari dirinya diekori terus memecut laju keretanya menghala ke Kampung Teluk Pasu, di sini, dan polis turut mengejarnya sejauh kira-kira 15 kilometer.

“Ketika itu, suspek merempuh beberapa lampu isyarat sebelum nekad terjun ke dalam Sungai Manir apabila menyedari dirinya telah dikepung polis dengan bantuan Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu,” katanya.

Menurutnya, suspek turut berlakon pengsan apabila dia gagal berenang ke seberang, sebelum diberkas polis dan dibawa ke Balai Polis Manir, untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, suspek yang baru sahaja tamat menjalani hukuman penjara pada Julai lalu atas kesalahan mencuri kereta mempunyai beberapa rekod jenayah, termasuk kes curi kereta dan pecah cermin kereta.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek yang berasal dari Kampung Sekati, di sini.

“Suspek kini direman sehingga 8 Disember depan untuk disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

sinar/-

Penyokong PKR didakwa ditikam di ceramah Anwar

21 Muharram 1433H. [MOD] -





 
Seorang penyokong Pakatan Rakyat didakwa ditikam oleh seorang penyokong Umno di Gombak dalam satu kejadian di ceramah yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi.
NONE
Lidah parti PKR Keadilan Daily melaporkan, individu berkenaan mengalami kecederaan di bahu kiri yang dipercayai akibat satu senjata tajam.

“Ia berlaku ketika sekumpulan samseng Umno yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini.

“Kumpulan samseng Umno yang sebahagiannya didakwa sebagai pesilat, selain berbuat bising menggunakan kata kesat turut melempar batu ke tapak ceramah,” laporan itu dipetik.

Menurut laporan itu lagi, Anwar dalam ucapannya dalam ceramah tersebut mengutuk insiden berkenaan yang disifatkan sebagai perbuatan golongan “jahiliah”.

Beliau juga mahu polis mengambil tindakan segera ke atas kejadian tersebut.

malaysiakini/-

Pemuda PAS rancang program bersama IIM

21 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah berkunjung ke ibu Pejabat Institut Integriti Malaysia (IIM) di Jalan Duta di sini semalam.

Kunjungan mereka kali ini dilihat sebagai usaha serius untuk melahirkan pemimpin yang berintegriti di kalangan Dewan Pemuda PAS khususnya.

Delegasi Dewan Pemuda PAS Malaysia diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda Nasrudin Hassan, Setiausaha Khairul Faizi, Penolong Setiausaha 3 Yusapiza Yaacob, Pengarah Jabatan Pilihanraya Sany Hamzan dan dua orang pegawai Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Menurut Nasruddin, lawatan ini juga sebagai susulan pengisytiharaan harta yang dibuat di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia baru-baru ini.

“Kita mahu sebuah Institut yang berintegriti seperti IIM untuk memberi pandangan mengenai langkah yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia di muktamar baru-baru ini.

"Respon dari pihak IIM sangat baik dan kami diberikan beberapa pandangan mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Khairul Faizi pula berkata, dewan pemuda akan mengadakan satu program khusus bersama IIM sebagai usaha ke arah melahirkan kepimpinan pemuda yang berintegriti.

“Kita telah berbincang dan merancang untuk mengadakan satu program khusus dengan IIM sebelum PRU 13 ini insya Allah”, katanya selaku jurucakap di dalam pertemuan tersebut.

Deligasi Dewan Pemuda PAS Malaysia disambut oleh Timbalan Presiden IIM Doktor A Bakar Sarpon, Pengarah Sektor Politik IIM Mohd Ismail Abdul Jalil, Ketua Penolong Pengarah Sektor Politik IIM Loganathan a/l Veerasamy dan juga dua orang Penolong Pengarah Sektor Politik IIM, Fison Hamdi dan Zubayry Abady.

harakah/-

Pemuda PAS kecam serangan samseng di Gombak

21 Muharram 1433H. [MOD] -



Anggota FRU mengawal keadaan di tempat ceramah malam tadi.

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi sehingga menyebabkan salah seorang hadirin cedera.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, tindakan tersebut mencerminkan betapa terdesaknya pihak lawan sehingga sanggup bertindak diluar batas undang-undang.

"Demokrasi apakah ini? Sudahlah takut berhujah, upah samseng pula untuk ganggu program Pakatan Rakyat.

"Ia seolah-olah dihalalkan malah pihak ini seperti kebal dari tindakan," katanya sambil menyebut beberapa lagi siri serangan serupa yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian serangan malam tadi yang menyebabkan seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera di bahu dipercayai ditikam dengan objek tajam. (Gambar kanan)
Ia berlaku ketika sekumpulan samseng yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Kumpulan samseng yang sebahagiannya didakwa sebagai pesilat, pada mulanya membuat bising malah ada yang turut melempar batu ke tapak ceramah.

Ekoran itu, sedikit pergelutan kecil berlaku dan salah seorang penyokong Pakatan didakwa ditikam ketika kumpulan samseng tersebut cuba merempuh sekatan benteng manusia yang dibuat oleh petugas.

Kejadian itu memaksa pihak polis dan beberapa anggota FRU berkawal di tapak ceramah berkenaan.

Ceramah malam tadi turut disertai Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

harakah/-

Cuti, Air Asia dan PRU 13

21 Muharram 1433H. [MOD] -
Oleh Annuar Kamaruddin

Hari ini rata-rata rakyat Malaysia termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan resah gelisah gara-gara teka-teki pilihanraya yang disengajakan. Sama ada hendak mengekalkan pemerintahan BN atau memilih Pakatan Rakyat sebagai pemerintah baru bukanlah persoalan.

Yang meresahkan adalah kerana tidak dapat merancang aktiviti keluarga, aktiviti cuti dan persediaan kewangan tahun 2013. Golongan berpendapatan rendah mengharapkan pemberian BR1M secepatnya. YB-YB mengharapkan kepastian sama ada dicalonkan semula atau tidak secepatnya. Kakitangan kerajaan yang bakal mendapat bonus sudah merancang hendak bercuti dan berehat panjang sesudah setahun penat berkerja.

Ibu bapa yang ada anak belajar di luar negeri sudah berkira-kira hendak menjenguk anak sambil bercuti. Bakal bapak mertua dan mak mertua sudah merancang tarikh kenduri kahwin anak kesayangan mereka.

Namun semuanya resah gelisah. Kalau tetapkan tarikh dan tempah kad jemputan, tahu-tahu hari itu jadi hari mengundi, alamat rosaklah program. Siapa hendak makan kenduri. Orang-orang semua hendak berkempen.

Air Asia pula menawarkan pakej dan tambang yang kelihatan murah dan menjimatkan. Kalau tempah tiket awal-awal untuk ke luar negeri, tiba-tiba minggu itu kena hari mengundi, hangus semua bayaran. Masa depan negara lebih utama. Kalau bilik penginapan hotel atau resort sudah ditempat, tahu-tahu minggu itu kena hari mengundi, hilang semua deposit tempahan.

Pepatah pengurusan ada mengatakan “If you fail to plan, you plan to fail”. Nampak gayanya pengerusi Barisan Nasional hari ini sudah gagal merancang hari penentuan masa depan negara. Asyik bermain teka-teki. Hendak tunggu situasi menguntungkan BN baru hendak bubar parlimen.

Mungkin resah gelisah BN beribu kali ganda berbanding resah gelisah rakyat. Apa-apa pun, BN sudah gagal merancang dan pastinya BN sedang merancang kegagalannya.



04 Disember 2012

Jangan beri kepercayaan kepada yang 'desperate'

20 Muharram 1433H. [MOD] -

Perhimpunan Agung UMNO yang baru selesai pada 1 Disember 2012, mudah bagi kita untuk merumuskannya dan apa yang berlaku dalam perhimpunan itu sangat tepat dengan apa yang kita telah tahu  selama ini. 

UMNO itu sungguh tertekan dan akan menghadapi pilihanraya yang paling getir dalam sejarah parti itu. Segala apa yang berlaku dalam perhimpunan itu merupakan satu manifestasi yang jelas tentang tekanan yang parti itu hadapi.

Setakat ini UMNO telah melakukan banyak usaha untuk mendapatkan keyakinan rakyat dan salah satu dari perkara yang dilakukan ialah berbai’ah di depan Dr Mahathir supaya ahli-ahli parti tidak melakukan sabotaj terhadap calon-calon BN. ‘Initiative’ yang dilakukan oleh Mahathir memanggil pemimpin-pemimpin Bahagian UMNO di seluruh negara untuk berjanji dan bersumpah tidak mensabotaj parti itu menunjukkan yang sabotaj-mensabotaj calon merupakan masalah yang terbesar dalam UMNO.

Jika berbai’ah itu di jadikan sebagai salah satu usaha besar untuk bertahan, maka itu sekali gus membayangkan kepada kita UMNO sudah terlalu hampir kepada kekalahan. Jika isu sabotaj-mensabotaj itu tidak besar masakan tindakan bersumpah itu di jadikan usaha yang dilakukan oleh pemimpin besar yang pernah menjadi PM selama lebih dari dua dekad. Tindakan bekas PM ini memanggil pimpinan bahagian untuk bersumpah itu juga mengiyakan apa yang di pandang oleh rakyat yang Mahathir merupakan orang yang paling takut jika UMNO itu jatuh. Sebab beliau merasa takut itu boleh lah tuan-tuan agak dan agakan saudara-saudara itu tidak mungkin salah.

Kenapa sampai bersumpah?

Kalau parti itu (UMNO) kuat dan mendapat sokongan, apa yang perlu bersumpah-sumpah itu? UMNO sepatutnya memberikan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin mereka di peringkat bahagian tetapi sebaliknya UMNO tidak yakin dan tidak mempercayai ahli-ahlinya sendiri. UMNO mempunyai masalah dalaman yang ketara. Orang ramai tidak tahu masalah ini asalnya, tetapi setelah berlakunya angkat sumpah di depan Mahathir itu sudah cukup untuk menyatakan dengan ‘conclusive’ UMNO dalam kesempitan.

“Yang lebih lucunya kami terpaksa angkat sumpah dengan orang yang menjadi penyebab kepada perpecahan kami dalam UMNO ini. Nampak sangat Mahathir terlalu takut dengan masalah beliau jika UMNO tewas dan dia mahu kita jadi pelindung dia setiap masa. Kita di bawah ni hanya diperguna macam lembu saja” kata seorang AJK Bahagian yang saya kenali sebegitu lama.

Lebih banyak bercakap lebih banyak kelemahan kita lihat dalam UMNO ini. Kata Najib dalam perhimpunan itu, “satu undi untuk DAP merupakan satu undi untuk tekanan terhadap orang Melayu”. Kata perpatah ‘bercakap di siang hari pandang-pandang, bercakap malam hari di dengar-dengar’. Najib tidak langsung nampak musuhnya di dalam BN sendiri yang bercakap bertentangan dengan kata-kata pemimpin tertingginya. “Chua Soi Lek pula berkata satu undi untuk DAP itu adalah satu undi untuk tekanan terhadap orang Cina”. Apa maknanya semua ini?

Kata-kata ini sahaja sudah menunjukkan kecelaruan dalam hala tujuan parti-parti dalam BN. MCA ke hulu UMNO pula ke hilir.

Dalam bercakap dengan gegaran tinggi tentang penyatuan kaum-kaum di negara ini UMNO dan Najib masih bercakap isu yang berteraskan elemen rasis yang merbahaya dan ingin melihat rakyat yang berbilang kaum ini untuk mengesyaki di antara satu dengan lain. Ini merupakan manifestasi yang UMNO sedang tersepit apabila Pakatan Rakyat mampu untuk mencari formula penyatuan kaum yang ampuh yang tidak mungkin boleh dicapai oleh BN.

UMNO memusuhi DAP seolah-olah kami dalam DAP ini seperti haiwan dan binatang liar. UMNO tidak mahu mengakui yang DAP lebih di yakini oleh sesiapa yang ikhklas mahu melihat kerjasama di antara kaum itu. UMNO masih menakut-nakutkan orang Melayu dengan mangatakan jika PR memerintah maka DAP dan orang Cina akan berkuasa. DAP hanya akan meletakkan lima puluh calon di dalam PRU ini dan jika calon-calon parti ini menang kesemua kerusi sekali pun, orang-orang Cina tidak akan menguasai politik negara ini.

Lagi pun, adalah di perkatakan yang di antara lima puluh calon-calon DAP itu berkemungkinan ada calon Melayu yang akan menunjukkan yang DAP bukannya parti rasis seperti UMNO dengan Melayunya dan MCA dengan chauvinis Cinanya. Sesungguhnya kemampuan DAP untuk lebih bertanggungjawab terhadap siasah yang realistik dan politik keamanan ini menjadikan BN khususnya UMNO begitu goyah dari hari ke hari kerana yang pasti MCA akan kehilangan undi Melayu dan UMNO juga bertambah kurang sokongan dari orang Melayu itu.

UMNO sekarang ini sedang kehilangan sokongan dari orang Melayu kerana PAS telah menunjukkan kemantapannya untuk menarik sokongan Melayu Islam. Isu ini lebih membuatkan UMNO tidak tentu arah dan menyebabkan pucuk pimpinannya bercakap dengan nada yang tinggi dalam PAU baru-baru ini. Laungan dan jeritan pucuk pimpinan UMNO itu hanya melambangkan betapa runsingnya UMNO dalam menghadapi pilihanraya kali ini, yang merupakan ibu segala pilihanraya dalam sejarah kemerdekaan negara.

Hanya saya ingin mengingatkan parti-parti dalam PR agar sentiasa bersyukur dengan perkembangan ini dan jangan sekali-kali bersikap takbur dan mendahului Tuhan. Sikap parti-parti dalam PR setakat ini baik dan diharapkan ia akan bertambah baik dari masa ke semasa. Saya sendiri sangat berbesar hati yang PR tidak henti-henti berusaha untuk mencapai matlamat yang satu negara kita, iaitu perpaduan kaum atau yang di sebut selalu sebagai ‘national unity’ ini.

Perjuangan ini merupakan perjuangan ‘ultimate’ rakyat. Rakyat sudah tidak mahu lagi diperguna oleh mana-mana pihak untuk memecahkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum semata-mata kerana sikap ‘desperado’ mereka dalam politik kepartian yang jumud dan merekahkan kesatuan yang sedang kita pupuk sekarang ini.

Apa yang perlu sekarang hanyalah kesedaran rakyat yang orang Melayu khususnya tidak menolak perpaduan tetapi biarlah perpaduan itu berlaku di luar UMNO dan BN. Inilah perubahan yang sedang jelas berlaku di negara ini dan fenomena ini nampaknya akan membuahkan masyarakat yang berpadu walaupun di bawah naungan siasah yang berbeza.

Rakyat wajar melakukan perbezaan ini. Kita sudah muak dan jemu dengan kata-kata yang memecah belahkan kita semua. Ingat! yang rugi hanya kita rakyat di bawah ini jika kita masih mahu berfikir cara yang dikehendakki oleh UMNO.

Kita perlu menolak isu rasis terus-terusan dan ini akan menjamin keamanan negara yang kita cintai ini. Ingat betul-betul, memberikan kepercayaan kepada pihak yang 'desperate' amat merbahayakan negara pada masa yang akan datang. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

harakah/-

Himpunan bersebelahan: Ali resahkan rakyat Melaka

20 Muharram 1433H. [MOD] -


(Poster Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Melaka)

MELAKA: Tindakan Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam yang mengarahkan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Bukit Palah  menganjurkan karnival di sebelah tapak Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka pada 8 Disember di Bukit Palah dikecam.

Tindakan Ali Rustam ini suatu tindakan tidak sesuai dan wajar, kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari melalui blognya adlyzahari.blogspot.com

"Provokasi pemimpin sebegini mengundang keresahan di kalangan rakyat, Umno akar umbi pun resah," ujar Adly.

Beliau juga melahirkan kekesalan dengan sikap kerajaan dan agensi kerajaan negeri yang tidak melayan permintaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mendapatkan tempat awam seperti Dataran Sejarah dan Stadium Tun Fatimah.

"Oleh kerana permohonan kami tidak dilayan maka kami bersetuju untuk menjalankan program tersebut di tanah persendirian, di Kampung Bukit Palah yang di kejar oleh Ali Rustam.

"Mungkin pada pandangan Ali bahawa kerja buat mengganggu ceramah pembangkang semenjak 1999 itu mendatangkan kemenangan kepada Umno Melaka," tambah Adly.

Menurut Adly, sekarang ini tahun 2012 sudah hampir masuk 2013. Media baru boleh menceritakan perangai buruk Ali ini.

"Apakah Ali berhajat rakyat 'bertembung' pada 8 haribulan ini?" soal Adly.

"Pakatan Melaka menyeru rakyat Melaka memberi mesej jelas kepada Ali Rustam pada 8 haribulan ini, ayuh orang Melaka, hentikan politik dengki dan busuk hati," tambahnya lagi.

Beliau menyeru seluruh rakyat Melaka berhimpun pada 8 haribulan ini di Bukit Palah Melaka.

"Gelombang ribuan rakyat sahaja yang boleh menghentikan sombong dan bongkak politik Ali Rustam," katanya.

Roadshow Himpunan Kebangkitan Rakyat di seluruh negara telah mendapatkan sambutan yang sangat luar biasa. Terbaru kira-kira 30,000 rakyat berkumpul di Batu Pahat pada program tersebut.
Pada 8 Disember, Pakatan Rakyat Melaka akan menganjurkan program ini peringkat negeri Melaka.

Dijangkakan sekali lagi rakyat akan menzahirkan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat seperti yang ditunjukkan di negeri-negeri lain.

Beberapa pemimpin utama PR Pusat akan berkumpul di Melaka antaranya Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu; Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

harakah/-