17 Jun 2008

Kebimbangan isteri jadi kenyataan : Dua tahanan ISA dilanjutkan penahanan

KUALA LUMPUR, 16 Jun - Kebimbangan salah seorang isteri mangsa tahanan ISA kemungkinan suaminya ditahan untuk dua tahun lagi semasa berucap dalam himpunan di Kamunting menjadi kenyataan.Dua lagi tahanan ISA dilanjutkan penahanan mereka selama dua tahun, yang menjadikan tempoh penahanan mereka lapan tahun.


Kedua-dua tahanan, Mat Sah Satray dan Samsudin Sulaiman, yang berasal dari Selangor dilanjutkan penahanan mereka pada 11 Jun lalu.

Menurut isteri Mat Sah, Norlaila Othman, yang juga merupakan Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, beliau menerima keputusan lanjutan penahanan suaminya pada 15 Jun lalu ketika melawat Mat Sah di Kemta. Norlaila telah melakukan berbagai usaha untuk membebaskan suaminya yang tidak bersalah itu sebagaimana diucapkan di Kamunting.

Katanya, Mat Sah dalam nada tenang namun riak wajah yang sedih, memaklumkan kepadanya tentang lanjutan penahanannya.

"Walaupun nadanya tenang, riak wajahnya cukup sedih. Beliau memaklumkan, tiada alasan diberikan pihak kem tentang sebab beliau ditahan dua tahun lagi," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Norlaila yang menyifatkan keputusan itu sebagai ujian dari Allah kepadanya sekeluarga, menegaskan keputusan tersebut tidak mengecewakannya, memandangkan beliau menyedari bahawa pihak berkuasa akan terus menunjukkan keegoan mereka selagi berkuasa.

Bagaimanapun, Norlaila berkata keputusan tersebut meningkatkan lagi semangat perjuangannya dalam usaha menentang kezaliman ISA, apatah lagi suaminya turut merestui perjuangannya.

"'He never blame me'. Dia tidak pernah menyatakan perjuangan saya dalam GMI menjadi punca beliau dilanjutkan tahanan. Malah, beliau turut memberikan kata-kata semangat untuk terus berjuang menentang ISA," tegas Norlaila lagi.

Tiada ulasan: