Selepas gempa bumi Wenchuan berlaku, Agensi Berita Rusia menerbitkan rencana yang menyebut, China pernah mengalami banyak kesengsaraan, akan tetapi, orang China tidak pernah tewas oleh kesengsaraan. Sebulan selepas gempa bumi, kita boleh berkata, China telah mencapai kejayaan awal dalam usaha menyelamat dan bantuan bencana. Kini, kehidupan di kawasan bencana stabil, dan mangsa-mangsa bencana dapat ditempatkan dengan sempurna. Ini terbukti, China sekali lagi berjaya menempuh cabaran alam. Semua yang berlaku dalam tempoh sebulan ini di China akan tercatat dalam sejarah.
"Saya yakin, apa-apa kesengsaraan pun tidak dapat melemahkan orang China yang berani!"
Ini petikan ucapan Presiden Hu Jintao semasa meninjau mangsa bencana dan pasukan penyelamat di bandar Shifang, Sichuan. Baik pemimpin negara mahupun pegawai peringkat akar umbi, semuanya bersungguh-sungguh dalam usaha menyelamat. Operasi menyelamat dan bantuan yang melibatkan tentera, sumber masyarakat dan pelbagai jabatan kerajaan dilaksanakan dengan cergas, teratur dan berkesan. Ini dapat mengurangkan kerugian kerana gempa ke tahap yang minimum. Usaha-usaha kerajaan China itu akan tercatat dalam sejarah.
Rakaman tadi direkod ketika satu pasukan tentera sedang menyelamatkan mangsa yang masih hidup di bandar Shifang. Selepas gempa bumi Sichuan berlaku, tentera China menghantar lebih 100 ribu askar tentera, polis tentera militia dan tentera simpanan untuk menyertai operasi menyelamat dan bantuan bencana. Mereka sentiasa berada di mana-mana tempat yang paling bahaya. Keberanian mereka mengharukan setiap orang. Sumbangan tentera China ini akan tercatat dalam sejarah.
"Semasa saya berkhidmat dalam tentera, saya pernah menyertai pelbagai usaha menyelamat. Dengan adanya kemudahan profesional tambah pengalaman saya, kami dapat menghasilkan rancangan yang paling sesuai untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan."
Demikian dikatakan oleh Cheng Yan, seorang sukarelawan dari Provinsi Guangdong. Selepas gempa bumi berlaku, pelbagai sektor sedaya-upaya menyokong usaha menyelamat. Sukarelawan, doktor, jururawat, anggota pasukan mencari dan menyelamat dan wakil yang menghantar barang bantuan semua berada di kawasan bencana. Mereka datang dari seluruh China, termasuk Hong Kong, Makau dan Taiwan. Mereka membantu merawat orang cedera, membaiki jalan raya dan mengangkut barang bantuan. Sumbangan mereka ini akan tercatat dalam sejarah.
"Kita semua tahu, bencana alam seperti gempa bumi kali ini tidak dapat dielakkan bagi negara dan rakyatnya. Tetapi, dengan perpaduan, kita pasti dapat mengurangkan kesannya hingga ke tahap yang minimum. Kami sentiasa bersama dengan rakyat China."
Naib Ketua Pasukan Perubatan Rusia, Ivanius Alexander berkata demikian sebelum beliau meninggalkan China. Dalam menghadapi malapetaka ini, masyarakat antarabangsa turut menghulurkan bantuan. Rusia, Jepun, Republik Korea dan Singapura menghantar segera pasukan penyelamat antarabangsa. Jerman, Perancis, Itali, Cuba, Rusia dan Jepun pula menghantar pasukan perubatan. Mereka berhadapan dengan ancaman berlakunya gegaran susulan, tetapi tetap memberikan bantuan tanpa menghiraukan ancaman terhadap diri sendiri. Tindakan mereka mengutamakan mangsa kawasan bencana, mendapat penilaian yang tinggi. Sejarah akan mengingati bantuan mereka terhadap China.
"Kami akan berusaha untuk membangunkan semula Dujiangyan".
Mangsa bencana di pusat penempatan "Kampung Mesra" di Dujiangyan, Sichuan menyatakan demikian untuk menyampaikan keazaman membangun semula kampung halaman mereka. Kini, mereka sedang berusaha memulihkan kehidupan. Kanak-kanak pula mencari buku untuk dibawa ke sekolah sementara. Ketabahan mereka dikagumi oleh umum. Sejarah akan mengingati kegigihan mangsa kawasan bencana.
Kita percaya, dengan usaha kerajaan dan rakyat China serta sokongan masyarakat antarabangsa, China pasti akan menyelesaikan kerja-kerja penyelamatan dan pembangunan semula dengan jayanya. Kecekapan yang tinggi, perpaduan, kegigihan dan kesediaan saling membantu masyarakat China dan antarabangsa yang dilihat dalam pengendalian bencana ini juga akan tercatat dalam sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan