17 Mac 2008

Majlis angkat sumpah MB Perak hari ini

IPOH 16 Mac - Majlis pelantikan dan istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak akan diadakan esok pada pukul 11.30 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.Setiausaha Sulit Sultan Perak, Kol. Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor berkata, Pemangku Raja Perak Raja Dr. Nazrin Shah telah berkenan mengadakan majlis itu.

"Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah telah berkenan majlis pelantikan dan upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak Darul Ridzuan diadakan pada hari Isnin 17 Mac 2008 pada pukul 11.30 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar," katanya dalam satu kenyataan yang difaks kepada Bernama di sini hari ini.

Setiausaha Pas Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, dijadual mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah pada Khamis lepas tetapi majlis itu terpaksa ditangguhkan selepas ketiga-tiga parti pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Beberapa jam sebelum majlis pelantikan dan istiadat angkat sumpah itu diadakan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengarahkan semua 18 wakil rakyat DAP di Perak tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah itu kerana tidak setuju dengan pemilihan wakil Pas sebagai Menteri Besar. Kit Siang kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Pada Khamis lepas juga, PKR melahirkan rasa kecewa dan mengancam keluar daripada kerajaan campuran Perak kerana tidak bersetuju dengan pembahagian kerusi Exco kerajaan negeri. Satu mesyuarat antara ketiga-tiga parti berkenaan kemudiannya memutuskan PKR diberikan tiga jawatan Exco berbanding satu yang diagihkan kepadanya sebelum ini dengan DAP mendapat enam kerusi Exco berbanding lapan daripada peruntukan awal, manakala Pas kekal dengan satu kerusi Exco, selain jawatan Menteri Besar.

Ekoran perkembangan berkenaan, Raja Dr. Nazrin Shah menitahkan kesemua 31 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada DAP, PKR dan Pas menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima pelantikan ADUN Pasir Panjang Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.

Surat berkenaan yang menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar ke-10 kemudiannya diserahkan kepada Abdul Rahim untuk dipersembahkan kepada Raja Dr. Nazrin Shah pada pukul 5.30 petang Jumaat.
- Bernama

Tiada ulasan: