14 Disember 2012

Bayi lahir 12.12 tengah hari pada pukul 12.12.12

30 Muharram 1433H. [MOD] -




BOSTON – Seorang ibu melahirkan anaknya pada pukul 12.12 tengah hari pada 12.12.12 melibatkan masa selama 12 jam.

Bayi perempuan yang bernama Noelle Joy Klinker itu seberat 4.1 kilogram dan 55 sentimeter tinggi.
Dia dilahirkan di Hospital Besar Massachusetts di sini kelmarin.

Bapa bayi itu, Joe Klinker, 31, yang bertugas sebagai pegawai pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat berkata, kehadiran Noelle merupakan rahmat buat keluarganya.

Menurut Joe, dia dan isterinya, Colleen Klinker kehilangan seorang anak perempuan pada Oktober tahun lalu yang meninggal dunia semasa dilahirkan. – Agensi


Taktik menyamar pelanggan

30 Muharram 1433H. [MOD] -


Taktik menyamar pelanggan

Anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Johor melakukan soal siasat ke atas warga asing.
JOHOR BAHRU – Seramai 18 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam Ops Jaja di sebuah pasar raya sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Khairulanuar Abu Bakar berkata, dalam serbuan sekitar jam 11 pagi itu,  seramai 25 pendatang asing diperiksa.

“Sebelum ops, kami telah menghantar anggota berpakaian preman menyamar sebagai pelanggan. Kehadiran anggota tidak disedari oleh warga asing yang bekerja. Bagaimanapun, sebaik sahaja disedari, ada yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di celah-celah raga sayur untuk mengelakkan diri daripada ditangkap.

“Hasil pemeriksaan ke atas 25 pendatang asing, 18 orang berusia 20 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Seramai 17 daripada jumlah keseluruhan yang ditahan adalah warga Indonesia dan baki iaitu seorang merupakan rakyat Bangladesh. Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang ops ini dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairulanuar yang juga ketua operasi berkata, kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas, Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama berikutan tinggal di negara ini tanpa pas serta permit.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen negeri Johor di Kompleks KDN, Taman Setia Tropika, di sini, untuk tindakan lanjut.

sinar/-

Uji bakat terlampau

30 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Dia menyuruh saya melakonkan watak dicabul sebelum dia benar-benar mencabul saya,” kata seorang gadis berusia 21 tahun yang membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul seorang pelakon tambahan ketika menjalani sesi uji bakat dikendalikan lelaki itu.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di ibu kota kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangsa yang meminta identitinya dirahsiakan mendakwa, empat lagi gadis turut menjadi mangsa pelakon berusia 40-an itu.

Menurutnya, dia tertarik untuk menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan dibuat pelakon lelaki terbabit di dalam sosial facebook (fb) untuk mencari pelakon wanita baru bagi memegang watak heroin dalam satu filem yang bakal diusahakan.

Gadis itu berkata, selepas menghubungi pelakon terbabit, dia diarahkan datang ke sesi uji bakat berkenaan di sebuah rumah di ibu kota.

“Pelakon itu bagaimanapun mengarahkan saya supaya hadir ke sesi uji bakat bersendirian dan tidak boleh ditemani sesiapa. Biarpun agak pelik dengan arahan itu, tapi saya langsung tidak mengesyaki sesuatu yang buruk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

harian metro/-


13 Disember 2012

31,931 anak Selangor dapat bantuan masuk IPT

29 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, iaitu sejurus Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, sejumlah 31,931 anak negeri itu telah diberi bantuan Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Untuk jumlah itu, kerajaan negeri Selangor telah membelanjakan RM31.7 juta bagi membantu anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT awam mahupun swasta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil berikutan keprihatinan kerajaan negeri bagi memastikan anak Selangor tidak ketinggalan menuntut ilmu di mana-mana institusi pengajian tinggi di negeri itu.

Ianya juga sebagai penghargaan kepada golongan mahasiswa yang bakal menerajui kepimpinan dan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

“Walaupun dalam kesibukan meneruskan usaha membangunkan negeri, menambah hasil negeri menerusi kutipan cukai dan pelaburan demi kesejahteraan rakyat, namun kami dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri masih ada ruang dan peluang untuk memikirkan ehwal dan kebajikan mahasiswa negeri ini,” kata Abdul Khalid dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Hari Mahasiswa di Dewan Bankuet Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam malam tadi.

Hadiah Pengajian IPT merupakan skim yang diperkenalkan dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Ianya berupa bayaran hadiah RM1,000 kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, yang melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

harakah/-

Rakyat Digesa Daftar Sebagai Pengundi Sebelum 31 Disember

29 Muharram 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Anda hanya mempunyai 19 hari sahaja lagi untuk mendaftar sebagai pengundi jika mahu membuang undi pada pilihan raya umum ke-13 yang mungkin diadakan antara Februari dan Mei tahun depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa semua rakyat Malaysia yang layak dan masih belum mendaftar sebagai pengundi untuk berbuat demikian sebelum 31 Disember ini bagi membolehkan senarai nama dimasukkan dalam suku keempat 2012 yang dijangka akan diwartakan pada Februari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mereka yang gagal berbuat demikian tidak akan dapat mengundi jika pemilihan diadakan sebelum senarai pengundi seterusnya dikemaskini dan diwartakan pada Mei 2013.

“Ada yang meramalkan Parlimen akan dibubarkan pada awal Mac manakala yang lain mengatakan ia boleh jadi akhir bulan Mac.

“Dalam mana-mana kes, masih terdapat beberapa hari lagi sebelum 31 Disember, jadi sila mendaftar sekarang kerana ramalan mungkin menjadi kenyataan dan pilihanraya diadakan dalam tempoh tersebut,” kata Wan Ahmad kepada The Star.

Sehingga 30 September, 20.3 peratus atau 3,346,460 daripada 16,451,867 rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar dengan suruhanjaya itu.

Tempoh semasa Parlimen berakhir pada 28 April dan pemilihan mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu.

Wan Ahmad berkata SPR akan menambah daftar pengundi baru dengan segera selepas setiap suku tahun berakhir tetapi semua rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar harus melakukannya kerana masa diperlukan untuk memproses permohonan mereka.

Maklumat mengenai bagaimana untuk mendaftar tersedia di laman web www.spr.gov.my.

mStar/-




Anak sungai kecil punca banjir

29 Muharram 1433H. [MOD] -


Anak sungai banjir
Tanah yang berhampiran anak Sungai Kemalau mula runtuh di tepi jalan Kampung Temeris.
KUALA PILAH – Anak sungai yang kecil tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak menjadi punca berlakunya banjir di beberapa rumah di Kampung Temeris.

Penduduk, Abdul Talib Md Hashim, 78, berkata, anak sungai yang berada berdekatan rumahnya menyebabkan air mudah naik dan dalam masa seminggu sahaja, dua kali banjir berlaku.

Menurutnya, hanya dalam masa dua jam kawasan ini dinaiki air melibatkan enam rumah di sekitar ini.

"Air yang datang dari Kampung Kepis, Felda Kepis akan mengalir ke anak Sungai Kemalau, Temeris.

"Apabila Kampung Kepis dan Felda Kepis dilanda banjir, mereka akan menghubungi kami supaya berwaspada serta menyelamatkan barang berharga," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Abdul Talib berkata, setiap kali banjir ternakan ikan air tawar hilang dibawa arus. rumahnya.

"Ikan tidak dapat diselamatkan dan pakcik mengalami kerugian. Sekeliling halaman rumah ditelenggami air menyebabkan pakcik sudah tawar hati untuk menternak ikan.

"Mujur rumah pakcik tinggi sedikit namun bimbang juga berikutan rumah kayu ini sudah uzur," katanya yang tinggal bersama rakannya memandangkan anaknya yang bekerja di tempat lain.

Sementara Zahari Hashim, 42, berkata, anak sungai itu bersemak tidak dibersihkan dengan warna air berkeladak.

Menurutnya, apabila anak sungai dipenuhi rumput menyebabkan air naik secara mendadak sehingga ke jalan raya.

"Pada tahun lalu, kawasan ini ditenggelami air. Kami mengakui pihak berkaitan ada membersihkan sungai tetapi tidak sempurna.

"Tanah di tepi jalan raya juga mula berlubang kesan dari banjir. Lama kelamaan jika tiada tindakan, ia akan menjadi lebih besar sekali gus menggugat struktur tanah yang lain pula," katanya.

Dalam pada itu katanya, jika dulu terdapat 50 kolam dekat sini tetapi kini hanya tinggal 10 kolam ikan yang masih lagi aktif.

“Kerana banjir sering berlaku, orang kampung sudah tidak mahu menternak ikan. Justeru itu, kami berharap pihak berkaitan dapat mengatasi masalah ini supaya kejadian banjir tidak berulang kembali.

"Kami tahu permohonan peruntukan tidak akan dapat serta merta tetapi sekurangnya penduduk kampung telah mengemukakan masalah dan berharap diberi perhatian,” katanya.

sinar/-

Penjenayah ‘nomad’

29 Muharram 1433H. [MOD] -

TEMPAT PERSEMBUNYIAN...antara kawasan hutan didiami Rambo Bentong.
TEMPAT PERSEMBUNYIAN...antara kawasan hutan didiami Rambo Bentong. 
 
BENTONG: Selain amat dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes rogol dan empat kes bunuh sejak Mac 2009 sehingga dicekup polis 14 November lalu, seorang penjenayah berbahaya dikesan berperwatakan aneh kerana hidup secara nomad dalam hutan sekitar daerah ini sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, siasatan polis mendapati lelaki berusia 42 tahun itu juga mahir memburu selain memiliki kelengkapan ikhtiar hidup lengkap serta senjata menjadikannya tidak ubah seperti watak filem aksi lasak, Rambo.

Menurutnya, ‘Rambo Bentong’ itu yang bakal dihadapkan ke mahkamah di sini, hari ini (Khamis), dipercayai hidup dengan makan haiwan dan tumbuhan liar di hutan ketika bersembunyi untuk mengelak dikesan polis.

“Ketika melakukan jenayah, suspek membawa pisau Rambo, senapang buatan sendiri dan pemutar skru sebagai senjata untuk mencederakan mangsanya,” katanya.

Beliau berkata, sejak berlakunya siri jenayah yang disyaki dilakukan lelaki itu, seluruh anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong diberikan taklimat pagi setiap hari dalam usaha memburunya.

metro/-

Ranking Malaysia Dalam Matematik & Sains Merosot

29 Muharram 1433H. [MOD] -

Muhyiddin perlu jelas kemerosotan Malaysia dalam matematik, sains

KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER: Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassan digesa memberi penjelasan mengenai kemerosotan berterusan Malaysia dalam subjek matematik dan Sains berdasarkan kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nuru Izzah Anwar dan Strategis Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataan bersama hari ini mendakwa jurang markah antara pelajar lelaki dan perempuan dalam subjek berkenaan begitu ketara.

Menurut mereka, pelajar Malaysia ketinggalan dalam matematik dan sains berbanding negara lain berdasarkan kajian dua badan pendidikan antarabangsa menunjukkan pencapaian sekolah menengah tahun ini lebih rendah berbanding sebelumnya.

Katanya, Malaysia hanya mendapat 440 mata dalam matematik untuk tingkatan dua bersamaan gred lapan di seluruh dunia dan kajian TIMSS pada 2011 dan berada di belakang Korea Selatan, Singapura, Chinese Taipei, Hong Kong dan Jepun yang menduduki lima tangga teratas dunia.

“Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pelajar Malaysia dalam matematik merosot daripada 508 mata pada 2003 kepada 474 mata pada 2007, manakala subjek sains merosot daripada 510 kepada 471 dalam tempoh yang sama.

Tony Pua berkata, dalam kajian TIMSS 2007 yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat, kemerosotan skor purata pelajar Malaysia 34 mata bagi matematik dan 40 mata bagi sains adalah terbesar di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian.

“Kami mahu Muhyiddin memberi penjelasan menyeluruh mengenai kemerosotan itu dan mengambil langkah khusus menangani masalah itu bagi meyakinkan rakyat Malaysia.

“Walaupun laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ada membangkitkan isu ini, namun tiada langkah khusus dan terperinci dinyatakan bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

TIMSS adalah kajian selama empat tahun untuk pendidikan sains dan matematik bagi gred empat dan lapan di seluruh dunia ― atau Darjah Empat dan Tingkatan Dua mengikut sistem pendidikan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi Malaysia kajian hanya dilakukan bagi peringkat sekolah menengah dalam kajian terbabit. -Roketkini

AS lancar pesawat tanpa juruterbang ke angkasa lepas

29 Muharram 1433H. [MOD] -




WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) kelmarin melancarkan kapal angkasa kecil futuristik tanpa juruterbang, X-37B untuk kali ketiga ke angkasa lepas.

Kapal angkasa sepanjang 8.9 meter dan berat 5,000 kilogram itu berlepas dari pusat pelancaran Stesen Tentera Udara AS di Cape Canaveral, Florida.

Ia dibawa oleh sebuah roket Atlas V pada pukul 1.03 tengah hari waktu tempatan.
Kapal angkasa itu kemudian akan berpisah dengan roket tersebut.

Misi kapal angkasa itu tidak didedahkan secara terperinci oleh Tentera Udara AS.
Firma United Launch Alliance yang wujud menerusi kerjasama antara Boeing dan Lockheed Martin menyiarkan imej penerbangan itu secara langsung di laman webnya.

Menurut firma tersebut, penerbangan itu adalah bagi menyokong eksperimen angkasa lepas.
Tentera AS pula memberitahu, program kapal angkasa itu adalah untuk memperkenalkan teknologi penerbangan angkasa lepas tanpa angkasawan.

Ia diperkenalkan ekoran penamatan misi kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Bagaimanapun, ramai pakar angkasa lepas percaya kapal angkasa itu yang berupaya kembali semula ke Bumi merupakan sebahagian daripada program perisikan canggih AS atau berpotensi digunakan untuk mengganggu satelit negara-negara seterunya. 

Projek X-37B itu dilancarkan NASA pada 1999.

Ujian pertama pesawat itu diadakan pada tahun 2010 dan mengelilingi Bumi selama tujuh bulan.
Dalam ujian kedua, pesawat tersebut mendarat pada Jun lalu selepas berada selama 469 hari dengan mengelilingi Bumi. - Agensi


Bertam: Sultan Ahmad minta hormati keputusan kerajaan

29 Muharram 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Sultan Ahmad Shah tidak mahu kawasan minyak di Blok PM307 Bertam diperbesarkan kerana ia sudahpun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi milik Pahang.

Justeru, baginda bertitah supaya menghormati keputusan kerajaan berkaitan hak milik kawasan minyak itu.

“Tak apalah, semuanya sudah diputuskan oleh Perdana Menteri sendiri dan beta juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada Hari Keputeraan beta baru-baru ini.

“Apa pun, rakyat Pahang perlu bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan itu,” titahnya dipetik Sinar Harian berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengenai status kawasan minyak itu.

Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Perletakan Batu Asas Hospital Pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di UIAM Kampus Kuantan, di sini semalam.

Sementara itu, Bernama pada 10 Disember lalu melaporkan, Ahmad berkata kerajaan negeri telah menulis surat secara rasmi kepada Petronas untuk mendapatkan penjelasan mengenai penemuan minyak di blok berkenaan dan setakat ini jawapan rasmi masih belum diperoleh.

"Kita menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu," katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke 12 Penggal Kelima.

harakah/-

Salun Kelantan: The Star makin tidak senonoh

29 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Akhbar milik MCA, The Star terus bersikap 'tidak senonoh' apabila berterusan mengeksploitasi isu khalwat dan salun di Kelantan, sedangkan lebih banyak isu utama yang perlu dimainkan akhbar berbahasa Inggeris itu.

Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), Vincent Lee (gambar) berkata perbuatan The Star itu menjurus kepada mainan akhbar Utusan Melayu.

Beliau berkata tindakan The Star itu lebih kepada cubaan menakut-nakutkan golongan bukan Islam terhadap PAS memandangkan akhbar milik MCA itu lebih dibaca golongan bukan Islam.

"Secara jelas, saya melihat akhbar The Star sudah menjadi Utusan Melayu, yang tidak lagi membincangkan soal masa depan negara.

Sebaliknya, hanya bercakap soal remeh-temeh yang sudah lapuk, tetapi sengaja disensasikan untuk agenda politik mereka," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka hadapan The Star hari ini, yang melaporkan laporan bertajuk 'Victory for Saloon' - merujuk isu salun di Kelantan, baru-baru ini.

Kecam Vincent, isu berkaitan salun dan khalwat yang dilaporkan The Star itu sebenarnya sudah lapuk, sebaliknya hanya disensasikan akhbar itu kebelakangan ini.

Katanya, The Star sewajarnya membicarakan soal masa depan negara seperti agenda memerangi rasuah, pengurusan kewangan dan pentadbiran negara, atau apa sahaja isu yang membina masa hadapan negara.

"Sayangnya, ia tidak berbuat demikian. Hanya mainkan isu remeh-temeh yang sudah lapuk, diulang semula, dengan tujuan mengaburi pembacanya," tegas beliau.

Justeru, beliau menggesa The Star lebih memfokuskan agenda rakyat berbanding bermain dengan isu lapuk yang diulang semula.

harakah/-

Pusat judi eksklusif diserbu

29 Muharram 1433H. [MOD] -


Pusat judi eksklusif diserbu
Abdul Halim menunjukkan dua bilah pedang samurai yang ditemui dalam salah sebuah premis judi yang diserbu.
Pusat judi eksklusif diserbu
Beberapa anggota polis dengan bantuan kakitangan MPK memeriksa set komputer yang digunakan bagi tujuan perjudian
 
KUANTAN - Sindiket perjudian internet tanpa lesen dikesan terus berdegil menjalankan kegiatan itu secara terbuka, malah ada yang sanggup melabur besar membuka premis baru yang agak eksklusif semata-mata untuk menarik kaki judi melebur wang  di premis mereka.

Hasil pemantauan polis di sekitar Jalan Air Putih, di sini, petang kelmarin,  membongkar satu kegiatan perjudian internet tanpa lesen yang dipercayai baru beroperasi kira-kira seminggu lalu di sebuah premis yang cukup selesa dengan dekorasi tersusun, malah turut tersedia ruang rehat khas kepada pengunjung.

Lebih mengejutkan, apabila mendapati premis tersebut diubah suai dengan membina tangga ke tingkat atas yang turut menempatkan puluhan komputer dipercayai bagi tujuan perjudian.

Pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) turut mengakui premis itu agak istimewa berbanding premis judi yang diserbu sebelum ini kerana suasananya selesa, kemas dan  bersih  selain dilengkapi puluhan set komputer terkini.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang kelmarin, polis berjaya menahan seorang penjaga premis berusia 39 tahun dan dua pelanggan berusia 20 dan 22 tahun ketika sedang leka bermain permainan berunsurkan perjudian.

Pedang samurai di bawah kaunter

Ketua operasi, Asisten Superintendan Abdul Halim Hamat berkata, pihaknya turut merampas 36 set komputer dianggarkan bernilai RM36,000 yang dikesan digunakan bagi tujuan perjudian, selain wang tunai RM207.

Menurutnya, selain menjanjikan suasana yang selesa, pemiliknya juga turut menyediakan kupon cabutan bertuah dengan menawarkan tunai sehingga RM20,000 untuk menarik kaki judi ‘bermain’ di premis mereka.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah premis perjudian internet di Taman Bukit Pelindung, Jalan Beserah, di sini, polis turut merampas dua bilah pedang samurai yang ditemui di bawah kaunter premis dipercayai digunakan pekerja bagi tujuan melindungi diri sekiranya premis  tersebut dirompak.

Abdul Hamid berkata, dalam serbuan kira-kira jam 6.30 petang itu, seorang penjaga premis berusia 18 tahun ditahan manakala empat pelanggan termasuk seorang gadis berusia antara 20 hingga awal 30-an ditahan.

“Hasil serbuan, kita juga berjaya merampas 34 set komputer dianggarkan bernilai RM34,000 dan tunai dipercayai wang hasil pertaruhan berjumlah RM307.
“Premis ini juga didapati tempat baru, bagaimanapun hasil pemantauan berterusan, kita berjaya mengesan dan membuat serbuan petang ini (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, premis itu juga turut menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan sebagai satu promosi.

Set komputer RM6.4 juta dirampas
Beliau berkata, semua set komputer  dirampas dan individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

“Semua yang ditahan juga akan  melalui ujian saringan kencing bagi mengesan sama ada mereka turut positif dadah,” katanya.

Dalam operasi itu semalam, seramai 30 anggota dan tiga pegawai dari pelbagai bahagian IPD Kuantan terlibat, manakala  lapan kakitangan serta tiga pegawai MPK mengambil bahagian dalam ops bersepadu itu.

Turut mengetuai serbuan, Ketua Bahagian Logistik IPD Kuantan, Asisten Superintendan Jamaludin Abu Bakar dan Ketua Balai Polis Kuantan, Inspektor Rosdy Abdul Rahman.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Mohd Yusoff sebelum itu berkata, sejak Januari hingga 11 Disember lalu, pihaknya melakukan 557 serbuan ke atas premis kafe siber yang dikenal pasti dan hasilnya, sebanyak 2,382 individu termasuk pelanggan dan penjaga premis ditahan.

Menurutnya, sebanyak 6,423 set komputer dianggarkan bernilai RM6.423 juta berjaya dirampas manakala rampasan tunai sebanyak RM185,681.

“Sebanyak 93 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik manakala 248 lagi dalam proses untuk tindakan sama.

“Hasil serbuan itu juga, kita dapati 140 premis tiada lesen yang sah, manakala 35 kes dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman,” katanya.

Sementara itu, seorang gadis, Lina, 18 (bukan nama sebenar)  yang ditahan dalam serbuan itu memberi alasan dia hanya singgah di premis yang terletak di tingkat satu itu sekadar untuk menemani kawan.

Menurutnya, nasibnya tidak baik kerana baru beberapa minit berada dalam premis itu, serbuan dilakukan dan dia turut ditahan.

sinar/-
 
 
 

Pegang jawatan Umno, Timbalan Pengarah SPR Sabah salah guna kuasa

29 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 13 Dis: Memegang jawatan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ada jawatan dalam parti politik merupakan salah guna kuasa, kata Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Dr Roland Chia. 

Beliau merujuk Timbalan Pengarah SPR Sabah, Aksyah Nasrah yang juga Ketua Penerangan Umno Kinabatangan.

“Isu ini sama dengan Pengerusi dan Timbalan SPR yang sebelum ini mengakui ahli Umno. Kita mahu mereka letak semua jawatan.

“Bila berperanan dalam Umno, itu salah guna kuasa. Ini adalah alat untuk mereka (Umno) menang. Dengan cara ini, sudah pasti mereka boleh tolong parti yang disertainya untuk menang,” kata Roland ketika dihubungi.

Beliau mempersoal pegawai SPR yang menganggotai mana-mana parti politik kerana akan mendedahkan ketidaktelusan badan itu terutama melibatkan proses pengundian dan daftar pemilih yang diragui semua pihak.

“Jelas ketelusan SPR sebagai badan bebas terjejas apabila orang politik ada peranan dalam SPR,” ujar Roland yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dilaporkan ‘menyokong’ kakitangan SPR menyertai parti politik.

“Boleh…tapi untuk jadi pacaba atau polling agent masa hari mengundi, bukannya jadi timbalan pengarah yang kita jelas beliau berkuasa memberi arahan. Ini tak boleh berlaku dan tak pernah ada dalam sejarah negara mahupun dunia,” kata Roland.

“Kita mahukan SPR jalankan tugas dengan adil, tanpa berat sebelah dan tanpa melibatkan parti politik. Kita ingatkan Umno BN supaya jangan guna taktik kotor meskipun sangat terdesak untuk menang pilihan raya nanti,” katanya.

keadilandaily.com/-

Bangkitlah parti Islam Indonesia, ummah perlukan mu

29 Muharram 1433H. [MOD] -



Hasil kajian  terakhir Lingkaran Survey Indonesia (LSI) pada awal Oktober 2012 lalu mendapati sokongan terhadap parti-parti Islam di Indonesia begitu jatuh sekali, dikalahkan oleh parti-parti sekular dan nasionalis.

Paling atas yang diminati rakyat adalah Parti Golkar 21%, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) 17,2 %, Parti Demokrat 14%, Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra)  5,2% dan Parti Nasional Demokrat (Nas Dem) 5%. Sebaliknya parti-parti Islam seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan parti-aprti yang bernuansa Islam diperkirakan akan hilang kerana berada dibawah 5%.

Malah Parti Bulan Bintang (PBB) tidak masuk dalam senarai ini.

Hasil kajian ini boleh saja benar atau tidak tepat, dan juga akan berubah selalu kerana ikut situasi; sosiologi, psikologi politik, isu dan realiti politik semasa.

Namun setidaknya hasil kajian ini bagi para pendukung, aktivis apalagi pimpinan parti-parti Islam hendaknya bermuhasabah dan berfikir ulang, tentang kelemahan atau kekhilafan selama ini.

Memang reformasi Mei 1998 memberi ruang yang seluas-luasnya untuk mewujudkan parti-parti politik termasuklah parti-parti Islam, apalagi dibenarkan parti Islam, berdasarkan Islam sedangkan pada awal 1980-an zaman Suharto, parti Islam PPP harus mengganti dasarnya dari Islam kepada Pancasila.

Setelah reformasi di era presiden BJ Habibie, wujudlah dengan banyaknya nya parti-parti politik termasuklah parti-parti Islam yang  wujudnya bagaikan cendawan yang tumbuh subur dan merebak tumbuh di mana-mana.

Umat Islam yang majoriti di negara ini, yang selalu menjadi sengsara dan mangsa kezaliman, baik di zaman  Sukarno mahupun di zaman Suharto, umat dan rakyat berharap banyak dan begitu optimis, nasib mereka akan  berubah dan kebebasan serta kemerdekaanya akan
dirasakan dan dihargai.

Amien Rais malu-malu mahu asaskan parti Islam kerana baginya parti Islam ibaratkan memakai baju sempit.

Pernyataan Amien Rais ini dikecam dan dikiritik hebat oleh aktivis, ulama dan pimpinan  gerakan Islam seolah-olah Amien Rais tidak memahami kekuatan, kebesaran dan kesyumulan Islam itu.

Namun pada masa yang sama dia tidak malu-malu menyebut Parti Amanat Nasional (PAN) yang diwujudkannya bernuansa Islam, namun kini apa sudah jadi dengan PAN?

Gus Dur yang dianggap sangat liberal dan cenderung sekular itu memang partinya Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) tidak berdasarkan Islam, malah sikap Gus Dur itu jelas dikiritik banyak pihak, termasuk dari pertubuhannya sendiri Nahdlatul Ulama (NU).

PKB pun akhirnya tidak kemana dan tidak menjadi parti besar, sikap aneh Gus Dur dan kebiasaannya suka bermusuh dengan banyak orang, membuat Gus Dur menjadi pemimpin yang tidak diterima majoriti umat.

Bila dipilih menjadi presiden dikala dia tidak memenuhi syarat untuk menjadi pemimpin, akhirnya dia pun diberhentikan pada pertengahan tahun 2001, berkuasa hanya selama 19 bulan.

PKS yang menjadi harapan banyak orang dari berbagai kalangan, namun tidak kurang pula kewaspadaan dari para aktivis gerakan Islam, yang sudah lama berjuang merasakan suka-duka tribulasi perjuangan, makan asam-garam kepahitan serta sakitnya onak-duri dalam menegakkan risalah yang suci ini.

PKS pada awal berdirinya, mulanya bernama Parti Keadilan, namun kemudian berubah menjadi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), pada pilihan raya umum 1999 menang hanya 7 kursi parlimen dan pada pilihanraya umum 2004 memenangi 45 kursi parlimen, malahan menang di Jakarta dan beberapa bandar utama di Indonesia.

Pada awalnya pimpinan dan aktivisnya berazam, akan mengamalkan dan menghayati gerakan dakwah 90% dan berpolitik hanya 10%, paling tinggi antara 70:30%.

Dalam pernyataannya beberapa pimpinannya coba memutuskan  tali sejarah, dengan mengaku bahwa kami adalah gerakan baru, tidak ada kena mengena dengan sejarah politik Indonesia masa lampau.

Inilah membuat beberapa pimpinan utama pertubuhan  dan gerakan Islam kecewa dan terkejut, ternyata harapan umat dan rakyat itu tidak berpanjangan, apabila PKS ikut mendukung pencalonan Dr SBY sebagai presiden dan kemudian  ikut kabinet Indonesia Bersatu Jilid Satu.

Alasan pemikir PKS adalah untuk strategi dakwah, terutama dalam melindungi gerakan Islam sebab kita berhadapan dengan presiden yang berasal dari tentera.

Umat bertanya sejauh mana amal soleh PKS dalam mengembangkan dakwah di tengah masyarakat, terutama berdakwah terhadap pemerintah dan para politisi yang menjadi rakan atau sahabatnya dalam kabinet ataupun di parlimen?

2009 PKS kembali ikut mendukung SBY sebagai presiden untuk penggal kedua, yang berpasangan dengan  Prof Dr Boediono yang dinilai banyak pengamat dia adalah seorang yang neo liberalis dan sangat berpihak kepada kapitalisme ekonomi yang menjadi acuan Barat.

Malah SBY selalu menyebut dengan bangga bahwa Amerika Syarikat 'is second my country'. Dan presiden PKS masa itu Tifatul Sembiring membela isteri SBY dan Boediono yang tidak bertudung. Memang itu masalah peribadi, tetapi pernyataan Tifatul yang membuat umat marah adalah "apalah ertinya sehelai kain tudung."

Dan 2010 semasa muktamarnya di Bali dengan  jelas menyatakan bahwa PKS bukan lagi parti Islam, tetapi menjadi parti terbuka.

Begitu pula dengan PPP yang dianggap parti rojak, kerana dipaksa oleh Suharto untuk ber satu dari empat parti iaitu Parti NU, Parti Muslimin Indonesia (Parmusi), Parti Syarikat Islam Indonesia (PSII), Parti Islam Persatuan Tarbiyah Islam (Perti) menjadi PPP.

Padahal keempat parti itu sudah dirosak oleh Suharto sebelumnya, kerana para pemimpinnya semua berpihak kepada Suharto. Tahun 1973 berdasarkan Islam dan Pancasila, namun tahun 1983 hanya boleh berdasarkan Pancasila, setelah reformasi dia kembali kepada Islam.

Walaupun dalam perjuangan politiknya, ada juga perjuangan yang bersifat kulit dan tidak mendasar diperjuangkan PPP, malah sebahagian umat Islam yang awam begitu bangga dengan beberapa keberanian PPP, malahan almarhum Pak Natsir menyebut seburuk-buruk PPP katanya masih ada suaranya untuk memperjuangkan Islam.
Malah tahun 1979 ahli parlimen PPP berani keluar sidang parlimen (walk out) membantah
tindakan pemerintah untuk memasukkan ajaran kebatinan dalam polisi pembangunan negara, kemudian melarang demokrasi dan aktiviti mahasiswa di kampus, ini dibantah oleh PPP.

Kini menghadapi pilihanraya umum awal April 2014, parti-parti Islam dan bernuansa Islam bersatu dan bangkitlah, paling tidak berfederasi atau berkoalisi dengan sesama dan parti-parti nasionalis lain, yang saling menghargai dan menghormati dasar kita. Disinilah parti-parti Islam perlu menampilkan figur yang merakyat, jangan berlagak angkuh dan sombong.

Dulu begitu mesra dengan panggilan akhi untuk semua, namun kini bila bersama berkuasa, panggilan akhi hanya untuk orang kita saja, bukan untuk rakyat banyak.

Harus disedari majoriti sekitar 88% rakyat Indonesia adalah beragama Islam, itu adalah kekuatan kita, memang majoriti masih terbelakang, jahil dan belum semuanya cerdas membaca dan berpolitik, tetapi dengan pendekatan psikologi kita yang bijak dan berhikmah, marilah kita memperbanyak kawan dan memperkecil lawan, kawan seribu lebih baik daripada menghadapi musuh yang jumlahnya hanya sepuluh orang.

Dan yang lebih penting lagi aktivis atau pimpinan parti Islam Indonesia, hendaklah menjadi pemimpin bukan hanya sebagai pengikut atau pelengkap, dan lebih parah lagi kita selalu diperangkap.

Sampai bila akan selalu berulang kita membiarkan pisang berbuah dua kali atau
orangtua kehilangan tongkat, nauzubillah.

harakah/-

Warga emas 100 tahun tetap mahu mengundi

29 Muharram 1433H. [MOD] -

Photo: 12-12-12 merupakan hari ke 100 Tahun pakcik hidup di dunia..alhamdulillah..semoga pakcik dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki..amin ya rabbal alamin :) BUKIT MERTAJAM - "Kalau masih dipanjangkan umur, Pak Long akan tetap keluar mengundi pada pilihan raya kali ini. Semoga Allah panjangkan usia Pak Long supaya dapat mengundi lagi," demikian kata Othman Daud dari Kampung Tanah Liat, Mukim 8 di sini yang menyambut hari lahirnya yang ke-100 hari ini.
  
Beliau berkata beliau mula mengundi sejak pilihan raya umum pertama pada tahun 1959 dan tidak pernah terlepas keluar mengundi pada setiap kali pilihan raya diadakan.
  
Hari lahirnya diraikan dengan meriah oleh sanak-saudara dalam satu majlis kesyukuran di rumahnya.
  
Namun beliau tidak pernah berkahwin kerana lebih selesa hidup bersendirian.
  
Ditanya pemberita mengenai rahsia beliau kekal sihat, Pak Long berkata beliau sering mengamalkan gaya hidup sihat dengan memakan ulam-ulaman termasuk pucuk 'maman'.

"Tak dak sebarang petua yang diamalkan untuk kekal sihat. Rutin harian Pak Long seperti biasa. Sejak muda lagi selepas solat Subuh, Pak Long akan bersarapan sebelum kayuh basikal kira-kira satu kilometer ke bendang.
  
"Pukul 11 pagi, Pak Long balik berehat dan pi balik ke bendang lepas Zohor. Sekurang-kurangnya empat jam Pak Long di bendang setiap hari," katanya.
  
Mengenai keluarganya, Othman yang merupakan anak sulung daripada 12 adik- beradik berkata hanya dua adik perempuan dan seorang adik lelakinya yang masih hidup.
  
"Lapan lagi adik beradik Pak Long dah meninggal. Pak Long tinggal dengan anak saudara Pak Long, Faridah Ariffin dan dua adik perempuan Pak Long yang berusia 71 dan 75 tahun.
  
"Faridah yang jaga makan pakai kami," tambahnya.

Penglihatannya masih jelas dan tidak memerlukan cermin mata untuk membaca atau melaksanakan aktiviti harian.
  
"Pak Long juga suka membaca dan Alhamdulillah mata masih OK dan tidak perlu cermin mata. Sehingga hari ini Pak Long rasa bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit," katanya dengan wajah yang ceria.
  
Faridah, 44, berkata beliau tidak sukar menjaga bapa saudaranya itu yang masih kuat untuk menguruskan keperluannya sendiri.
  
"Saya bekerja sebagai operator pengeluaran dan sekiranya tidak sibuk, saya masak untuk tengah hari dan jika tidak, Pak Long akan makan di luar.
  
"Pak Long mengerjakan sawah hanyalah untuk mengisi masa terluang, kerana dia sudah biasa tidak boleh duduk diam sejak muda," tambahnya.
  
Di samping itu Othman mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan. - Bernama